26 January, 2012

Kanvas Kehidupan - Lemas diburu ejen insuran.


Hidup dilindungi insuran membuat hati semua orang merasa tenang. Benarkah begitu? Terpulanglah kepada individu untuk berasa apapun apabila memiliki atau melanggan insuran. Saya kali ini bukan mahu bercerita tentang kebaikan membeli insuran atau memberikan kesedaran tentang kelebihan memiliki insuran tetapi apa yang ingin saya katakan ialah sikap penjual insuran yang menggunakan kaedah telemarketing mendapatkan pelanggan.


Walaupun tidak suka dengan cara mereka saya terbeli juga insuran yang dijual melalui telefon. Sepatutnya dari awal lagi saya memarahi mereka yang mencuri nombor telefon bimbit saya dan menggunakannya untuk tujuan business. Selama setahun yang dilindungi insuran yang saya beli. Apabila tamat tempoh setahun syarikat menghubungi saya untuk menyambung insuran saya pada tahun kedua.


Malang bagi saya kerana saya telah terkeliru dengan syarikat insuran baru yang menghubungi saya. Ingatkan nak sambung insuran lama tetapi terbeli insuran baru pula. Dalam tempoh itu rasa saya ada tiga syarikat insuran yang menawarkan insuran melalui telefon bimbit. Menyedari saya telah terkeliru dengan cara begini pada tahun berikutnya saya nekad untuk tidak membuat urusniaga melalui telefon lagi.


Lagipun urusan begitu membuatkan saya merasa ragu kerana saya dipaksa untuk membacakan detail kad kredit saya. Bagaimana kalau ada cross line ketika itu atau pegawai itu tidak jujur dan menggunakan kad kredit saya. Macam-macam perkara buruk saya terfikir. Lalu saya nekad membatalkan semua urusniaga jika hati saya tidak selesa jika terpaksa membocorkan kod rahsia nombor kad kredit saya.


Malangnya orang meniaga tetap nak meniaga. Bermacam cara mereka akan buat. Mereka tak bagi saya membatalkan insuran kerana katanya saya terikat dengan kontrak. Apahal pula kontrak. Saya bayar untuk setahun kenapa mesti terikat untuk tahun kedua. Mereka mati-mati tak mahu batalkan. Nombor saya dijaja dari satu pegawai ke seorang pegawai untuk memujuk saya. Saya rasa tak kurang dari enam orang dari syarikat yang sama menghubungi saya dalam tempoh satu setengah bulan.


Akhirnya saya jadi lemas dan menjerit di talian telefon kerana mereka memang tak reti bahasa. Nama sahaja insuran macam Islam tapi pendekatan memaksa-maksa pelanggan. Jadi anda berhati-hatilah apabila menerima panggilan telefon yang ingin memperkenalkan produk mereka melalui telefon. Katakan sahaja tidak berminat. Adalah lebih bijak apabila anda memilih sendiri insuran yang anda kehendaki dan pergi ke pejabat mereka dan berurusan dari membiarkan mengganggu anda tidak kira waktu.

1 comment:

Anonymous said...

Sama la mcm sy..ejen tu ckp sy terikat dgn kontrak..dorg mtk sy byr rm500+ baru blh batalkan kontrak (kononnya byran tertangguh 2 thn)..sy ckp xnk byr. Dia ugut nk hntar surat saman n suh jwb kt mhkmah..