28 October, 2012

Senyum: Bateri penuh sangat

Ibu memang tak pintar dengan handphone. Walaupun ibu buta huruf tapi ibu pandai guna handphone untuk membuat panggilan dan menerima panggilan. Mesej memang ibu tak layan sebab tak tahu.. Suatu malam ibu suruh aku charge handphonenya sebelum kami tidur. Ibu tanya jam berapa baru baterinya full. Aku cakap 2 jam selepas itu. Malangnya kami tertidur dan lelap sampai esok pagi selepas itu.

Esok pagi ibu datang macam marah-marah.
"Ni dah terlebih masa..bateri dah penuh sangat ni..tak rosak ke?"
Aku cuma senyum sebab tak tau nak cakap apa.

23 October, 2012

Coretan buat Kawan: Kau memang sengal !

Kenapa kau selalu sakit hati dengan semua orang? Kenapa kau selalu tak puas hati dengan kejayaan orang-orang lain? Tak boleh ke kau tumpang gembira dengan kejayaan aku jadi penulis? Aku jadi penulispun sebab kebetulan walaupun pernah ada cita-cita itu suatu waktu dahulu. Aku jadi penulis sebab aku kecewa dengan blog tapi tuhan tuhan dah gerakkan minda aku supaya aku jadi penulis.

Kalau benar-benar aku nak jadi penulis dah lama aku buat itu semua dari dahulu bukan tunggu sehingga saat ini. Dan untuk pengetahuan aku aku jadi penulis ni pun bukan sebab aku nak kaya-raya. Dan kau jangan ingat semua penulis yang menulis itu sebab mereka nak kaya macam dalam hati perut kau tu. Kekayaan itu tak boleh beri segala-galanya. Tak boleh beli kepuasan, kebahagian dan kegembiraan. Dan kekayaan itu tak boleh beli persahabatan walau kau umpan kawan-kawan dengan duit.

Duit itu cuma untuk kesenangan dunia. Dalam usia sebegini aku bukan dan kejar duit dari penulisan. Pengalaman keperitan yang aku lalui ini terlalu banyak. Ibarat aku berjalan di jalan yang penuh onak dan duri. Semua itu telah mewarnai hidup aku dan aku ingin kongsi dengan mereka tak kira di mana sahaja berada. Itu yang membuatkan aku rasa bahagia.

Macam orang guna facebook untuk tulis "Arg.." kemudian bersahut-sahutan balasan untuknya dan akhirnya si penulis dapat menyatakan yang sebenarnya "Arg.." itu sebab semua masalahnya telah selesai. Maka begitulah dengan aku - apabila orang dapat membaca apa yang aku ingin sampaikan melalui tulisan itu itu yang memberikan aku kepuasan.

Kau memang mengarut dengan idea-idea kau. Idea kau cuma pekerja-pekerja kau sahaja yang dapat terima. Itupun sebab mereka bekerja dengan kau. Kau bayar gaji mereka. Kalau tak kerana itu merekapun pasti akan meludah  ke muka kau apabila idea kau selalu meloyakan.

Kau selalu berbangga dengan peluang-peluang kau keluar negeri itu. Itulah  kononnya yang menjadikan kau kelas! Pirahhh.. aku tak heran dengan itu semua. Kau nak aku terjemahkan novel itu ke bahasa asing di dunia dan jual di sana! Kau ada otak ke tak ada? Kalau nak berniaga kena pandai strategi. Macam jual makanan. Pada siapa dan baru tahu makanan apa bukan boleh sembrono je. Tempat berniaga pun nak kena kaji. Kalau kau tengok orang jual teh panas di tengah hari di kawsan terbuka menghulurkan plastik teh berisi air panas mendidih kepada orang yang lalu lalang ketika matahari panas menegak atas kepala kau rasa itu idea bagus ke tak.. Kau rasa peniaga tu ada otak ke tidak.

