07 February, 2010

Sabtu yang Padat

Sabtu tanpa Beg Plastik

Sementara menunggu teman di Petronas Bukit Antarabangsa untuk ke kenduri Nasharudin & Naquiah aku sempat lagi membuat belian pantas beberapa barangan perlu di Guardian bersebelahan Pasaraya Giant. Shampo badan, busa cukur, pencuci muka dan jajan. Tak cukup tangan aku memeluk barang-barang itu ke kaunter.

Setelah selesai membuat bayaran penjaga kaunter senyum memberitahu aku bahawa hari ini (Sabtu) adalah hari tanpa beg plastik bagi negeri Selangor. Aku mengangguk tanda faham. Tetapi dalam hati bila pula ada hari-hari seperti ini? Betapa lamanya aku tak tengok siaran berita di televisyen atau betapa lamanya aku tak baca surat khabar? Aduh. Bagaimana kalau ada orang yang macam aku ke Pasaraya Giant dan borong macam nak rak hari itu dan tiba di kaunter setelah di bayar penjaga kaunter memberitahu begitu.

Nampaknya aku terpaksa simpan dulu barang dalam kereta. Nasib baik dalam kereta dah ada beg guna pakai yang sentiasa aku letakkan. Jadi teratur jugalah barang-barang itu dalam kereta. Apabila naik kembali ke bangunan pasaraya itu barulah aku terbaca sebuah poster mengenai hari tanpa beg plastik itu yang ditampal di dinding bangunan. Selepas itu aku tengok seorang bapa memeluk sebuah kotak sarat dengan barangan beliannya bersama seorang anaknya yang baru keluar dari pasaraya itu. Aku sempat menyapanya membawa barang tanpa beg plastik. Dia seperti tiada masalah dan berjalan selamba.

Seingat aku penggunaan beg plastik ini mula popular lewat tahun tujuh puluhan. Sebelum itu kalau ke kedai taukeh kedai pakai beg kertas sahaja untuk bungkus beras dan gunakan kotak untuk isi barang-barang yang dijual sebiji macam bapa muda yang beli barang-barang yang baru aku lihat itu.

Syabas Selangor kerana melaksana kempen menyelamatkan dunia ini. Akupun dah mula biasakan tidak mahu beg plastik jika beli barang yang boleh dibawa dengan tangan sahaja. Kuala Lumpur bila lagi mahu mengikutinya?

Selamat Pengantin Baru Shah dan Quiah!


Itulah kali pertama aku melihat di hari yang penuh bersejarah pengantin memilih tarian singa bagi memeriahkan majlis perkahwinannya selain tidak melupakan pasukan kompang. Semangat 1 Malaysia. Tahniah Shah semoga rumahtangga kamu berdua kekal sehingga ke akhir hayat dan kamu di kurniakan zuriat yang akan memakmurkan alam ini.















No comments: