31 October, 2010

Tahniah Pasukan Bola Sepak Kelantan

Malam tadi kawe bermalam di rumah adik di Bangi. Pagi tadi adik kawe keluar rumah pagi-pagi lagi cari nasi berlauk untuk kawe dan bonda, lepas itu balik dari gerai tu adik kawe bawa berita yang kawe pagi-pagi lagi dok tertanya dalam hati sebab malam tadi kawe tak boleh nak buka tv sebab bonda tidur depan tv. Kalau tak sejak semalam kawe dah tau keputusan perlawanan akhir Piala Malaysia tu.

Adik kawe bagi tahu pasukan negeri kami adik beradik, Cik Siti wan Kembang dah menang 2-1. Itu adalah sejarah bagi pasukan Kelantan menang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. Tahun lepas pasukan ini juga bertarung dengan pasukan yang sama berlawan dengan Negeri Sembilan. Kawe walaupun bukan kaki bola tapi bab yang melibatkan negeri tiba-tiba raa darah kawe. Gomo Kelate gomo.

29 October, 2010

Bisikan Sendu


Teman atas teman
kita dipertemukan
singkat sekali waktu itu
kita diberi peluang untuk kenal
seperti sesingkatnya usia di dunia ini
kita diburu keterbatasan yang melampaui segalanya
tuntutan kerja dan kasih sayang pada kehidupan
atas rasa tanggungjawab kita sering terpisah
namun ingatan silaturahim tetap menghijau
dan terus hijau di sanubari
hari itu aku dikejutkan dengan berita pilu
kau terlantar dengan keanihan kesakitanmu
sayang sekali aku terus direntangi tanggungjawab
yang tidak dapat aku abaikan pada kehidupanku
namun aku tidak pernah aku berputusan asa
untuk menghubungi dan mendapatkan khabarmu
di tanah kelahiranmu yang bergelar Serambi Mekah
hanya aku dapat kiriman sms dari saudaramu
mengatakan kau tidak lagi berdaya membalas
helaian-helaian pertanyaan yang datang
di telefonmu.
akhirnya ketika aku tidak pernah putus
untuk berdoa buat kesihatanmu
aku terkaku mendengar tiupan sendu
seorang sahabat membisikkan bicara
kau sudah pergi dijemput Ilahi
makin aku merasakan
bahawa kehidupan ini
sementara yang pasti
satu demi satu
ruang itu di hati
makin kosong
aku telah disoal dengan keimananku
aku telah ditanya mengenai kesementaraan ini
aku telah dipujuk menjadi manusia yang semakin reda
dengan hakikat kehidupan
dan mengingatkan aku bahawa
sebenarnya aku telah hidup atas satu perjanjian
yang telah aku lafazkan
sebelum aku berpijak di sini
Enchelah
Sri Kayangan
29 Oktober 2010

21 October, 2010

Sebelas tujuh minit pagi khamis

Mengapa aku harus gembira hari ini. Dan itulah detik aku menerima panggilan telefon dari Syarikat Penerbitan Pelangi Johor Bahru. Pemanggilnya seorang wanita dan aku lupa untuk menanyakan namanya. Ia bertanyakan untuk memastikan bahawa telefon itu adalah milik aku.

" Saudara ni pernah masuk pertandingan menulis novel remaja anjuran pelangi dan Majlis Belia Kebangsaan kan pada tahun lepas?" ia bertanya.

"ya." Kataku yang sememangnya sudah lama menunggu panggilan itu.

"Saudara Enche Abdullah…tahniah anda menang peraduan itu."

Aku terlalu kaget. Gembira sekali.

"Novel saudara akan diterbitkan bulan hadapan dan saudara akan menerima hadiah pada bulan Disember nanti sempena World Children's Book di The Mines." Dia menambah lagi.

Ahh ..aku terlalu gembira.

"Saya menelefon ini berkaitan dengan hak cipta. Pihak kami akan menghantar dokumen perjanjian pada minggu hadapan kepada saudara."

"Okey. Terima kasih puan." Aku membalas.

"Baik untuk itu boleh saya dapatkan nombor kad pengenalan baru encik?" dia meminta.

