23 February, 2012

Novel Baru – Puteri 9 Sepuluh







Begitu cepat waktu berlalu. Diam tak diam kita sudah dua bulan melewati tahun 2012. Perjalanan merialisasikan Puteri 9 Sepuluh sebagai satu lagi koleksi novel terbaharu karya enchelah semakin menjadi nyata setelah kelahiran Lembayung Cinta pada 2011.


Sebelum ini di entri yang lalu aku masih belum dapat memutuskan apakah tajuk novel baruku. Ketika post itu keluar ramailah di antara kawan-kawan yang ingin menamakan novelku itu seolah-olah mereka sudah membacanya. Lucu pun ada. Menamakan novel tidak seperti menamakan bayi yang baru lahir kerana novel sudah ada jalan ceritanya. Tajuk harus melambangkan ceritanya. Setuju?


Sedangkan menamakan bayi kita cari nama-nama yang baik ertinya buat mereka dengan harapan bayi itu dapat membawa makna kepada nama yang diberikan kepadanya. Itulah harapan semua ibu bapa di dunia.


Okey kita tinggalkan bab itu. Aku tak nak membebel nanti kau orang bosan dan lari!. Berbalik kepada cerita novel ni. Sekarang dalam peringkat semakan pruf setelah siap atur huruf. Cekap betul orang-orang PelangiNovel ni bekerja J. Terima kasih Puan Istikamah dan Mr. Poh. Aku juga yang minta novel ini disiapkan cepat supaya sempat masuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 yang akan berlangsung pada bulan April ini. Jangan lupa ya dapatkan novel yang panas-panas ini nanti.


Kulitnya cadangannya pun telah aku persetujui. Nak tengok? Haha tak boleh lah. Masih menjadi rahsia. Pada awalnya aku menyiapkan sendiri derafnya dan hantar kepada PelangiNovel. Dari situ mereka dan kembangkan sedikit ideanya. Emmm cantik…macam watak puteri dalam novel tu jugak. J


Di sini aku perturunkan tiga lakaran kasar yang asal untuk novel ini. Insya Allah jika sudah pasti yang mana satu yang akan dicetak aku akan post di sini.

07 February, 2012

Kanvas kehidupan – Kenangan Maulidur Rasul

Maulidur Rasul datang dan pergi setiap tahun. Setiap kali ia tiba kerajaan telah menjadikannya sebagai hari cuti umum semenjak sekian lama. Pada hari itu berbagai program dibuat untuk memperingati rasululllah kerana ianya hari kelahiran junjungan besar kita nabi Muhammad S.A.W. Di peringkat kebangsaan dan negeri selalunya diadakan majlis bacaan yaasin dan tahlil dan juga perarakan yang melibatkan umat Islam di sesuatu kawasan.

Setiap kali Maulidur Rasul datang aku akan ingat akan ada orang berselawat akan ada orang berarak di sesuatu kawasan dan akupun pernah menyertai mereka. Lebih dari itu kedatangan Maulidur Rasul mengingatkan aku mengenai perselisihan faham di antara aku dengan seorang teman mengenai pengisian cuti sempena Maulidur Rasul. Aku ingin menamakan teman ini sebagai H.

Ketika itu sebelum menjelang Maulidur Rasul. Aku telah membawa H ke suatu kedai makan milik emak kawanku yang ingin aku namakan sebagai N. Di situ aku kenalkan H kepada kawanku N. N baharu sahaja dilantik sebagai ahli jawatankuasa untuk majlis sambutan Maulidur Rasul di kawasannya. Tugasnya untuk mendapatkan dana bagi perbelanjaan majlis itu. Aku merasa sangat bangga kerana kawanku N itu masih muda dan sudah mula berjinak untuk acara-acara seperti itu ketika rakannya yang lain suka merempit dan melepak.

Ketika N menyatakan hasratnya mengumpulkan dana itu aku dengan terbuka hati sanggup memberikan sumbangan kepadanya dan aku juga mempelawa kawanku H turut sama menyumbang jika dia tidak keberatan. Tetapi aku sangat kecewa apabila H menolak mentah-mentah perlawaan itu dengan mengatakan perbuatan sambutan Maulidur Rasul itu adalah perbuatan bidaah. Tidak ada di zaman rasulullah. Aduh naik bingung aku jadinya.

Aku tidak menafikannya memang rasulullah tidak menyuruh dan tidak pernah mengadakan acara mengingati kelahiranya. Tetapi jika kita fikirkan secara rasional memanfaatkan cuti sempena kegiatan begitu tiada salahnya daripada tidak berbuat apa-apa. Cuti yang kosong akan menyebabkan anak-anak muda akan berkeliaran, merempit, melepak, buang masa dengan menonton wayang bermain boling atau apa sahaja. Adakah itu yang kita ingin lihat?

Bukanlah elok jika diisi masa dengan aktiviti begitu sambil mengingatkan kepada mereka bahawa kegiatan itu tidak pernah dibuat di zaman rasulullah tetapi demi memanfaatkan waktu supaya tidak terbuang begitu sahaja maka aktiviti tersebut dibuat.

Kini sahabatku H tiada lagi di dunia dia telah pergi buat selama-lamanya tahun lepas. Dia memang seorang yang alim dan baik. Itu cuma perselisihan pendapat di antara kami. Semoga Allah mengampunkan dosaku dan dosanya jika kami tersilap dalam hal ini.