17 March, 2012

Rindu dengan Sitam




Sudah lebih empat bulan Sitam tidak pulang. Kalau Sitam ada dia akan kejutkan aku waktu subuh minta makan. Sekaligus terjaga waktu solatku. Waktu itu aku selalu fikir siapa Sitam ini sebenarnya. Begitu aku berbudi kepadanya begitu juga dia membalas budiku. Aku tahu kau cuma seekor kucing kerana itu aku tidak pernah minta balasannya.

Sitam aku kenal melalui Tam seekor kucing tua di rumah sampah. dua tahun lalu. Kini Tam juga tidak kelihatan lagi. Sitam mungkin seteru Tam aku tak peduli itu semua. Ketika aku memberi Tam makan Sitam juga meminta, tak sampai hati aku hulurkan juga makanan. Akhirnya setiap hari Sitam dan Tam menunggu aku di rumah sampah. Dari rumah sampai kedua-dua kucing itu sudah pandai merayap mencari kereta aku dan menunggu aku di pintu kereta meminta makanan jika aku tidak ke rumah sampah.

Lama kelamaan Sitam lebih berani mengikut aku pulang ke rumah. Sitam lebih bersih dari Tam. Bulunya hitam berkilat dan dia kuat makan sehingga perutnya boyak. Akupun pada awalnya keliru dengan jantina Sitam kerana perutnya seperti kucing bunting.

Sitam bertukar jadi kucing yang tak suka makan di rumah sampah. Kerjanya menunggu aku balik, makan dan tidur di rumahku. Dia jadi teman waktu aku menulis. Sekali sekala aku akan memanggil namanya ketika 'pause' sekejap dari penulisan.

Kini semuanya telah jadi memori apabila Sitam tidak lagi menunggu aku pulang dan datang ke rumah. Mungkin ada orang ambil Sitam sebab suka akan bulunya yang hitam dan berkilat tapi mereka tak tahu Sitam suka makan...letaklah beberapa kali makanan di dalam bekasnya dia tetap meminta setiap kali habis.

Mengapa mereka ambil Sitam dari aku? Mungkin juga meeka tak suka Sitam bertenggek di hadapan pintu rumah mereka sementara Sitam menunggu aku pulang dari pejabat. Mungkin Sitam nakal dengan orang lain buat karenah yang bukan-bukan tapi dengan aku tidak. Sitam kucing yang baik walau pernah kencing dalam rumahku. Itupun cuma beberapa kali sahaja selepas aku 'ajar' dia tak lagi buat hal.

Sitam..Sitam..baliklah Acik rindu Sitam. Acik rindu bila Acik tidur Sitam datang tidur nyelit celah pinggang, celah ketiak dan celah kelangkang Acik kerana suka haba Acik. Acik cuma ada Comel saja sekarang. Comel pun rindu Sitam juga. Acik rindu tengok Sitam gurau dengan Comel gigit lepas tu mengiow.

Walau di mana Sitam berada Acik doakan Sitam bernasib baik. Kalau Sitam ada tuan baru moga dia jaga Sitam macam Acik jaga Sitam. Jangan nakal-nakal..kalau tuan Sitam solat jangan tidur atas sejadah dia ek.




2010 hingga Oktober 2011

Logo ITBM














Kini ITNM berwajah baru dan namanya pun sudah berubah, tidak lagi ITNM tetapi ITBM atau nama penuhnya Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Pengumuman mengenai penjenamaan semula ITNM diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Disember 2011. Untuk berita lanjut mengenai penjenaman semula ITNM sila tekan di sini.



Seiring dengan penjenamaan semula itu kini logo baru ITBM telah disiapkan untuk digunapakai dalam semua urusan rasminya. Kembara ITNM/ITBM kini telah melengkapi satu lagi dari episode perjalanannya. Lihatlah wajah-wajah ITNM yang telah saya catatkan sebelum ini dientri yang terdahulu.



Syabas ITBM berjalanlah lagi kamu ke hadapan.

16 March, 2012

Puisi - Ziarah

Ziarah

semalam mereka singgah lagi
bawa zuriat penyambung mereka di sini
perhentian sebelum pulang
mencalitkan gamat di dinding hati
mengoyak sunyi yang tebal di sisi
melengkarkan kisah di setiap sudut teratakku
aku yang lesu tenaga direntap tuntutan hidup
gagah kembali menggerakkan tarian hidup
sebuah bab kehidupan sudah siap ditulis
sesudah subuh
teratak ini kembali sepi
seperti biasa adanya
semoga perjalananmu selamat

16 Mac 2012