02 September, 2015

Kisah Ambo dalam Gerbang Kisahku

Entah mengapa beberapa bulan yang lalu hati saya melonjak mahu menulis cerita dan melukis pada waktu yang sama. Saya tiba-tiba teringin melakukan sesuatu yang luar biasa dan yang belum pernah dilakukan oleh sesiapapun sebelum ini. Saya sedari ramai pelukis dalam kalangan penyair tetapi saya belum dengar pelukis dalam kalangan novelis.


Kerana itu saya harus mengambil peluang mengisi ruang ini sesuai dengan apa yang saya miliki. Barangkali ini permulaannya dan jika saya berpuas hati dengannya bolehlah diteruskan dengan cerita-cerita yang lain  yang sarat di dalam kepala ini.
 
Memori di alam kanak-kanak tidak pernah padam daripada ingatan saya. Seperti baharu semalam saya meninggalkannya. Namun saya percaya semua orang mengalami detik yang sukar untuk mengingati bilakah mereka mula ingat tentang dunia kanak-kanak mereka. Ia adalah titik kabur dan saya menggunakan cerita-cerita daripada arwah dan ibu yang sering menceritakan peristiwa ketika saya kecil.
 
Saya juga meminjam memori abang dan kakak jika mereka masih mengingati apa yang berlaku terhadap saya di waktu kecil. Saya tulis dan peram ia beberapa waktu dan sentiasa memperbaiki kandungannya walaupun saya telah 'pos' kan ia di wall facebook.
 
Ada sesuatu yang agak pelik juga apabila saya mengambil keputusan untuk menyiarkan autografik ini hanya dalam facebook sahaja dan tidak di blog sebagaimana saya lakukan pada waktu sebelum ini. Sebenarnya ada seorang sahabat yang mencadangkan saya melahirkan satu page 'Like' khusus untuk penulisan begini. Saya hanya mencuba tetapi hati saya serius untuk membukukannya apabila telah sempurna cerita kisah diri ini.
 
Sekian lama saya hanya menggunakan kata-kata untuk menvisualkan apa yang ada di dalam kepala saya. Sedangkan sebelum saya menjadi novelis saya sering menggunakan lukisan untuk menggambarkan apa yang terlintas di fikiran. Kini saya rasa saya harus memecah kebiasaan itu dengan menggambungkan kedua-duanya sekali agar penceritaan saya lebih berkesan.
 
 
 
Sehingga saat pos ini ditulis Gerbang Kisahku dengan Kisah Ambo telah mempunyai 18 siri cerita. Saya dapat saksikan bahawa penceritaan dengan bantuan visual sebenarnya lebih menarik minat pembaca. Namun ia tidaklah semudah yang anda lihat bagaimana semuanya terjadi,
 
Saya sebenarnya mengambil masa selama sekurang-kurangnya dua jam untuk melakarkan satu-satu visual berdasarkan cerita yang telah saya tulis. Dan saya harus menyiapkan cerita terlebih dahulu sebelum membuat lakaran agar lukisan itu dapat menggambarkan cerita yang dibaca.
 
 
 
Saya tidak menyangka bilangan pembaca semakin meningkat setiap kali ia diposkan. Terima kasih kerana menyokong saya. Cerita saya adalah sebahagian daripada sejarah yang berlaku di negara ini. Ia ditulis untuk perkongsian dan pedoman kita. Dan untuk melahirkan rasa bersyukur dan menghargai terhadap kehidupan yang kita perolehi pada hari ini.
 
Saya sangat gembira apabila jumlah yang membacanya mencecah ke angka ribu dalam masa beberapa hari ia poskan di dalam Facebook. Jika anda ingin membacanya carilah Gerbang Kisahku dan ikutilah Kisah Ambo. Selamat membaca dan terima kasih sekali lagi daripada saya Enchelah Rajadewa.