Jadi macam tu jugaklah kalau nak apa barang sekalipun. Aku buat novel ada sebab. Pertama kenapa aku jadi penulis pun kau kena tahu walaupun cerita itu terlalu panjang. Dan bahan apa yang aku tulis pun kau kena tahu juga. Ada unsur agama dan kepercayaan yang melibatkan masyarakat setempat. Kalau benda itu asing dan tidak sesuai pasti jualan itu tak akan diterima.

Kau bukan bodoh cuma kau rasa kau terlalu cerdik dan pandai dari semua orang jadi bila kau bercakap kau nak orang terima semua pendapat kau. Padahal itu bukan semuanya betul. Kau tak taupun dunia penulisan. Kau buta walaupun kau mahu orang tahu kau banyak membaca, banyak berjalan tapi kau sekadar lihat dan tidak mahu berfikir dan gunakan otak kau.

Mari sini aku nak terangkan kepada kau. Dalam dunia penulisan ini penulisannya terbahagi kepada beberapa jenis. Pertama orang yang cintakan sastera yang suka memartabatkan sastera dia menulis kerana ingin mendokong seni sastera, pemikiran dan tamadun bangsanya. Dia menulis bukan kerana nak kaya. Dia menulis kerana mahu masyarakatnya berfikir dan kerana dia sendiri mahu menyampaikan sesuatu dari pengamatan dan pemikirannya.

Kedua orang yang menulis kerana suka menulis dia ada idea untuk menghiburkan masyarakat, dia mahu menyampaikan sesuatu dari fikirannya yang halus agar pengalaman itu dapat dikongsi. Sedikit sebanyak dia membawa falsafah dan pemikiran dalam tulisannya.

Ketiga orang yang ada pengalaman terlalu banyak dan mahu dikongsi dengan masyarakatnya. Seperti dia sangat pakar dalam bidang-bidang tertentu. Lalu dicurah ilmu dan pengalamannya dalam sebuah buku.

Dan aku tidak pernah mendengar ada penulis yang menulis kerana dia mahu kaya-raya mahu jadi hartawan dan kerana nak bawa kereta Mercedes, Honda atau apa segala jenis kereta mewah yang menjadi idaman mereka yang sukakan kemewahan macam kau!

Dan aku tergolong dalam kategori yang sangat pelik. Aku secara tidak sengaja Allah bukakan jalan aku untuk jadi penulis dan mempelihatkan bahawa begitulah dunia penulisan sedang aku sekian lama bergelumang dengan dunia penerbitan. Tapi jangan ingat semua orang yang terlibat dalam dunia penulisan akan menulis buku. Kerana kalau begitu semua orang dalam bidang penerbitan akan jadi penulis!

Walau kita dah lama berkawan tetapi kau bukanlah jenis orang yang mahu memahami hati kawan. Sejak kau called dan aku beritahu kau aku sudah ada dua novel nada kau berlainan sekali dengan nada-nada rakan-rakan yang lain. Mereka menyambutnya dengan ceria dan senyuman bagai tidak percaya. Tapi kau hambar...aku memang mahu memerhatikannya kerana halusnya jiwaku untuk melihat bagaimana reaksimu dengan kejayaanku.

Kau mengambil masa beberapa lama juga untuk kondem aku. Pertama kau kata sebab aku terlewat dalam usia begini baru ada buku jadi aku kena usaha kuat! Haiyyo kawan.. tiada istilah lewat atau cepat di sini. Lewat sebab dah nak mati ke? Prinsip hidup aku walaupuan aku tidak sesempurna kejadian tuhan yang lain bahawa beribadah lah seolah-olah mati itu sudah hampir kepadaku dan bekerjalah seolah-olah aku akan hidup selama-lamanya. Jadi selagi aku bernafas aku akan berbuat apa sahaja yang membahagiakan aku kerana aku bagai akan hidup seribu tahun lagi.

Kawan aku sebenarnya seudah terlalu penat hendak melayan kerenahmu sejak dari dahulu. Allah jauhkan kita dari selalu bertemu itu sebenarnya adalah satu rahmatnya. Jika kita masih karib seperti dahulu aku rasa dua novel aku itu belum tentu akan jadi. Syukur dengan apa yang ada pada diriku sekarang dan syukur kerana aku belum sengal macam kau berfikir!

