21 July, 2013

Kenangan Bunga Buatku




Sesungguhnya ciptaan Allah yang sungguh indah di dunia ini ialah bunga. Tidak mengira apa jenisnya ia tetap mempunyai daya tarikan tersendiri. Manusia khasnya pula Orang Melayu mengaitkan bunga dengan wanita kerana kelembutan, sensitif dan kecantikannya.

Lebah mendapatkan madu dari bunga-bunga yang cantik dan tiada siapa yang dapat menghalangnya apabila melihat lebah terbang mendekati bunga!

Bunga juga sering menjadi pilihan untuk dijadikan cenderamata kepada orang sakit dalam budaya baru yang diperkenalkan oleh barat. Orang yang sedang sakit tidak berselera lagi untuk menikmati makanan. Melihat bunga yang indah dan cantik akan menjadikan mereka lebih ceria dan bersemangat untuk hidup.

Bunga sering juga menjadi alat untuk meluahkan perasaan dan alat untuk memikat sang gadis tatkala sedang bercinta. Dan dalam adat orang Melayu ada istilah mandi bunga.dan mandi bunga ada banyak tujuannya di antaranya untuk memberikan kesegaran dan menaikkan seri pengantin. Dan bunga juga dibawa oleh orang masih hidup ke kuburan ketika acara ziarah disiram bersama air di pusara.

Nenek-nenek dan ibu-ibu kita mungkin malu untuk menceritakan ketika mereka muda dahulu sering dipakaikan dengan bunga di telinga mereka oleh ibu-ibu mereka.

Itulah sebahagian daripada cerita bunga. Bagiku pula bunga bisa membungkus rasa sepi agar hidup lebih ceria. Setiap kali sepi menjelma aku akan membeli bunga di gerai nyonya di Setapak

" Jika mahu bunga awak tahan lama awak taruk air sejuk, dari peti ais ma, sikit gula tapi for the first day saja aa dan hari-hari hujung dia mesti kasi potong haa."

Itulah petua nyonya itu. Tapi kini nyonya itu sudah tarak. Sudah mati. Aku tahu dia mati setahun selepas itu ketika aku cari bunga lagi. sekarang adiknya yang ganti nyonya itu jual bunga. Tapi cinta aku pada bunga tidak mati. Kerana itu cerita bunga ini tetap segar dalam fikiran aku selagi aku suka dengan bunga-bunga.

Selamat berpuasa semua dan selamat berbuka semua

14 July, 2013

Selamat Berpuasa

Ramadan telah tiba lagi. Setiap kali Ramadan tiba suasana kehidupan turut berubah kerana tuntutan berpuasa di bulan yang mulia itu. Aktiviti harian turut berubah terutama aktiviti makan. Hari-hari manusia di hari minggu menjadi sibuk terutama di waktu menjelang maghrib tetapi tenang pada awal pagi setelah bersahur. Terasa bagai punya waktu yang sangat banyak tanpa persediaan untuk sarapan atau makan tengah hari. Rupa-rupanya kita setiap hari di sibukkan oleh hal makan-makan.Hidup untuk makan atau makan untuk hidup? Keduanya saling berkaitan jangan tangan yang mana satu datang dahulu kerana semua jawapan adalah betul seperti telur atau ayam yang lebih dahulu?


petikan akhbar Kosmo muka surat 26 Ruangan Varia

Menjelang Ramadan juga sekali lagi Enche berpeluang muncul di akhbar harian Kosmo pada 8 Julai 2013. Kemunculan itu membuatkan saudara-mara dan kenalan menjadi gempak juga.Sapaan di Mukabuku, SMS, Weechat dan Wassup menjadi lebih rancak lebih daripada biasa. Terima kasih yang mengucapkan tahniah. terlalu banyak untuk dibalas. Jikalau ada yang tercicir pohon maaf diminta. 

Terima kasih juga kepada wartawan Khadijah Mohamad Nor yang sudi menemuramah. Jasamu kukenang kerana ia sumbangan yang sangat bermakna kepada Enche dalam mengharungi dunia penulisan yang masih baharu ini. Sokongan dari pihak media sangat-sangat bermakna sekali. Saya akan terus berkarya selagi hayat dikandung badan kerana setelah saya sedari bahawa penulisan itu sebenarnya satu bentuk terapi yang indah. Ia menemukan saya kepada dunia yang tidak pernah saya lihat sebelum ini.

 Puteri Saadong dalam bahasa Jepun

Inilah rupa kulit buku Siri Cerita Rakyat terbitan ITBM yang diterjemahkan ke bahasa Jepun karya saya untuk genre kanak-kanak yang terbaru. Dan di bawah ini pula ialah ilustrasi saya yang telah lama dibuat dahulu untuk Siri Bacaan Kanak-Kanak terbitan DBP dengan judul Hari Ini Panas.Rindu untuk melukis. Mungkin suatu hari saya akan muncul dengan versi cerita bergambar yang semuanya saya lakukan seratus peratus. Insya-Allah.



Untuk sahabat yang tidak sempat membaca artikel di Kosmo tempoh hari anda boleh juga baca di link ini untuk membacanya.




27 June, 2013

Jerebu Selangor dan Kuala Lumpur 2013 bertambah baik- Alhamdulillah

Alhamdulillah Jerebu di Kuala Lumpur dan Selangor bertambah baik. di Kuala Lumpur dua hari lepas indeks IPU mencecah 140. manakala di Muar Johor pernah mencapai tahap sangat tidak sihat iaitu lebih dari 700 IPU, begitu juga negeri lain yang ditimpa jerebu seperti Melaka dan Negeri Sembilan. Nampaknya barangkali usaha pembenihan awan telah berjaya dengan izin Allah menurunkan hujan yang melenyapkan parkitel dalam udara yang menyebab jerebu.