Lalu aku membacakan nombor kad pengenalanku. Aku terlalu gembira. Baru semalam aku berfikir-fikir untuk menelefon dan menarik balik karyaku kerana sudah kerap kali aku menelefon Sdr. Eliza pegawai UM yang mengendalikan peraduan ini dan katanya pihak berkaitan akan menghubungi aku sekiranya berjaya. Tapi kalau tak berjaya bagaimana. Macam mana aku nak tahu kalau aku tak berjaya kalau mereka tak menghubungi semua peserta dan memberitahu perkembangan itu. Alamatnya terperuklah manuskrip itu di situ dan tidak menjadi apa-apa.

Walau bagaimanapun novelku yang berjudul "Lembayung Cinta" itu menemukan juga jawapan kepada nasibnya dan nasibku yang mencuba buat pertama kali dalam peraduan menulis novel. Ia sebenarnya merupakan novelku yang kedua kerana novel pertamaku berjudul "Kiambang Bertaut" yang siap 85% terhenti di hujung jalan untuk memberi laluan kepada Novel "Lembayung Cinta" itu masuk menyertai peraduan.

Aku mengambil masa 2 bulan menyiapkannya setelah bonda pulang ke kampung setelah menghabiskan masa bersamaku selama lebih 2 bulan di Kuala Lumpur pada tahun lepas. Aku sungguh puas dengan percubaan ini dan aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mentorku novelis dan juga seorang Chef Selebriti Norzailina Nordin yang telah meniupkan semangat agar rasa yang ada dalam diriku dan semangatku untuk menjadi novelis itu menjadi nyata. Terima Kasih sekali lagi Kak, budimu akan kukenang sepanjang hayatku!

20 October, 2010

Kongsi Emel - Profesor Lawan Mahasiswa

Profesor: "Apakah Tuhan menciptakan segala yang ada?".

Seorang mahasiswa: "Betul, Dia anyg menciptakan semuanya". "Tuhan menciptakan semuanya?" Tanya professor sekali lagi."Ya,Pak, semuanya" kata mahasiswa teresbut.

Profesor itu menjawab, "Jika Tuhan menciptakan segalanya, berarti Tuhan menciptakan Kejahatan.

Mahasiswa itu terdiam tidak bisa menjawab hipotesis professor tersebut.Mahasiswa lain berkata, "Profesor, boleh saya bertanya sesuatu?

"Tentu saja," jawab si Profesor

Mahasiswa: "Profesor, apakah dingin itu ada?""Pertanyaan macam apa itu? Tentu saja dingin itu ada. Mahasiswa itu mnjwb, "Kenyataannya, Pak, dingin itu tidak ada.

Menurut hukum fisika, yg kita anggap dingin itu adalah ketiadaan panas. Suhu-460F adalah ketiadaan panas sama sekali. Dan semua partikel menjadi diam dan tidak bisa bereaksi pada suhu tersebut. Kita menciptakan kata dingin untuk mendeskripsikan ketiadaan panas.

Mahasiswa itu melanjutkan, "Profesor, apakah gelap itu ada?"

Profesor itu menjawab, "Tentu saja itu ada."

Mahasiswa itu menjawab, "Sekali lagi anda salah, Pak. Gelap itu juga tidak ada.. Gelap adalah keadaan dimana tidak ada cahaya. Cahaya bisa kita pelajari, gelap tidak. Kita bisa menggunakan prisma Newton untuk memecahkan cahaya menjadi beberapa warna dan mempelajari berbagai panjang gelombang setiap warna..

Tapi Anda tidak bisa mengukur gelap. Seberapa gelap suatu ruangan diukur dengan berapa intensitas cahaya di ruangan tersebut.Kata gelap dipakai manusia untuk mendeskripsikan ketiadaan cahaya."

Akhirnya mahasiswa itu bertanya, "Profesor, apakah kejahatan itu ada?"