19 October, 2012

Senyum: Kereta Mati-mati la

Kenangan berkereta dulu-dulu.
Aku berkereta manual. Balik kampung naik kereta adik yang automatik gearnya. Apabila balik semula ke Kuala Lumpur dan menyentuh kereta manual itu tentulah ada yang tak kena kerana sudah biasa dengan penggunaan gear kereta automatik yang lebih menyenangkan. Dan aku selalu lupa untuk menekan clutch, apa lagi tersangkut-sangkutlah kereta itu dan kerap juga keretaku mati!

Kerana menyangkakan keretaku ada masalah aku membawanya ke bengkel kereta dan minta mekanik memeriksanya. Pomen itu pun cuba membawanya...
"Tak ada apa-apa, kereta ini okey aje." jelas pomen.
"Tak Okey selalu mati-mati la" aku balas.
"Saya bawa tadi okey saje. Awak tak tekan clucth ke masa bawa?" pomen itu bertanya.
"Err.. Tak...saya lupa!"
"Haiyya...awak punya kereta manual ma..kena tekan. Sebab itu mati-mati!"

Aku speachless (sambil tak tau nak buat muka apa. Rasa nak menghilangkan diri masa tu gak.)

17 October, 2012

Blogger kita pemalas! Rajin tulis malas selidik


Popularnya ruangan JOM BACA BUKU. Tapi di mana... di alam siberlah.

Ada rasa sedih dalam hati ini bila ruangan Jom Baca Buku yang saya perkenalkan lima tahun dahulu begitu berleluasa di internet. Konsepnya sama mempekenalkan buku baru di pasaran atau buku yang menarik di pasaran. Kalaulah saya patenkan judul itu tentulah saya dah kaya kerana boleh menyaman individu-individu yang meniru judul kolum saya.

Begitulah harta intelek saya diciplak. Seingat saya dahulu kalau taip dan buat carian di google Jom Baca Buku yang hanya akan jumpa di blog saya. Dengan dapatan carian google di halaman pertama tapi hari ini saya cuba ia dah jatuh ke halaman lima. Aduh. Sedih!

Benarlah dunia penulisan sekarang sudah dicemari dengan kecenderungan untuk meniru atau menciplak di mana ada ruang yang tidak patenkan. Pernahkah penulis-penulis blog di alam siber ini membuat kajian sejenak bukan susahpun untuk membuat carian google – menaip apa yang telah ditulis untuk memastikan ianya pernah ditulis oleh orang lain?

Atau sebanyak lebih kurang 100 carian itu berlaku secara kebetulan? Sungguh aneh 'kesebijian' judul tiga perkataan JOM BACA BUKU! Dan bukan Jomlah kita baca buku atau Jomla Baca Buku atau Marilah Baca Buku atau Baca Buku – Jom. Seribu judul boleh kita cari kelainan jika mahu. Tapi apakan daya mereka suka cara kerja..lantak apa peduli dah ada ke tidak. Tiada usaha nak cari keunggulan!

Jika pemblogger dah sedar ia ada persamaan mengapa tidak terfikir mencari judul lain. Tidakkah rasa jelek atau miskin idea menggunakan judul yang telah orang lain gunakan di siber?

Jom Baca Buku enchelah diperkenalkan pada 11 Jun 2008 dengan buku pengenalan pertama Siddhartha karya Hermann Hesse. Sila tekan di sini.

Teguran saya di sini bukannya apa tapi apa-apa dan apa-apa itu ialah supaya blogger Malaysia jadi rajin sikit ada kredibiliti, disegani walaupun tak ada gaji dari sini tapi ia membentuk sikap yang positif dan membayangkan peribadi kita peribadi rakyat Malaysia yang tidak suka meniru atau miskin idea jadi bila dah post entri cuba buat carian Google atau Mozilla atau apa saja enjin carian jika berhasrat menjadikan ia judul kolum dalam blog anda.

16 October, 2012

Jom Baca Buku: Cendekiawan Perang Dinasti Han


Anda suka novel baru di pasaran. Beli buku ni Cendekiawan Perang Dinasti Han. Karya Zamir Al-Muallif seorang pengarang muda yang berbakat besar dan meminati kepengarangan berunsur sejarah.

