18 April, 2009

Terima Kasih Kerana Menyebut Namaku

Terima kasih kerana menyebut namaku di dalam blogmu. Atie AF adalah isteri kepada kawan sepejabatku Saiful Anuar. Rupanya sekarang gemar memasak steamboat (Tekan di sini). Baguslah. Tak guna nak kedekut ilmu. Jika ia berpanjangan ia akan menjadi amal jariah yang berpanjangan. Apa lagi yang kita harapkan dalam hidup ini?

Terus aku teringat bagaimana suatu masa di awal tahun ini - aku, Atie dan Saiful berkampung di sebuah kopitiam di Setiawangsa untuk membina blog untuk atie. (bukan blog atie sahaj malah ada ramai lagi yang lain telah aku bantu dan memberikan mereka semangat untuk menjadi blogger). Lama tak menjengah ke blognya rupanya dah ramai yang mengunjunginya. Sehingga kini sudah 725 pengunjung. Tahniah Atie. Rajin-rajinlah mengemaskinikannya. Ramai yang membina blog tetapi kekadang kerana hambatan waktu mereka membiarkan blog itu tidak bernafas lagi.
Anda yang berminat bolehnya mengemelkannya kepada saya, kita berkongsi rasa dan ilmu.

Kongsi Emel-Lagi Kanak-Kanak Hilang




Assalamualaikum
Mohon bantuan kepada sesiapa yang ada terjumpa anak saudara saya Nurhidayah Binti Surip (umur 11 tahun) yang telah hilang dari Asrama Anak Yatim Darul Kifayah, Tmn Koop Polis, Gombak sejak hari Isnin 6 April 2009 . Jika ada maklumat sila hubungi : Abdul Razak Bin Salim HEP Politeknik Johor Bahru 0177011038 / 0169326003 atau Sjn.Dalila IPK Kuala Lumpur. .. juga saya mohon bantuan sebarkan maklumat kepada rakan-rakan terutamanya di sekitar KL.

Terima Kasih adindaku Affan

16 April, 2009

Kongsi Emel-"Bagaimana wudhu' zahir dan batin?" cuba pratikkan

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"
Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin."
Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air".

Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :- * Bertaubat * Menyesali dosa yang telah dilakukan
* Tidak tergila-gilakan dunia
* Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
* Tinggalkan sifat berbangga
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu
* Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:
1.aku sedang berhadapan dengan Allah,
2.Syurga di sebelah kananku,
3.Neraka di sebelah kiriku,
4.Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5.aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."

"Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Untuk munafaat kita bersama, Tolong sampaikan email ini kepada sahabat2. Sabda Nabi, ilmu itu milik Tuhan, barang siapa menyebarkan ilmu demi kebaikan, insyaAllah Tuhan akan menggandakan 10 kali kepadanya.

May Allah bless us. Amin.

Terima Kasih Sdr. Rahayu.

Milik Siapakah Myvi itu?



Sdr. Zaidan berposing di hadapan Myvi dengan borang penyertaan peraduan. Sdr. Zaidan menjadi salah seorang sukarelawan yang mengedarkan borang tersebut.

15 April, 2009

Perihal Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kian hampir cuma tinggal 2 hari lagi ketika artikel ini ditulis. Kebanyakan penerbit menjadikan tempoh berlangsungnya PBAKL sebagai waktu yang paling sesuai untuk menghasil, memasar dan menjual produk mereka. Pelbagai strategi jualan telah diaturkan sebelum menjelangnya PBAKL.

ITNM tidak ketinggalan dalam hal ini dan tahun ini akan menyaksikan banyak buku-buku terbitan terbaru selain buku-buku yang dicetak ulang. Dalam tempoh berlangungnya PBAKL ini juga akan berlangsung dua majlis pelancaran buku terbaru ITNM iaitu Keberanian Menggapai Harapan - tulisan Presiden Amerika Syarikat terkini (oleh Raja Muda Perak- Tuanku Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah) dan Kisah Dongeng Rakyat Malaysia & Jerman (oleh Menteri Luar Negara, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim).

ITNM merupakan satu-satunya institusi yang bertuah kerana berjaya mendapat hakcipta untuk penerbitan terjemahan buku tersebut kerana setelah Barrack Obama menjadi Presiden Amerika beliau tidak lagi membenarkan mana-mana buku tulisannya diterbitkan lagi dalam bentuk yang seumpama ini.

