Aku cuma diam. Aku tahu mulut comel sebenar dah lama berbau. Tetapi aku tidak tahu itu symptom dia menderita sakit buah pinggang. Padanlah dia sudah tak mahu minum air selepas makan. Terburu-buru mahu lekas keluar rumah. Selepas memboloskan diri dari jeriji besi yang dipanjatnya Comel akan menoleh sekali apabila aku memanggilnya sebelum dia turun turun setiap kali selepas makan.
"Dia sekarang terlalu lemah. Saya akan beri dia antibiotic dan multivitamin. Tapi itu tak menjamin dia akan sembuh. Nanti balik rumah beri dia mimun air rebusan ikan atau ayam sahaja." kata doktor itu lagi.
Dalam hatiku sudah terdetik dia akan pergi tidak lama lagi. Berapa lama Comel hendak minum air rebusan itu?
Pagi 19 Mei Comel seperti biasa menunggu di pintu rumahku menunggu makanannya. Ketika aku sibuk bersiap hendak ke pejabat ketika itu jugalah dia akan sibuk menagih simpatinya dariku. Itu rutin biasanya selama empat tahun sejak dari tahun 2010. Ketika itu dia bersama dengan si Hitam yang telah menghilangkan diri.
Aku menghidangkan makanan keringnya di pinggannya. dia memandang dari jauh sahaja. dengan terkocoh-kocoh aku buka makanan basah pula untuknya. Dia hanya menjauhkan dirinya.. Sikap aneh yang ditunjukkan itu berbekas di hati ini. Comel sudah buang tabiat.
Petang itu aku pulang awal daripada biasa. Aku ingin lihat keadaan Comel yang sudah berubah dari segi fizikalnya kebelakangan ini. Dia sudah terlalu kurus. Hanya tinggal kulit dan tulang. Jam 6.00 lebih aku tiba di tangga apartment aku lihat Comel sudah berada di tangga dalam keadaan tidak berdaya untuk berjalan. Badannya menggigil dia mengiow tapi suaranya tidak kelihatan. Sudah lama aku tidak dengar suaranya kerana Comel mempunyai masalah dalam mulut. Kata doktor mulutnya juga kena ulser.
Aku mengangkat Comel masuk ke dalam sangkarnya dan membawanya masuk ke dalam rumah. Aku alas ia dengan kain dan letakkan di dapur dan mula menyuapkannya air. Dia menepis tapi aku gagahkan juga walau dia mencakar-cakar tanganku. Air rebusan ayam juga aku beri. Amat tenat keadaannya. Setelah air itu masuk ke dalam tubuhnya aku lihat Comel diam dan mula tidur keletihan.
Setelah selesai solat Maghrib aku mendekati Comel dan berkata kepadanya. "Acik nak keluar makan. Comel duduk baik-baik. Sekejap sahaja nanti Acik balik semula." Memang tak lama aku pergi, setengah jam sahaja aku kembali semula.
Tapi aku sangat terperanjat tatkala melangkah masuk ke rumah kerana kulihat Comel telah berada di luar sangkarnya dengan air kencingnya di lantai dan dia terbaring kesakitan. Aku pasti dia dengan bersusah payah keluar dari sangkarnya untuk kencing di Tanah seperti biasa tetapi kudratnya sudah tiada lagi.
Aku bersihkan lantai dan sedikit badanya dan meletakkan kembali Comel di dalam sangkarnya. Malam itu sementara menonton TV dan sambil membaca mataku tidak lepas dari menjeling ke arah Comel. Dia seperti sudah nazak. Aku melambai-lambai tangan ke arahnya tetapi tiada respon. Matanya seperti sudah buka. Dia bernafas perlahan-lahan dan sekali-sekala tercungap-cungap kesakitan.
Jam 12.00 aku tersedar dari tidur. Entah bila aku terlena. Aku melihat mulut Comel sudah ternganga.
Dan aku berkata dalam hati. " Ya Allah jika kau mahu mengambil nyawa malam ini aku reda Ya Allah tapi berilah aku kesempatan untuk melihat dia pergi Ya Allah." Aku mengusap-usap badannya yang kering. Dia tidak memberi respon lagi ketika itu. Tetapi dia masih terus bernafas. Aku tenang kerana Comel masih bernyawa.
Seketika aku terlena lagi. Jam 4.15 pagi aku tersedar lagi apabila aku dengar nafasnya yang kuat. Mulutnya sudah ternganga. Aku mendekati Comel dan memanggil-manggil namanya. Aku lihat ada sedikit gerakan badannya walaupun keadaannya sudah begitu teruk.
Aku terus memanggil namanya beberapa kali dan selepas itu ketika jam menunjukkan pukul 4.30 pagi perut Comel sudah tidak bergerak lagi. Aku tahu ia sudah pergi buat selama-lamanya.
Terima kasih Allah meminjamkan Comel buatku untuk sementara waktu. Aku harap dapat berjumpa lagi dengan Comel si manja hatiku walaupun cuma hanya di dalam mimpi!
1 comment:
sedihnye...kucing saya pun dulu ade masalah buah pinggang..tapi dah ok lepas operate...die mati sebab kene langgar...
Post a Comment