Novel “Cendekiawan Perang Dinasti Han” ini mengisahkan tentang seorang cendekiawan pada era penghujug Dinasti Han dan era Tiga Kerajaan China. Beliau sering digambarkan sebagai ahli strategi peperangan yang digeruni dan berjaya di zamannya. Beliau bukan sahaja seorang ahli strategi malah beliau juga merupakan seorang pereka cipta, saintis dan ahli politik.


Zhuge Liang tinggal di kawasan pedalaman untuk mengelakkan dirinya daripada terjebak dalam kancah peperangan dan perebutan kuasa dalam kalangan hulubalang pada ketika itu. Hulubalang yang memerintah di setiap wilayah mengambil kesempatan untuk merampas kuasa daripada Maharaja Liu Xie (Xian) yang masih kecil. Liu Bei daripada keluarga diraja Han bercita-cita untuk mengambalikan semula keamanan dalam Empayar Han dan mengembalikan semula pemerintahan keluarganya.

Liu Bei meminta bantuan seorang ilmuwan iaitu Zhuge Liang sebagai ahli strateginya. Pada mulanya Zhuge Liang terpaksa menolak, tetapi keikhlasan Liu Bei membuatkan keputusannya berubah. Zhuge Liang menjadi tulang belakang Liu Bei dalam mengembalikan semula kegemilangan Dinasti Han.

Untuk dapatkan novel ini atau beli secara online tekan di sini.


Karya : Zamir Al-Muallif
Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia
ISBN: 978-983-068-913-5Halaman: 315 Muka Surat
Tahun Terbit: 2012
Harga: RM30.00 (RM35.00 Sabah & Sarawak)



Indahnya Pantun - Pantun Duka



Entah kenapa hari ini hamba terasa gundah dan kecewa di pagi hari. Terkenang orang yang dikasihi yang lama menghilangkan diri. Sunyi dan sepi apakah benci pada nestapa yang hina dan lara. Hamba memang kebencian orang kerana dagang yang tak sedar diri. Hamba bersenda pada kenalan tak sangka menjadi kebencian orang mendatang.

Biarlah dagang membawa diri, bumi tuhan yang luas hamba nak renangi. Mungkin bukan di sini rezeki hamba berdagang mendapat untung. Hamba mencari kasih nan abadi.

Hujung tanjong orang berjalan,
Pekan Rasah ditelan sunyi;

Saya si punggok rindukan bulan,
Bertepuk sebelah tidak berbunyi.

Pisau sebilah bawa ke seberang,
Orang jawa menjual berangan ;
Kasih sudah diambil orang,
Terkenang tuan dalam fikiran.

Kalau tuan pergi ke sempadan,
Jangan lupa singgah di Jelutong;
Apalah malang nasib badan,
Ditinggal kekasih pengarang jantung.

Cenderawasih siburung pintar,
Terbang tunduk mencari sarang;
Manis berkasih cuma sebentar,
Datang yang elok dia menghilang.

Berlenggang nyonya ke rumah cik baba,
Cik baba pula pulang ke desa;
Biarlah hamba duduk berhiba,
Mengadu nasib pada yang esa.

Sayang selasih bersama rawa,
Dicari orang di negeri Kembayat;
Tinggalkan kasih tinggallah nyawa,
Kasihmu kukenang sepanjang hayat.

Pantun-pantun seperti ini sering didengar ketika uda dan dara kecewa dilanda derita. Tetapi di zaman SMS dan emel ini mahukah lagi si uda menghantarkan mesej kepada si dara dengan bahasa yang begini. Adakah sidara dan si uda mahu berbangga kerana tidak lagi berbahasa indah seperti ini di zaman ini?

14 October, 2012

Hari yang mencemaskan anak mak - Bahagian 2

Beberapa minit kemudian aku dan ibu tiba di perkarangan hospital yang mempunyai perkhidmatan pakar - terletak di Taman Melawati. Perutku sudah berkeroncong kelaparan tak sangka ingatkan sekejap sahaja ibu menerima rawatan tak sangka pula aku terpaksa teruskan rawatan kedua pula kepada ibu pagi itu.