Saya ingin menarik perhatian anda mengenai gerai ITNM di PBAKL. Tadi sewaktu ke PWTC untuk menghantar bahan saya dapat menyaksikan persiapan telahpun bermula. Mereka yang terlibat akan berkampung di sana jika dibenarkan. Saya juga dapat melihat kereta MyVi yang masih tidur di dalam selimut telahpun sampai ke gerai ITNM untuk di pamerkan. Agaknya milik siapalah MyVi itu nanti. Jika anda berminat seperti yang saya maklumkan sebelum ini belilah buku ITNM berharga RM25 ke atas dan anda layak menyertai peraduan Beli Buku ITNM dan Menang Hadiah bernilai RM100,000. yang akan berakhir pada 26 April 2009. Kawan tadi sempat berposing dengan kereta yang menjadi idaman anda!

Saya teringat kata-kata Pengarah Urusan Encik Mohd Khair Ngadiron di suatu majlis yang berlangusng di DBP baru-baru ini. Jika selama ini peraduan memancing mampu menawarkan hadiah kereta kepada pemenangnya mengapa tidak kepada mereka yang cintakan ilmu pengetahuan. Ini adalah sebagai suatu penghargaan kepada mereka yang berminat dengan ilmu.

Tahun ini juga menguji kemampuan ITNM mengendalikan Pusat Dagangan Hak cipta yang akan Berlangsung di Bilik Kelantan. Sebanyak 83 judul buku dari pelbagai penerbit dengan tema Malaysiana dan Sastera telah dimuatkan dalam katalog untuk ditawarkan hakciptanya petang akan berlangsung Sesi Dialog dengan Encik Peter Ripken Pengarah Pusat Antarabangsa, Pesta Buku Frankfurt yang akan dipengerusikan oleh Pengarah Urusan ITNM Encik Mohd Khair Ngadiron dan pengacaranya ialah...saya :)

Jom Baca Buku- Lautan dan Laut


Siri Penerokaan Sains ITNM
Laut Dan Lautan
Terokai dunia sains dengan siri baru yang menakjubkan ini. Gambar foto yang memukau dipaparkan secara jarak dekat, lengkap dengan penerangan terperinci dan menarik tentang subjek ini. Projek menguji minda yang menyeronokkan turut disediakan bagi membuka ruang untuk belajar dengan lebih banyak lagi. Aktivitinya juga sesuai dilakukan di dalam mahupun di luar rumah. Biar Lautan dan Laut membawa kamu menjelajahi penemuan baru! Ketahui mengapa air laut masin. Berenang dengan haiwan pelik di dasar lautan. Terokai bangkai kapal.

Laut dan Lautan
Penulis: Nicola Davies
Karya Terjemahan: Institut Terjemahan Negara Malaysia
ISBN: 978-983-068-372-0
Halaman: 48 Muka Surat
Tahun Terbit: 2009
Harga: RM15.00 (RM20.00 Sabah & Sarawak)

Hubungi ITNM di talian 03-41497210. Beli Buku bernilai RM25 dan anda layak menyertai Peraduan Beli Buku ITNM dan menangi hadiah Bernilai RM100,000. Cepat sebelum terlambat!

Banyak Kerja & Cari Kerja

"Lebih baik sibuk kerana banyak kerja dari sibuk mencari kerja"
-Mohd Khair Ngadiron-

13 April, 2009

Kanvas Kehidupan- Lari Dari Rumah

Dia lari dari rumah sudah lebih dari lima tahun. Dia bukan setakat lari tetapi mengembara ke Semenanjung Malaysia dari Malaysia Timur. Dari wajahnya walaupun masih muda saya dapat lihat kegetiran yang dilaluinya. Tetapi mengapa memilih untuk lari hati saya tertanya. Katanya kalau dia tidak lari dia mungkin mati dikerjakan oleh bapanya.

Bapanya bekas seorang pemain baseball yang cekap, telah membaling ke mukanya sebiji batu sebesar bola lisut. Dia sempat mengelak dan terkena pintu bilik air. Pecah pintu itu. Katanya kalau dia tidak mengelak mungkin mukanya yang pecah.

Saya bertanya kenapa bapanya bertindak demikian. Lalu diapun bercerita bapanya memang seorang panas baran. Di kampungnya memang tengah menular budaya anak-anak muda yang menagih dadah. Di antaranya adalah kenalannya juga tetapi dia tidak terlibat dengan gejala itu.

