21 October, 2010

Sebelas tujuh minit pagi khamis

Mengapa aku harus gembira hari ini. Dan itulah detik aku menerima panggilan telefon dari Syarikat Penerbitan Pelangi Johor Bahru. Pemanggilnya seorang wanita dan aku lupa untuk menanyakan namanya. Ia bertanyakan untuk memastikan bahawa telefon itu adalah milik aku.

" Saudara ni pernah masuk pertandingan menulis novel remaja anjuran pelangi dan Majlis Belia Kebangsaan kan pada tahun lepas?" ia bertanya.

"ya." Kataku yang sememangnya sudah lama menunggu panggilan itu.

"Saudara Enche Abdullah…tahniah anda menang peraduan itu."

Aku terlalu kaget. Gembira sekali.

"Novel saudara akan diterbitkan bulan hadapan dan saudara akan menerima hadiah pada bulan Disember nanti sempena World Children's Book di The Mines." Dia menambah lagi.

Ahh ..aku terlalu gembira.

"Saya menelefon ini berkaitan dengan hak cipta. Pihak kami akan menghantar dokumen perjanjian pada minggu hadapan kepada saudara."

"Okey. Terima kasih puan." Aku membalas.

"Baik untuk itu boleh saya dapatkan nombor kad pengenalan baru encik?" dia meminta.

Lalu aku membacakan nombor kad pengenalanku. Aku terlalu gembira. Baru semalam aku berfikir-fikir untuk menelefon dan menarik balik karyaku kerana sudah kerap kali aku menelefon Sdr. Eliza pegawai UM yang mengendalikan peraduan ini dan katanya pihak berkaitan akan menghubungi aku sekiranya berjaya. Tapi kalau tak berjaya bagaimana. Macam mana aku nak tahu kalau aku tak berjaya kalau mereka tak menghubungi semua peserta dan memberitahu perkembangan itu. Alamatnya terperuklah manuskrip itu di situ dan tidak menjadi apa-apa.

Walau bagaimanapun novelku yang berjudul "Lembayung Cinta" itu menemukan juga jawapan kepada nasibnya dan nasibku yang mencuba buat pertama kali dalam peraduan menulis novel. Ia sebenarnya merupakan novelku yang kedua kerana novel pertamaku berjudul "Kiambang Bertaut" yang siap 85% terhenti di hujung jalan untuk memberi laluan kepada Novel "Lembayung Cinta" itu masuk menyertai peraduan.

Aku mengambil masa 2 bulan menyiapkannya setelah bonda pulang ke kampung setelah menghabiskan masa bersamaku selama lebih 2 bulan di Kuala Lumpur pada tahun lepas. Aku sungguh puas dengan percubaan ini dan aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mentorku novelis dan juga seorang Chef Selebriti Norzailina Nordin yang telah meniupkan semangat agar rasa yang ada dalam diriku dan semangatku untuk menjadi novelis itu menjadi nyata. Terima Kasih sekali lagi Kak, budimu akan kukenang sepanjang hayatku!

2 comments:

School Of Tots said...

Tahniah. Rezki dari Allah atas pengerbonan saudara menjaga ibu. Teruskan perjuangan. Semoga menyelitkan mesej2 bermanafaat dlm karya2 mendatang. Allah is watching !!

Unknown said...

Terima kasih ucapan. Saya mendoakan saudara juga memperolehi kejayaan dalam hidup saudara.Amin