Aku memimpin ibu masuk dalam hospital. Ibu sempat mentertawakan aku kerana tak jumpa pintu masuk hospital swasta itu tanpa mengetahui debaran yang maha kuat dalam dadaku. Aku harap Doktor Rose silap. Itu doaku.

Seorang petugas (aku agak jururawat berdasarkan pakaiannya) yang mukanya mencuka cuma mengangkat matanya dengan wajahnya yang tunduk sedang bekerja di meja kaunter. Aku cuak melihat sambutan begitu. reaksi itu seperti tidak suka aku datang seawal pagi begitu kerana waktu rawatan ialah bermula jam 9.00 pagi tetapi waktu itu baru pukul 8.45 pagi.

Apa tak kena kalau aku datang awalpun. Kalau doktor masih tak ada aku boleh bersarapan pagi dahulu. Atau aku boleh tunggu kalau aku mahu.

"Nak jumpa doktor?" petugas itu bersuara dan 'tak ada gula' di wajahnya kelat saja sama kelat dengan perasaan aku ketika itu.

"Ya" jawab aku kelat.
"Ada bawa surat?" dia membalas.
"Nanti kejap" balasku sambil menghulurkan surat dari doktor.

Dia mengambil surat itu sambil berkata "Doktor sampai pukul 9.00 pagi, semua tempat buka jam 9.00 pagi."

Aku faham maksudnya. Sangat-sangat faham. Tapi aku tak faham dalam keadaan aku yang tidak bercakap lebih-lebih kenapa dia sanggup bereaksi kurang ajar begitu. Macam aku ni pelanggan yang kurang ajar. Rasa mahu jumpa pengurus bertugas waktu itu dan menyuruhnya buang sahaja pekerja biadap itu. Dia tak sepatutnya melanggan pelanggan yang membayar sendiri perkhidmatannya di hospital itu. Tak ubah seperti mendapat rawatan di hospital kerajaan. Malah aku rasa layanan di hospital kerjaanpun tidak begitu sekarang.

Aku rasa macam mahu capai microphone dan buat anouncement " Kawan-kawan jangan datang sini..perasaan kamu akan bertambah tersiksa!"

Aku duduk menunggu jam 9.00 dengan debaran dan bercampur perasaan berbulu dengan gelagat pekerja tadi. Tak beberapa minit kemudian nama ibu disebut dan aku bergegas membawa ibu masuk ke dalam bilik rawatan pakar.

"Dia berapa lama dia sakit?" tanya doktor pakar itu.
"Err..dia tak sakit pada bengkak itu tapi saya bawa atas nasihat doktor tentang bengkak itu." balas aku.

Doktor mengarahkan ibu untuk baring di atas katil lalu ujian ultrasound pun dilakukan. Beberapa minit mereka 'membelek-belek ibu' dengan benda alah mereka lalu berkata kepadaku.

"Tak ada apa-apapun."
Aku seperti gembira dan merapati doktor itu lalu menunjukkan kawasan ketulan yang dikatakan oleh Doktor Rose.
"Oh yang ini tulang emak awak! Bukan apa-apa." kata doktor.
"Oh, tulang ya." kataku lagi. Doktor itu tidak nampak aku tersengih dengan selebar-lebarnya ketika itu.

"Semua RM87.00" Kata petugas yang mencuka beberapa minit selepas aku keluar dan menunggu di luar bilik rawatan.

Nama ibu dipanggil sebentar tadi untuk aku menjelaskan bil rawatan pagi itu.
'Berapa-berapa ajelah' aku bercakap dalam hati.

Sekarang aku dah tak kisah berapa jumlahnya kerana yang jelas sekarang ibu memang bebas dari kanser! Alhamdulillah. (untuk baca Bahagian 1 sila tekan di sini)

12 October, 2012

Kanvas Kehidupan: Pilih Facebook atau Blog? - Bahagian 1


Anda memiilih facebook (kata Najwa mukabuku) atau blog. Sudah tentulah kebanyakan orang sekarang memilih facebook kerana senang mengendalikannya tidak seperti blog. Ada akaun e-mel dah boleh buka facebook tetapi untuk mempunyai blog kalau blogspot kena ada akaun gmail bukan sembarangan akaun e-mel.