Hari itu kawan saya tidak sihat dia baru sahaja keluar dari bilik air. Tiba-tiba sahaja bapanya sudah tercegat di hadapan pintu dengan batu di tangan dan membaling ke arahnya. Dia tidak pasti kenapa tetapi dia pasti bapanya mendengar cerita-cerita tidak baik mengenainya dari tetangganya.

Sejak dari itu dia lari dari rumah dan tidak pulang-pulang lagi sehingga empat tahun selepas itu. Itupun selepas mendengar berita bapanya sakit. Katanya dia mendapat tahu cerita dari PakCiknya bapanya menangis selepas itu selepas mencarinya di mana-mana. Bapa mana yang tidak sayangkan anak tetapi jika sedang marah bawalah bertenang banyak-banyak. Jangan sampai tindakan hendak mengajar itu seperti hendak membunuh pula! Dan sebagai anak haruslah sentiasa memaafkan ibu bapa. Mereka juga manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan dalam tugasnya mendidik dan membesarkan anak-anak.

Kawan muda saya itu memberitahu baru-baru ini dia mengirimkan wang RM11,000 untuk menjelaskan bil hospital bapanya. Dia juga telah pulang menjengah ibunya yang kurang sihat kebelakangan ini. Baguslah kalau seperti itu kata saya. Semoga hubungan anak beranak ini bertambah baik. Air dicincang tak akan putus.

12 April, 2009

Syukur - Adinda semakin pulih

Kanan:Grand Livina adindaku dan Kiri: Pesona yang terlibat.

Syukur adindaku semakin bertambah sihat dan sedikitpun tidak mengalami trauma atau fobia untuk memandu lagi. Kesihatannya semakin pulih dan kesakitan itu pada kaki sebelah kirinya sahaja. Aku mendoakan dia agar cepat sembuh. Amin.

Beginilah keadaan keretanya yang terlibat dengan kemalangan itu.

Kenangan ESQ


Kanan: Rakan-rakan yang menyertai dan sekaligus menjadi ahli alumni. Lihatlah mata masing-masing dan Kiri: Aku bersama peminatku pelakon Azizan Mahzan, eh betulke peminatku?


Tak sangka juga ada yang bertanya bila lagi mahu menyambung artikel mengenai kursus ESQ itu seperti yang aku janjikan. Maaf dan terima kasih kerana menunggu. Hari ini aku menyambung kembali mengenainya.

Training ESQ bukan sahaja untuk umum tetapi juga untuk syarikat-syarikat dan di antara syarikat yang pernah mengikuti kursus ini ialah petronas, Dagang.net, Time.com, UEM World, Sime Darby dll. Angkatan ke 28 yang baru lepas menyaksikan pernyertaan yang terbesar di mana lebih 100 buah syarikat menyertainya. Dan angkatan ke 28 ini merupakan kursus yang ke 200 baginya.

Sdr. Legisan berkata kebanyakan syarikat yang menghantar peserta selepas itu menyaksikan perubahan yang ketara-setiap pekerja berlumba-lumba mengejar misi mereka dan syarikat mencapai luarbiasa.

Dato' Hussamuddin (CEO Karangkraf) berkata selepas menghadiri kursus beliau comitted untuk berubah dan untuk jadi agen perubahan. Sehingga kini seramai 400 orang stafnya telah menjadi alumni ESQ dan akan ramai lagi yang akan dihantarnya.

Beliau juga berkata penerbitannya juga telah menyebarkan ayat-ayat cinta 165 setiap hari seperti di akhbar sinar sebagai inspirasi untuk membina tamadun baru 20 tahun akan datang. Menurutnya lagi stafnya kini bekerja lebih hebat dari dahulu. Dari situ juga telah lahir lagu Karangkraf-Berbakti. Jelas Hussamuddin.

Sdr. Legisan menambah jika training ini dihadiri staf syarikat maka impaknya pada syarikat itu sendiri tetapi jika karangkraf yang menyertainya impaknya adalah pada Malaysia dan dunia kerana krangkraf sebuah syarikat penerbitan yang akan menyalurkan kesannya melalui dunia penerbitannya.

Dato' Stapa yang muncul sebagai wakil peserta memberi ucapan penutup yang sangat ringkas berkata dalam dunia ini terdapat 3 golongan manusia iaitu

Pertama : golongan orang yang untung dimana hari ini adalah lebih baik dari semalam.