Dengan bimbang professor itu menjawab, "Tentu saja!"mahasiswa itu menjawab, "Sekali lagi Anda salah, Pak. Kajahatan itu tidak ada. Kejahatan adalah ketiadaan Tuhan.Seperti dingin atau gelap, kajahatan adalah kata yang dipakai manusia untuk mendeskripsikan ketiadaan Tuhan. Tuhan tidak menciptakan kajahatan.

Kajahatan adalah hasil dari tidak adanya 'Roh Tuhan' di hati manusia."Profesor itu terdiam. Nama mahasiswa itu adalah


Albert Einstein

16 October, 2010

Jangan biarkan rindu




jangan biarkan
jangan biarkan
tolong jangan biarkan
rindu itu terlalu lama di situ
kerana ia bisa membuat aku gila separuh mati

jangan biarkan
jangan biarkan
tolong jangan biarkan
rindu itu duduk di situ sehingga dia tidak tahu
untuk berbuat apa-apa lagi
dan ada yang tersenyum kerananya
sambil memandang sebelah mata

jangan biarkan
jangan biarkan
tolong jangan biarkan
rindu itu berguling-guling di kolam hatiku
sehingga ia terlepas dari cengkerangnya
menerawang di awan gelap itu
dan akhirnya hilang

jangan biarkan
jangan biarkan
tolong jangan biarkan
rindu itu terlalu lama di situ
kerana suatu masa jika ia terlalu menebal
ia akan bertukar menjadi benci yang berduri-duri
sehingga aku pernah melemparkannya jauh-jauh
apabila ia mencederakan warasku

enchelah
sri kayangan ukay perdana
16 Oktober 2010

11 October, 2010

Kanvas Kehidupan- Dalam dunia ini banyak yang aneh

Entah mengapa hari ini Allah menduga aku dengan karenah ibu yang macam-macam. Sehingga aku rasa aku keluar rumah dalam keadaan yang marah apabila nada ibu bertanyakan aku sesuatu sebelum aku keluar tadi seperti menuduh aku membuang kotak ubatnya. Sedangkan kotak ubat yang diletakkan di atas meja itu tidak aku usik sejak beberapa minggu yang lalu.

Aku memandu kereta dalam keadaan tergopoh gapah kerana sudah terlewat. Seawal pagi aku bangun untuk memasak dan mencuci pakaian ibu. Itupun ibu selalu menunjukkan sikapnya yang tidak pernah berpuashati kepadaku. Aku sedar itu adalah ujianNya kepadaku. Namun dalam sesetengah keadaan aku bisa bereaksi spontan dan itulah kelemahan diriku.

Dalam perjalanan menuruni bukit itu tiba-tiba aku melihat kelibat seorang lelaki berusia yang menahan keretaku tetapi dek kerana terlalu laju aku terbabas untuk memberhentikan keretaku hampir kepadanya. Dalam sebelum memberhentikan keretaku itu berbagai-bagai perkara yang aku fikirkan untuk menumpangkan lelaki itu.

Namun aku tolak tepi dan hanya pasrah kepada Allah jika apa-apa berlaku dengan niat hanya untuk menolongnya. AKu berharap dengan cara itu Allah mengampunkan kesalahan dan kelemahan yang telah aku lakukan diawal pagi terhadap ibu.

"Nak ke mana?" Tanyaku kepadanya.

"Down there. AU3." Ia membalas.

Wah cakap orang putih pulak pakcik ni kataku di dalam hati.

"Pakcik dari mana?"

"From my sister house- Sering Ukay" dia menunjukkan arah belakang. Aku menunjukkan arah sebenar Sering Ukay yang berada di hadapan kami. Lalu dia membetulkan maksudnya dari rumah di kawasan belakang. Aku mengiyakan sahaja walaupun aku seperti terkesan perkara yang tidak betul dan mula rasa curiga kepadanya. Dia meneruskan perbualan dengan mengatakan dia sebenarnya tinggal di Bukit Antarabangsa di kawasan yang berlaku tanah runtuh sedikit waktu dahulu. Dan sekarang hendak menuju ke AU3. Aku tak ingat rumah siapa.