Menulis untuk facebook pula tidak seperti menulis untuk blog. Menulis blog anda perlu buka template buat setting kalau ada gambar kena arrange besar kecil gambar, letak tengah atau tepi. Setkan warna teks dan boleh pilih untuk bold atau italic. Tapi untuk facebook anda tiada pilihan untuk membuat setting rupa huruf.
Tak perlu buka template. Asal ada aja tulis tekan enter jadilah entri anda walaupun sepatah kata.

Selepas itu bersahut-sahutanlah teks yang memberi reaksi. Begitu mudah facebook dengan aplikasi menambah kawan berbanding blog yang mempunyai follower. Dalam sekejapan waktu blog mula dilupakan dan facebook menjadi sangat berpengaruh dewasa ini sehingga kalau anda kata anda tak ada akaun facebook 'mereka' akan anggap anda sebagai kolot atau ketinggalan zaman.

Tetapi percayalah tidak semua orang sama. Ada orang yang sanggup untuk tidak mempunyai akaun facebook ataupun blog dan ada orang yang mempunyai blog tetapi sanggup menutupnya kerana merasa tiada masa untuk memberikan tumpuan kepada keduanya.

Sebenarnya bergantunglah kepada keperluan dan tujuan anda mempunyai akaun-akaun itu. Jika suka-suka bolehlah mempunyai facebook seperti kebanyakan orang sekarang dan jika ada pandangan yang ingin dilontarkan atau perniagaan baiklah mempunyai blog pula. Jika anda pernah mengendali keduanya anda tentu akan faham maksud saya kerana berjuta manusia di dunia ini akan menggunakan enjin carian seperti google search atau apa sahaja untuk membuat carian dan carian itu akan berjaya menelanjangkan apa sahaja yang dilayarkan diinternet dan ia akan mempamerkan apa yang dicari termasuk semua kandungan dalam blog anda.

Ini ada keterbatasannya kepada facebook kerana ia tidak terlalu terbuka seperti blog. Cuma mereka yang diterima sebagai kawan yang akan dibenarkan untuk melihat maklumat yang terdapat dalam akaun facebook anda. Jadi dapatkah anda melihat betapa kelebihan yang ada pada blog berbanding facebook.

Ada orang yang menjalankan perniagaan menggunakan facebook tetapi berapa ramai pontensi pelanggan mereka ialah sejumlah kawan yang mereka ada itu sahaja. Dan sesebuah akaun facebook yang diberikan percuma hanya boleh mempunyai kawan semaksima lima ribu orang sahaja! Jadi seseorang yang ingin berniaga secara serius di facebook harus menambah sebanyak mungkin kenalan.

Dan tidak semua kenalan itu akan sentiasa melihat dinding anda dan membaca apa yang anda poskan sebagai entri. Anda bersaing dengan pelbagai kecenderungan mereka yang memiliki akaun facebook seperti yang suka-suka ingin memberitahu status apa yang mereka telah lakukan seperti "Arrrgh..mengantuklah!" atau "emmm bowing nyeeeer" atau yang paling ringkas "Hi". Atau jika artis mereka akan memberitahu aktiviti mereka agar sentiasa terus diingati dan diminati. Dinding facebook menjadi carca marba.

06 October, 2012

Anugerah Terjemahan Negara ITBM-PPM 2012



Semua Pemenang
3 Oktober 2012 - Setelah 17 tahun berlalu dengan kali terakhir diadakan pada tahun 1995, kini Anugerah Terjemahan Negara kembali diadakan hasil kerjasama di antara Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM).

Berlangsung diHotel Marriot Putrajaya dengan kehadiran YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin - Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebagai tetamu kehormat dan menyampaikan pelbagai anugerah yang diadakan.