Kedua : golongan orang yang selamat-dimana hari ini sama seperti semalam,

Ketiga : golongan orang yang celaka dimana hari ini lebih teruk dari semalam.


Dan mendoakan agar semua peserta dan yang ada tergolong dalam golongan pertama.

Beliau bercerita mengenai kesukaran hidup yang dilaluinya selama 20 tahun sambil menasihatkan peserta agar reda dengan apa dilalui. Kesabaran adalah segala-galanya untuk kejayaan. Jika kita mempunyai ilmu dan harta ianya mesti digunakan dan dipraktikkan sambil memberi sebuah pepatah apalah ertinya untung unta menjunjung kitab.

Sementara itu dalam sesi terakhir itu juga menyaksikan sepanjang tiga hari berkursus itu kehadiran 3 peserta bukan muslim yang di jemput ke pentas untuk menyatakan pengalaman mereka. Salah seorang dari mereka berkata perubahan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan yang telah menghadiri kursus itu mendorongnya untuk hadir bagi mengetahui apa sebenarnya yang mereka lalui dan ternyatra ia suatu yang baik untuk diikuti.

Angkatan ke 28 juga menyaksikan penyertaan pelakon Azizan Mahzan. Beliau telah dijemput ke pentas untuk berkongsi pengalaman memberitahu beliau mendapat tahu kursus itu melalui kenalan. Dan berniat akan memberitahu kawan-kawan yang lain untuk bersama-sama (menyertai kursus itu). Jika dahulu beliau rasa kosong tetapi sudah terisi. Sambil mendapat tepukan gemuruh dari peserta. Saya juga diberitahu ramai rakan artis yang telah menyertainya seperti Linda Rafar dan keluarga termasuk Zamarul, Dato' Sharifah Aini

ESQ juga menjemput NGO seperti anggota JIM untuk melihat bagaimana kursus itu dikendalikan dan mengambil mana-mana kaedah yang sesuai untuk dijadikan contoh pendekatan kursus. Ini jelas menunjukkan ESQ tidak kedekut ilmu malah ingin sama-sama berkongsi kaedah dengan pembimbing kursus lain bagi mencapai hasil yang memuaskan dan semuanya untuk kesejahteraan ummah.

11 April, 2009

Tahniah Siti Aminah




Hari itu dia datang ke ITNM. Khas untuk edarkan kad jemputannya. Dia masih peramah dan manis seperti dahulu. Ada orang pernah berbisik kepadaku. Siti ni macam Ning Baizura. Ya kata aku bersetuju dengannya. Itulah Siti Aminah Dato Shahbuddin bekas PR ITNM yang pandai menyanyi dan kalau jadi emcee sedap dan lunak sekali suaranya.

Kali pertama berjumpanya dahulu ketika dia menjadi pengacara majlis pengucapan puisi dunia di rumah PENA, aku pula membacakan puisi terjemahan. Selepas itu dia ditawarkan menjadi pegawai perhubungan di ITNM tetapi cuma untuk beberapa tahun. Selepas itu beritanya jarang didengar tetapi sekali sekala dia menelefon dan mengirimkan SMS bertanyakan khabar.

Suatu waktu pernah terserempaknya di Galaxy Ampang dia menonton wayang bersama seseorang. Rupanya itulah bakal suaminya yang akan secara rasmi akan menjadi suaminya hari ini. Tahniah Siti Aminah Dato' Shahbuddin. Semoga kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

10 April, 2009

Puisi- Atas Nama Cinta dan Rindu

cahaya yang menghilang itu
menyambar pagiku
merentasi
beberapa daerah
melangkaui sempadan nyata
masuk menyelinap nuraniku
menyentap kalbu
menularkan resah yang tak keruan
sebentar itu
deringan mengiringi rasa
yang hadir terdahulu

khabar hitam
membawa jasadku mendekati realiti
mengubati karam yang gundah
di sisinya suri yang setia cinta
berlagu tabah berdendang tenang
meniupkan semangat yang hilang
akhirnya bangkitlah dia
sang malang dari tidur yang sakit
kembali dia bernafas dari doa mereka
atas nama cinta dan rindu
syukur, tahmid dan tasbih
padaMu yang Esa

Enche's
April 2009

Puisi buat adindaku