Semalam telah hampir dua bulan Umi datang bertamu di Kuala Lumpur. Puasa dan sambut raya di sini. Rutin yang suka dilakukannya sejak sepuluh tahun yang lalu. Sejak Umi datang sudah beberapa kali juga aku membawanya ke klinik kerana keuzurannya.
Awal Ogos akupun dah lupa apa sakit umi. Dia sangat suka mengunjungi Klinik Idzham. Aku tahu ada seorang doktor yang suka melayan pesakit dengan penuh sopan dan kewanitaannya, itulah yang menyenangkan Umi. Apa-apa ajalah Umi – asalkan bahagia. Kunjungan itu Doktor Rose telah berbisik kepadaku. Sebenarnya tidak perlu berbisik kerana pendengaran Umi telah berkurang.
“Ada ketulan dalam perut Umi. Bawalah dia ke pakar dan buat rawatan susulan – ultra sound itu lebih baik.” Kata Doktor Rose kepadaku.
Hatiku berdebar. Pulang ke rumah aku Tanya Umi sama ada dia sakit pada bahagian itu atau tidak. Umi mengeleng. Aku telefon abang di rumah bertanyakan hal itu. Abang yang selalu bawa Umi untuk pemeriksaan berkala di hospital di kampungku di Kelantan. Abang cakap hal itu tidak pernah diperkatakan oleh doktor tempat Umi selalu diperiksa. Maknanya Umi memang bebas dari tanda-tanda kanser.
Hatiku lega. Dua tiga hari – dua tiga minggu, makan minggu aku mula lupa dengan ingatan Doktor Rose.
Sehingga semalam apabila mengunjungi klinik itu lagi sekali lagi Doktor Rose mendekati aku dan berkata “Ketulan dalam perut emak awak makin besar. Awak dah bawa dia jumpa pakar? Saya takut benda ni kanser aje.”
Berderau darahku. Aku termangu dan baru aku ingat semula tentang nasihat doktor. ‘Argh mengapa bengap sangat aku ni sehingga hal yang begitu penting aku boleh lupa. Aduh.’ Aku mengeluh. ‘Kalau Umi benar-benar mengidap kanser– akulah yang salah kerana cuai mengubatinya di peringkat awal.
“Untuk sakit hari ini memang Umi awak okey. Cuma pasal ketulan itu awak bawalah cepat jumpa pakar. Saya takut dia menjadi semakin serius.”
“Okey-okey.” Kataku dalam blur. Kabur rasanya perasanku. Bagaimana aku nak ceritakan dengan saudara-saudaraku yang lain. Abang, kakak dan adik pasti terperanjat kalau aku beritahu hal ini kepada mereka. ‘Tak apa biar aku settlekan hal ini dulu. Biar aku tanggung sendiri semuanya. Kalau fikiranku kacau haruskah aku kacaukan juga fikiran mereka. Lagipun hal ini belum pasti.’ Aku memujuk diriku sendiri.
“Doktor boleh tolong buatkan surat refer kepada Doktor pakar?” pintaku. Doktor Rose mengangguk. Sejurus di ruang menunggu untuk mengambil ubat pembantu klinikpun menghulurkan surat itu kepadaku.
Umi merenungku yang seperti kebinggungan. “Kenapa?’ Dia bertanya.
Aku harus memberitahu ibu. Sebab dia patut tahu apa yang bermain di fikiranku. “Umi…kita pergi ke doktor pakar ya. Doktor Rose tadi cakap ada benda dalam perut Umi. Kita periksa ya!” aku bisik ke telinga Umi, dia kelihatan bingung tapi mengangguk.
Aku meninggalkan Klinik Idzham pagi itu dengan memimpin tangan Umi dan jalannya yang terketar-ketar. Walaupun tidak melihat kepada pembantu klinik, tapi aku tahu mereka sedang memerhatikan kami yang sedang berjalan keluar.