Maulidur Rasul datang dan pergi setiap tahun. Setiap kali ia tiba kerajaan telah menjadikannya sebagai hari cuti umum semenjak sekian lama. Pada hari itu berbagai program dibuat untuk memperingati rasululllah kerana ianya hari kelahiran junjungan besar kita nabi Muhammad S.A.W. Di peringkat kebangsaan dan negeri selalunya diadakan majlis bacaan yaasin dan tahlil dan juga perarakan yang melibatkan umat Islam di sesuatu kawasan.
Setiap kali Maulidur Rasul datang aku akan ingat akan ada orang berselawat akan ada orang berarak di sesuatu kawasan dan akupun pernah menyertai mereka. Lebih dari itu kedatangan Maulidur Rasul mengingatkan aku mengenai perselisihan faham di antara aku dengan seorang teman mengenai pengisian cuti sempena Maulidur Rasul. Aku ingin menamakan teman ini sebagai H.
Ketika itu sebelum menjelang Maulidur Rasul. Aku telah membawa H ke suatu kedai makan milik emak kawanku yang ingin aku namakan sebagai N. Di situ aku kenalkan H kepada kawanku N. N baharu sahaja dilantik sebagai ahli jawatankuasa untuk majlis sambutan Maulidur Rasul di kawasannya. Tugasnya untuk mendapatkan dana bagi perbelanjaan majlis itu. Aku merasa sangat bangga kerana kawanku N itu masih muda dan sudah mula berjinak untuk acara-acara seperti itu ketika rakannya yang lain suka merempit dan melepak.
Ketika N menyatakan hasratnya mengumpulkan dana itu aku dengan terbuka hati sanggup memberikan sumbangan kepadanya dan aku juga mempelawa kawanku H turut sama menyumbang jika dia tidak keberatan. Tetapi aku sangat kecewa apabila H menolak mentah-mentah perlawaan itu dengan mengatakan perbuatan sambutan Maulidur Rasul itu adalah perbuatan bidaah. Tidak ada di zaman rasulullah. Aduh naik bingung aku jadinya.
Aku tidak menafikannya memang rasulullah tidak menyuruh dan tidak pernah mengadakan acara mengingati kelahiranya. Tetapi jika kita fikirkan secara rasional memanfaatkan cuti sempena kegiatan begitu tiada salahnya daripada tidak berbuat apa-apa. Cuti yang kosong akan menyebabkan anak-anak muda akan berkeliaran, merempit, melepak, buang masa dengan menonton wayang bermain boling atau apa sahaja. Adakah itu yang kita ingin lihat?
Bukanlah elok jika diisi masa dengan aktiviti begitu sambil mengingatkan kepada mereka bahawa kegiatan itu tidak pernah dibuat di zaman rasulullah tetapi demi memanfaatkan waktu supaya tidak terbuang begitu sahaja maka aktiviti tersebut dibuat.
Kini sahabatku H tiada lagi di dunia dia telah pergi buat selama-lamanya tahun lepas. Dia memang seorang yang alim dan baik. Itu cuma perselisihan pendapat di antara kami. Semoga Allah mengampunkan dosaku dan dosanya jika kami tersilap dalam hal ini.