Adibah Amin Menerima Anugerah Tokoh Terjemahan daripada TPM, Paling kiri Mohd Khair Ngadiron Pengarah Urusan ITBM

Istimewanya dalam penganjuran kali ini Anugerah Tokoh Terjemahan Negara 2012 diperkenalkan dan yang menyandang gelaran tersebut ialah Khalidah Adibah Amin atau lebih dikenal sebagai Adibah Amin. Sekali gus membawa pulang hadiah penghargaan wang tunai RM10,00 berserta sijil penganugerahan.


Bergambar dengan Adibah Amin
Anugerah ini diberi bagi mengenang jasa sumbangan Adibah membangun psikologi pemikiran bangsa menerusi medium terjemahan. Beliau mula menterjemah novel No Harvest But Thorn karya asal Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad pada tahun 1972. Selepas itu banyak lagi karya-karya yang berjaya diterjemahkan oleh beliau seperti Jungle of Hope (Rimba Harapan) karya SN Keris Mas.

Pemenang Anugerah Terjemahan Negara 2012
Kategori Kreatif
Anugerah Penterjemah Terbaik : Zaleha Abidin
(Sandokan)

Kategori Umum
Anugerah Penterjemah Terbaik : Amir Muslim
(Dunia Pasca Amerika)

Kategori Sains Sosial Anugerah Penterjemah Terbaik : Amir Muslim
(Perdamaian Palestine Bukanlah Apartied)

Kategori Sains & Teknikal
Anugerah Penterjemah Terbaik : Abdul Khalil Shawkataly
& Rozman Hj. Din
(Sains Gentian)

Kategori Bacaan Kanak-kanak
Anugerah Penterjemah Terbaik : Shamsiah Md. Said
(1000 Fakta tentang Tumbuhan)

05 October, 2012

Indahnya Pantun - Apa khabar semua?

Tampan berseri si teruna pria,
Tingkat berhemat sempurnanya sopan:
Salam diberi di pagi yang mulia,
Agar sihat anda sekalian,

Salam, hello, hai semua kepada penggemar pantun. Saya termenung setiap kali membuka blog ini dan ingin mengetahui apakah bahan yang menyebabkan kunjungan ke blog enchelah ini tidak pernah putus sejak 4 tahun ia dilahirkan. Rupa-rupanya kerana adanya penggemar pantun di seluruh dunia. Saya sangat seronok dan berterima kasih kepada anda kerana mengunjungi blog ini. Kita serupa cintakan keindahan.

Teruskan menggali minat mencari rangkap-rangkap pantun yang indah di mana sahaja ia dilayarkan di maya ini. Saya juga akan terus mengerah keringat untuk berpantun di sini sekerap mungkin. Salam dari saya yuhuuu.

Atas pohon ada duri,
Tepi batu ada kelapa:
Saya mohon mengundur diri,
Di lain waktu kita berjumpa.

Terima kasih pengunjung-pengunjung dari Contagem, Minas Gerais, Contagem, Surabaya, Jawa Timur, Bandung, Jawa Barat, Surabaya, Jawa Timur, Jakarta, Jakarta Raya, Mountain View, California, London,  Medan, Sumatera Utara. Salam perkenalan! (Sekadar penyebut beberapa negara sahaja.)  

Indahnya Pantun - Lagu Gurindam Jiwa



Dengarkan keindahan pantun di dalam lagu Gurindam Jiwa ini.

04 October, 2012

Anak Mat Lela Gila - Di pasaran Sekarang!



Bulat dengan tidak tersipu-sipu dan tertib lakunya telah menyambut tangan yang putih bersih itu lalu dikucupnya. Perbuatan yang demikian nyatalah luar biasa dalam majlis orang-orang Melayu dan kejadian itu dilihat oleh ramai orang yang hadir dengan kehairanan dan masing-masing pun mulalah berpandangan dan setengahnya terus berbisik-bisik. Akan tetapi kepada Bulat perbuatannya bukannya luar biasa, bukannya ganjil bahkan penghormatan yang memang dituntut kerana perempuan itu ialah ibunya. Oleh itu tiadalah dihiraukannya laku orang-orang lain yang mengerling kepadanya itu.