Dalam perjalanan itu dia banyak berbicara dalam bahasa Inggeris menyebabkan aku terpaksa membalasnya dalam bahasa Inggeris juga walaupun aku tidak selesa dengan bahasa penjajah itu. Dia menjelaskan kepadaku bahawa dia sebenarnya seorang penyair. Wah aku juga sukakan sajak. Selepas itu dia cepat-cepat mengatakan bahawa dia mencipta dan menulis sajak dalam bahasa Inggeris. Dia menyertai pertandingan menulis sajak untuk peringkat dunia. Terlalu singkat waktu untuk aku bertanyakan lebih terperinci tambahan aku sudah terlewat untuk ke pejabat.

Dia bertanyakan di mana aku bekerja. Dalam ragu-ragu untuk berterus terang aku menyatakan juga di mana aku bekerja. Lalu dia menanyakan berapakah pendapatanku. Ah sudah meleret-leret dan aku merasakan aku tidak perlu menjelaskan kepadanya seikhlas-ikhlasnya. Dalam dunia ini berbagai-bagai perkara boleh terjadi kerana kita ikhlas. Aku menjawabnya ala kadar sahaja dan selepas itu dia menyatakan dia memperolehi pendapatan dengan menjual puisi-puisi yang ditulisnya.

Lalu dia mengeluarkan puluhan sampul surat yang tertulis tajuk-tajuk puisi. Aku sempat menjeling ketika memandu. Mesti pakcik ni nak jual kat aku hatiku berbisik. Ah tak mengapalah kalau aku sudi nak menolongnya apa salahnya. Mungkin dia perlukan duit. Lagipun aku juga sukakan puisi. Sebelum dia keluar dia menghulurkan puisinya yang berjudul 'Guidance' dan sebuah kad nama yang tertera namanya Megat Iskandar bin Tan Sri Datuk Ibrahim (Eminence of Poetry) dan menyatakan harganya ialah RM10.00. Aku menghulurkan wang dan dia memohon untuk berdoa kepadaku sambil memberikan pilihan sama ada doa itu di dalam kereta atau di rumahnya.

Oleh kerana aku sudah terlalu lewat aku minta dia berdoa di rumah sahaja. Aku percaya jika dia betul-betul ikhlas dia akan berdoa kepadaku jikapun bukan dihadapanku. Setelah turun dari kereta dia membuka kembali pintu kereta sambil berkata.

"Abdullah It's a nice car!"

"Okey Sir, Thank You." Aku meninggalkannya sedang aku terlalu bingung memikirkan keanehan yang aku temui seawal pagi ini.

Kata-kata

Aku meminta kepada Allah setangkai bunga yang segar,
Namun Allah memberiku kaktus yang berduri.
Aku meminta kepada Allah rama-rama yang cantik,
Namun Allah memberiku ulat yang berbulu,
Aku sedih, kecewa dan marah,
Betapa tidak adil hidup ini,
Tetapi kemudian kaktus itu telah berbunga,
Dan ulat itu telah berubah menjadi rama-rama yang sangat cantik,
Allah menguji keikhlasan dalam kesendirian,
Memberi kedewasaan saat masalah-masalah berdatangan,
Melatih ketegaran dalam kesakitan,
Itulah jalan Allah, semua akan indah pada waktunya,
Allah tidak memberi apa yang kita inginkan tetapi Dia memberi apa yang kita perlukan,
Ingatlah setiap rencana Allah itu selalunya indah...

02 October, 2010

Puisi-Maafkan aku




maafkan aku

yang tak berdaya menahannya

ketika kau hadir di sini


jalinan emosi yang bercelaru

membuatkan aku terkeliru

menafsirkan keikhlasanmu

sepanjang perjalanan tragedi ini


kau selalu menzahirkan

sesuatu yang tidak sepertinya

apabila kau seperti tidak dapat memaafkan aku hari ini


semalam pasti tidak akan berlaku

jika dahulu kau menjernihkan pohon-pohon kekeliruan

yang meranting memucuk terlalu banyak

di taman hati


hari ini dan esok pasti akan menjadi tugu

kepada sebuah persahabatan yang telah musnah!

Jadi maafkanlah aku sebelum tugu itu semakin teguh


Enche

Oktober 2010

Sri Kayangan