Rambut sama hitam hati lain-lain. Kita mempunyai ramai kawan di sekeliling kita dalam kehidupan sehari-hari. Tiada manusia yang tiada mempunyai kawan. Anehlah jika ada manusia mengatakan mereka tiada kawan. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada sikap dan tingkah laku seseorang apabila mereka mengatakan mereka tiada kawan.
Setiap orang yang kita anggap kawan akan kita letakkan mereka dalam kelas-kelas yang tertentu berdasarkan keakraban kita dengan mereka. Misalnya kawan sekadar kenal, kalau kawan itu tidak menghubungi kita dalam tempoh tertentu kita tidak akan berkecil hati, dia tetap menjadi kawan kerana statusnya tidak terlalu penting buat diri kita, kalau buat kenduri tidak jemput kita pun kita tidak terasa.
Ada kawan karib yang kalau dia tidak menghubungi kita dalam seminggu kita pasti akan tertanya-tanya apa yang telah berlaku kepada dirinya malah bukan setakat itu kita juga akan tertanya apa yang telah aku buat kepada dirinya sehingga dia tidak lagi menghubungi diriku lagi. Yang jenis ini kalau buat kenduri tak jemput pasti akan dapat maki hamun. Tak percaya? Cubalah!
Saya ingin membawa kisah kawan yang diceritakan oleh seorang sahabat kepada saya beberapa hari yang lalu. Cerita seorang sahabat itu kepada saya dia dijemput oleh kawan lamanya di suatu jamuan hari raya. Kerana menghormati persahabatan sahabat saya telah menerima jemputan tersebut dan menghadirinya. Dia hadir sendirian.
Satu kumpulan teman sepejabat kepada tuan rumah telah hadir dalam majlis itu. Sahabat saya diperkenalkan kepada kumpulan tersebut. Yang paling tidak sedap katanya dia memperkenalkan dengan cara diaibkan. Rupanya tuan rumah tersebut pernah berurusan dengan syarikat sahabat saya itu kerana tugasan rasmi tetapi urusan tersebut tidak berlaku di antara tuan rumah dengan sahabat saya itu. Urusannya seratus peratus tidak berkaitan antara dua sahabat tersebut. Nak dijadikan cerita urusan pekerjaan itu tergendala kerana sahabat saya sendiri tidak mengetahui puncanya.
Sahabat saya bercerita lagi. Beginilah dia diperkenalkan hari itu.
"Kenalkan kepada anda semua ini Encik Anu yang bekerja dengan Syarikat sekian-sekian. Ingat tak kita pernah hantar kerja kepada syarikatnya tapi kerja tu tak siap-siap. Inilah orang dari syarikat itu." Kata tuan rumah kepada sahabat saya.
Sahabat saya berisytifar di dalam hati. Katanya itukah tujuannya menjemputnya di majlis itu. Itu hal rasmi berkaitan dengan kerja dan kerja itu tiada kaitan dengan dirinya. Sahabat saya hadirkan diri atas kapisiti persahabatan bukan atas urusan kerja. Dia tidak menyangka begitu sekali begitu layanan sahabat yang hadir terkontang kanting di hadapan khalayak.
Saya memujuk kepada sahabat saya itu dengan mengatakan kepadanya. Allah sekali-kali tidak akan mengampunkan dosa kepada orang yang memalukan orang lain di hadapan khalayak. Saya kebetulan beberapa hari sebelum itu pernah melihat rancangan yang di kendalikan oleh Ustaz Dato Dr. Fadzilah Kamsah di astro-begitulah kata-katanya di dalam rancangan itu. Sahabat itu memandang saya dengan pandangan yang sangat dalam.