Begini ceritanya...

Anak Mat Lela Gila adalah karya Ishak Haji Muhammad yang diterbitkan pada tahun 1960. Ia mengisahkan seorang pemuda yang dianggap gila oleh penduduk kampung? suka membersihkan laman masjid tetapi tidak pernah menjengah ke dalamnya. Novel yang dibelai dengan penuh perhatian ini terkandung banyak maksud tersirat. Ishak Haji Muhammad secara halus menyampaikan kritik sosial melalui karya ini dengan gaya bahasa lama yang mudah untuk difahami.

Walaupun novel ini dihasilkan 40 tahun yang lalu namun Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako seperti sudah tahu penyakit yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang. Kebanyakan isu-isu masyarakat yang diketengahkannya adalah malar segar dan masih lagi berlaku hingga ke hari ini lalu dapat kita rasakan pemikiran Pak Sako merentasi zamannya.

Siapa Mat Lela? Siapa watak utamanya. Mat Lela ialah orang yang mendapat anak secara tidak sengaja. Anak itu terpaksa ditinggalkan oleh ibunya untuk mengelakkan fitnah masyarakat. Bulat diberi nama budak itu ia membesar bersama Mat Lela yang dianggap gila oleh tetangganya kerana kelakuannya yang aneh. Tetapi Bulat telah dicuri dari rumah Mat Lela dan ia membesar pula dalam jagaan ibu bapanya yang baru.

Hidup bulat terus dilanda peristiwa-peristiwa aneh. Nak tahu...carilah buku ini di ITBM atau di pasaran.
Jika anda berminat untuk mendapatkan buku ini sila tekan di sini

03 October, 2012

Yang Aneh itu Kekadang Menarik


Benarkah macam tu? Jika berlaku pada tumbuhan  mahupun haiwan akan jadi perhatianlah ia. Lihat dedaun ini sepatutnya ia berwarna hijau tetapi Allah dah tentukan ia berwarna kuning. Maka jadilah ia seperti bunga di hujung ranting. Kau orang fikir ia menarik atau tak?

02 October, 2012

The Precious Gift - Tuhfat al-Nafis (ITBM)



The Precious Gift - ITBM
ITBM buat kejutan lagi menerbitkan karya agung selepas The Epic of Hang Tuah (Hikayat Hang Tuah). The Precious Gift begitulah judul karya Tuhfat al-Nafis versi asal. Tergamam juga saya seketika waktu hendak melahirkan entri ini apabila membuat carian google mengenai bukunya. Sama juga seperti karya agung Hang Tuah ia pernah diterjemahkan sebelum ini ke bahasa Inggeris begitu juga dengan Tuhfat Al-Nafis karya Raja Ali Haji ini.

Bezanya kali ini terjemahannya oleh Prosefor Emeritus Dr. Viginia Hooker adalah berdasarkan Tuhfat al-Nafis terbitan terkini Yayasan Karyawan yang lebih sempurna berbanding versi yang ada kerana menyalin Tuhfat al-Nafis dari jawi ke rumi bukanlah suatu kerja yang mudah tambahan pula teks ini dalam gaya bahasa lama.

Kita harus berbangga kerana dengan lahirnya The Precious Gift satu lagi khazanah sastera kita akan kongsi bersama masyarakat antarabangsa.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi Australia pada 2 Oktober 2012.

Yang Berhormat memang pandai berucap - saya penggemar puisi tradisonal terkesima dengan pantun-pantun dalam ucapannya.

Kalau nak makan keropok bulat-bulat,
Kalau nak bertepuk kuat-kuat.

Sementara saya ke Mentakab
Tuan-tuan pergi ke Bidur,
Sementara saya bercakap,
Tuan-tuan janganlah tidur,

Cantik dan lucu pantun dua kerat itu sehingga orang yang mendengarnya pun tertawa. Tidak seperti pantun-pantun dua kerat yang dijahanam oleh pelawak-pelawak kita sekarang dan disiarkan pula oleh media massa kita aliran perdana!

Syabas ITBM :)