LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal adalah sebuah produksi terbitan bersama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Tall Order Production (TOP), dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Teater ini diangkat daripada novel grafik Kampung Boy tulisan Datuk Mohd Nor Khalid (Lat), yang dikembangkan penceritaannya berdasarkan suka duka kehidupan beliau sejak kanak-kanak bermula tahun 1958 hinggalah kepada 1988 – era kemuncak pencapaian kerjayanya sebagai kartunis (rujuk Sinopsis).
Pementasan teater ini dinaungi Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Razak yang melihat novel grafik The Kampung Boy karya Datuk Lat sebagai hasil kreatif yang sangat ideal dalam menggarap aspirasi “Gagasan 1Malaysia” dalam penceritaan serta persembahan wataknya, tanpa mengira beza bahasa, bangsa dan agama. Berikut adalah kronologi peristiwa yang membawa kepada penerbitan LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal:
Ogos 2009
Idea asal menerbitkan teater ini tercetus daripada pihak pengurusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sekitar Disember 2008. Hal ini adalah berdasarkan kepada pertimbangan yang mengambil kira kejayaan novel grafik The Kampung Boy hasil tulisan Datuk Lat yang telah diterjemahkan kepada 13 bahasa utama dunia (antaranya Jepun, Korea, Itali, Sepanyol, Jerman dan Arab), selain dipasarkan di lebih 10 negara, sekali gus meletakkan beliau sebagai ikon terjemahan negara.
November 2009
Wakil pengurusan ITNM mengunjungi Datuk Lat di Ipoh bagi menyampaikan hasrat tersebut, dan sekali gus juga mendapatkan pandangan beliau mengenainya. Bersikap terbuka, tetapi berhati-hati, Datuk Lat bagaimanapun mengenakan syarat bahawa pementasan itu nanti perlu membawa konsep 1Malaysia yang bersifat muhibbah, sama seperti cara beliau mencorakkan gabungan karakter pelbagai bangsa pada setiap hasil karyanya. Dan syarat itu juga katanya, tidak terhad kepada hanya pelakon di pentas, tetapi termasuk juga keseluruhan tenaga kerja produksi.
Januari 2010
Istana Budaya mengumumkan LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal sebagai satu antara pementasan yang akan mengisi kalendar Istana Budaya bagi 2010, dan mencadangkan kepada ITNM untuk bekerjasama dengan Tall Order Production (TOP), susulan reputasi cemerlang syarikat tersebut mementaskan Cuci The Musical selama dua musim berturut-turut.
Julai 2010
Kata sepakat untuk bertindak sebagai penerbit bersama LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal dicapai antara ITNM serta TOP, sebelum persefahaman seterusnya dicapai untuk menjalin kerjasama dengan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) – menerusi Istana Budaya. Sejak itu, bermulalah pelbagai kerja asas serta kajian awal, termasuklah beberapa siri pertemuan dengan Datuk Lat bagi tujuan penyelidikan bahan untuk penyediaan skrip.
Disember 2010
Teater ini mulanya dijadualkan pementasannya pada pertengahan Disember 2010, tetapi kemudiannya ditunda kepada Mac 2011. Selain mencari peluang untuk membuat persiapan lebih rapi, penundaan ini juga membawa hikmah istimewa apabila tarikh itu selari dengan ulang tahun ke-60 kelahiran Datuk Lat.
Selain menjadi ikon terjemahan negara, rasional menerbitkan teater ini juga adalah sebagai satu usaha untuk memberi nilai tambah kepada hayat buku. Adaptasi dan transformasi novel grafik The Kampung Boy kepada medium teater adalah kaedah yang dapat menghidupkan jualan buku ini secara berterusan kepada masyarakat pembaca Malaysia. Konsep ini adalah satu kebiasaan di Barat, dan sangat membantu sesebuah karya untuk kekal lama di pasaran. Karya Shakespeare contohnya, diadaptasi ke pelbagai medium berbeza – komik, drama, teater dan filem. Begitu juga Harry Porter yang sangat berjaya di seluruh dunia, baik dalam bentuk buku, mahupun filem. Hasil kaedah ini, penceritaan mampu terus hidup, sekali gus membantu pasaran bagi semua medium adaptasi.
Selain itu, memindahkan visual tampak daripada buku tersebut kepada realiti lakonan hidup di pentas juga secara tidak langsung dapat menghidupkan semula pelbagai elemen yang hampir pupus kesan evolusi moden kehidupan hari ini. Permainan kampung seperti menarik upih pinang contohnya pasti tidak akan dikenali generasi akan datang jika tiada usaha dibuat untuk sekurang-kurangnya memperkenalkan ia kepada mereka menerusi medium lain, dan teater adalah satu antara kaedah terbaik melakukannya. Teater tidak sekadar menghibur, tetapi tanpa sedar, ia juga hakikatnya mendidik penonton.
Teater ini akan dipentaskan di Istana Budaya, bermula 16 Mac hingga 3 April 2011. Skrip LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal dihasilkan oleh Harith Iskander yang akan juga bertindak sebagai Pengarah Bersama dengan Hans Isaac. Berikut adalah senarai tenaga utama produksi:
◦Penerbit Eksekutif : Mohd Khair Ngadiron & Hans Isaac
◦Penerbit : Hans Isaac
◦Pengarah : Hans Isaac & Harith Iskander
◦Penulis Skrip : Harith Iskander & Kuah Jenhan (Penulis Bersama)
◦Penasihat Pementasan : Mamat Khalid
◦Pengarah Muzik : Michael Veerapen
◦Koreografer : Taufik Ibrahim (Pat)
◦Pereka Kostum : Devorsine Dominique
Teater ini akan dilakonkan oleh Sandra Sodhy sebagai Mrs. Hew, Omar Abdullah (Pak Samad), Jalil Hamid (ayah Lat), Atilia (isteri Lat, Faezah), Douglas Lim (kawan Lat, Frankie) dan Pushpa Narayan (Ms. Thambi). Tiket untuk pementasan ini berharga dari RM40 hingga RM300. Untuk pertanyaan serta tempahan, orang ramai diminta menghubungi Ticket2u.biz di talian 03-4147 8600.
Sila Klik di sini untuk perkembangan di FB
No comments:
Post a Comment