Beberapa kali juga kak Ya (kakak ku) menyampai hasrat seorang yang ku panggil Makcik ingin melihat aku setelah lebih dari 30 tahun keluarga aku pindah dari rumahnya yang kami sewa.
Bonda melahirkan aku di rumahnya. Aku membesar di rumah sewanya. Lama juga kami tinggal di rumahnya sehingga aku berumur 4-5 tahun aku pun lupa. Sejak pindah di kediaman baru di WMZ di Kota Bharu kami sekeluarga sudah jarang datang ke rumah Makcik.
Kak Ya akhirnya kahwin dengan saudara kami yang tinggal sekampung dengan rumah Makcik. Pun begitu aku tidak terlintas untuk mengunjungi Makcik lagi. Seolah-olah hubungan tuan rumah-penyewa itu sudah tiada lagi.
Suatu hari aku Kak Ya berjumpa dengan Mek anak Makcik di sebuah kenduri. Mek masih ramah. Aku ingat Mek sebab rajin menghidangkan aku air gula dan kami makan nasi cicah budu dengan kangkung dari belakang rumah Makcik! Itu aku tidak lupa.
Mek bilang Makcik sudah uzur hanya boleh mengensot sahaja sekarang tapi masih sihat. Dia kata teringin sangat nak tengok aku setelah puluhan tahun pindah. Ya lah sejak umur aku 4-5 tahun pindah dan sekali sekala datang menjengah dia. Selepas itu berpuluh tahun aku menyepikan diri. Aku fikir apalah sangat diriku anak penyewa rumah.
Apabila aku pulang ke kampung tahun lepas Kak Ya menyampaikan hasrat Makcik kepada aku. Aku masih menyimpan hasrat bertemu Makcik kerana tempoh aku pulang sangat singkat dan jadual terlalu padat. Aku merancang pulang kali kedua dan aku pastikan aku dapat berjumpa dengan Makcik ketika itu.
Hari yang di nantikan itu tiba aku ke rumah Makcik bersama Kak Ya. Kami dua beradik berjalan kaki sahaja ke rumah Makcik di dalam Kampung Batu Dua itu sambil aku cuba mengingati jalan-jalan itu sewaktu kecil dahulu.
Tiba di perkarangan rumah Makcik aku termenung sejenak kerana semuanya sudah berubah. Rumah sewa kami dahulu sudah tak ada. Makcik sekarang tinggal dengan Mek yang telah kematian suami. Masih rumah yang asal tetapi telah diubahsuai. Betapa lama aku tidak datang sehingga rumah itu berubahpun aku tidak sedar. Kak Ya masih sempat menunjukkan kepada aku tapak rumah aku dilahirkan.
Setelah dijemput masuk oleh Mek aku duduk di ruang tamu bersama Kak Ya. Mek ke dapur menyiapkan minuman. Mek kata Makcik ada di dalam bilik sedang solat Asar. Hati aku tak sabar nak jumpa Makcik yang pernah manjakan aku di waktu kecil.
Seketika itu akupun melihat seorang wanita yang usianya 80 tahun dalam keadaan yang amat susah mengensot keluar dari bilik. Sangat pilu dan hiba sekali aku melihatnya. Mek memerhatikan sahaja Makcik mengensot perlahan-lahan ketika dia membawa dulang minuman kepada kami. Makcik mengambil tempat bersila di ruang tamu. Melihatkan Makcik duduk di situ aku dan Kak Ya turun dari kerusi yang empuk untuk duduk di lantai bersama Makcik.
"Oh..dah besar macam gini rupanya" kata Makcik dengan reaksi yang sangat gembira ketika aku bersalam dengannya.
Aku cium tangan Makcik dan pipi Makcik kiri dan kanan. Aku peluk Makcik lama-lama sebab aku sedar Makcik sedang sebak dan menangis ketika itu. Aku malu nak pandang semua sebab aku tahu Kak Ya dan Mek juga sebak ketika itu.
Kami terus berborak selepas itu. Macam-macam Makcik tanya pada aku. Makcik tanya abang, kakak dan adik-adik yang lain. Lepas itu Makcik cerita kepada aku betapa romantisnya Bonda dan Ayahnda ku ketika duduk di rumah sewanya. Sesuatu yang sangat aku ingat dan tidak pernah diketahui oleh adik beradikku yang lain.
Kata Makcik arwah abah selalu uzur di waktu mudanya. Ketika arwah abah tidak larat untuk mandi bonda akan mengambil tuala dan mengelap seluruh badan arwah abah. Setiap petang Makcik nampak dari rumah Makcik bonda lap badan abah setelah penat menguruskan rumah tangganya seharian dengan pelbagai karenah anak-anaknya yang sebelas orang. Bonda sangat tabah walaupun penat sambil lap bonda bernyanyi-nyanyi kecil. Makcik senyum sambil bercerita dan tak sedar aku dan Kak Ya sedang mengalirkan airmata mendengarnya.
Aku juga sempat tanya kepada Makcik di mana pohon rambutan yang aku suka akan buahnya. Makcik senyum lebar. Dia ingat sangat tentang buah rambutan itu kerana setiap kali datang aku akan minta Makcik kaitkan untuknya. Tapi pohon itu sudah Makcik tebang bertahun-tahun yang lalu.
Tiba masa untuk pulang aku mohon diri kepada Makcik untuk pulang. Aku memegang erat tangan Makcik dan menciumnya sambil tertanya sendiri di dalam hati bila lagi aku akan datang ke rumah Makcik. Buat kakakku yang lain, abang dan adik-adik kalau ingat Makcik ziarahlah Makcik yang sedang rindu dengan keluarga kita! Keluarga kita pernah wujud di hati Makcik dan Makcik sekali sekali tidak dapat melupakannya. Terima Kasih Makcik kerana mengingati aku dan pernah memberikan kasih sayang sewaktu aku kecil dahulu.
2 comments:
sungguh terharu kanns,
salamm,
kirim sale ke mek mu, dolloh
Post a Comment