Lama betul aku tidak menulis entri baru. Aku semakin jauh dengan blog yang amat menghantui hidupku suatu waktu dahulu. Kali ini aku terpaksa melawan kemalasan itu semata-mata kerana suatu entri yang aku rasa patut aku tulis dan kongsi dengan semua orang.
Ianya ada kaitan dengan kaitan entri aku yang lepas. Aku mencari-cari entri lepas yang pernah aku tulis. 30 mac 2010. Anda boleh membacanya di sini. Sudah setahun lebih aku menulisnya. Beberapa minggu lepas dalam kesibukan bertugas kerana pementasan teater, aku ditugaskan untuk mengedarkan tiket teater kepada tetamu jemputan. Ketika itu aku menerima satu SMS khidmat pesanan ringkas dari abang ku yang berbunyi.
"Mek Nasir SB royat kata Mak Cik Haji Yahaya – Batu Dua meninggal dua hari lepas."
SMS itu memberitahu aku bahawa Mak Cik Haji Yahaya – penyewa rumah kepada keluarga kami dahulu telah kembali ke rahmatullah. Di saat saat itu aku benar-benar sibuk. Sepatutnya aku buat tak kisah sahaja kepada SMS yang aku terima kerana aku tidak menunggu sebarang pesanan ringkas yang penting. Tetapi entah kenapa ketika itu aku terasa seperti disuruh untuk melihat kandungan pesanan ringkas itu.
Aku menjadi tak keruan. Mujurlah aku tidak keseorangan bertugas. Aku mencari ruang untuk melepaskan rasa sebak di dada. MakCik telah pergi buat selama-lama rupanya. Patutlah MakCik rasa hendak sangat jumpa aku tahun lepas rupanya Makcik hendak lihat aku buat kali yang terakhir. Fikiran aku melayang sejenak mengingati saat aku berjumpa dengan MakCik yang sudah uzur ketika itu. Tetapi Makcik cuma tidak boleh berjalan – MakCik hanya boleh mengensot sahaja.
Peristiwa berjumpa dengan MakCik itu telah sampai ke pengetahuan bonda dan selepas itu bonda juga turut berjumpa dengan MakCik. Bonda minta abang kakak dan adik-adikku yang kenal MakCik turut jumpa Makcik dan ada di antara mereka yang berkesempatan menemuinya. Dan itu adalah merupakan pertemuan kami adik beradik yang terakhir dengan MakCik.
Beberapa hari kemudian aku menelefon Kak Ya untuk bertanyakan pasal ini. Kak Ya memberitahuku MakCik meninggal kerana sakit tua. Yalah usia MakCik sudahpun lanjut. Kata Kak Ya nasib baik kami tergerak hati untuk berjumpa dengannya kalau tak sudah tentu ia akan menjadi hajat yang tidak kesampaian. Kak Ya masih mengulangi kisah yang lalu katanya apabila bonda hendak ke kedai bonda sering meninggalkan aku kepada MakCik. Sebab itu MakCik ingat-ingat sangat kepada aku.
Oleh itu nasihatku kepada teman-teman jika ada seseorang yang rindukan anda dan ingin bertemu janganlah ditangguhkan hasrat itu kerana ia mungkin akan menjadi kenangan terakhir anda dangannya. Buat MakCik aku doakan semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Amin.