Terasa amat bersyukur sekali apabila bangun dan buka tingkap dapat melihat corak-corak awan di langit biru. Argh betapa nikmatnya dapat menikmati udara segar begini. Bagaimanapun keadaan ini adalah bersifat sementara kerana ia bergantung kepada keadaan kebakaran yang berlaku di Sumatera, Indonesia. Semoga kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya. Amin.

Harap ia bertambah baik kerana sabtu ni pasukan Kelantan akan berentap dengan pasukan Johor pusingan akhir Piala FA.

.

16 June, 2013

Sumpahan Jemalo Kecundangan

14 Jun 2013 sepuluh hari selepas ulang tahun kelahiranku. Rasa gundah yang melanda sekian lama akhirnya berakhir dengan rasa kecewa. Manuskrip Sumpahan Jemalo novel ke-3 ku ditolak dengan rasmi melalui emel. Dengan alasan-alasan yang aku kira aku dapat menerimanya maka dengan itu juga aku menerima dengan hati terbuka.
Sekian lama aku merasakan aku tidak pernah kecewa dengan dunia penulisan yang baru aku ceburi ini dan sekian lama juga aku merasa hairan bagaimana penulis-penulis baru atau mereka yang baru mencuba untuk menjadi penulis di gigit rasa kecewa kerana manuskrip mereka ditolak kini pertanyaan itu mengakhiri persoalan itu.
Agak kacau juga detik membaca emel penolakan itu. ‘Patutlah dia diperap begitu lama,’ fikirku sendirian. Tapi aku harus rasional dengan sebab-sebab kelewatan yang diberikan sebelum ini. Pihak penerbit sibuk dengan projek-projek besar dan manuskrip aku terpinggir untuk diberi keutamaan. Walaupun pada peringkat awalnya mereka telah memberi persetujuan untuk menerbitnya.
Berbalik pada soal penolakan itu hari tidak mahu berfikiran negatif. Ianya adalah pangalaman yang harus dilalui oleh semua orang yang mahu bergelar penulis aku rasa. Jadi biarlah aku merenung di sebalik kelemahan yang dinyatakan oleh puan editor. Barangkali aku terlalu ghairah menulis sehingga menolak ke tepi nilai-nilai murni yang seharusnya dipegang oleh setiap penulis kerana itu adalah tanggungjawab mereka. Menulis bukan semata-mata mencari kepuasan diri malah menulis sebenarnya adalah untuk memberi pengajaran kepada pembaca, membuka minda mereka akan perkara-perkara yang tidak terlintas oleh fikiran mereka.
Aku terus membuat carian di internet mengenai manuskrip yang ditolak. Kononnya mahu melihat perasaan penulis-penulis yang ditolak karya mereka. Apa yang mereka lakukan apabila karya mereka ditolak. Aku ingin mencuri pengalaman hidup mereka atau berkongsi cara bagaimana mereka menangani kegagalan itu.
Nah, dari carian itu aku menemui sesuatu yang tidak aku terlintas sebelum ini. Rupanya bagai karya-karya yang berjaya di dunia adalah hasil dari kegagalan  pada peringkat awal. J.K. Rowling misalnya mengalami penolakan 14 kali ke atas novelnya Harry Porter. Dan penulis-penulis lain gagal lebih dari 30 kali pun ada ketika awal kerjaya mereka.
Jadi aku seharusnya lebih berhati waja dengan apa yang terjadi. Sumpahan Jemalo tidak harus diperapkan begitu sahaja. Sumpahan Jemalo manuskrip yang mempunyai virus di dalamnya. Jika diterbitkan ia pasti menularkan virus itu kepada pembaca-pembacanya. Jadi aku harus merawatnya sebelum ianya dihidangkan semula. Sumpahan Jemalo perlu dibedah dan dibuang bahagian-bahagian yang rosak itu. Aku berjanji kepada diriku agar jangan jadikan saat ini sebagai titik yang melemahkan diriku. Tuhan berikan aku kekuatan. Aku sedar tiada kesenangan yang datang menggolek seperti kata pepatah ‘jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’ barulah ‘yang bulat datang menggolek dan yang pipih datang melayang.’ Selamat maju jaya enchelah – jangan kuburkan ‘Sumpahan Jemalo’ lahirkan ia semula dengan wajah baharu sehingga dia menguasai carta judul yang disenangi!
Namun kelahiran buku bergambar 'Puteri Saadong' 24 muka surat terbitan ITBM barangkali cukup untuk mengubat kekecewaan ini. 'Puteri Saadong' diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan telah dibawa ke Children Book Fair 2013 di Bologna bulan Mac yang lalu dan baharu selesai diterjemahkan ke bahasa Jepun untuk di bawa ke negara matahari terbit itu akhir Jun nanti. Naskhah 'Puteri Saadong' juga telah dibawa ke negara Singapura akhir Mei lalu Sempena Asia Festival Children of Content - AFCC 2013.

14 May, 2013

Lahirnya Siri Cerita Rakyat: Puteri Saadong dan Princess Saadong

Princess Saadong (General)  ISBN 978-967-430-142-2
 Puteri Saadong (Umum)  ISBN 978-967-430-183-5
Harga:  RM10.00 Semenanjung Malaysia & RM15.00 Sabah/Sarawak.  24 halaman

Alhamdulillah. Tiada kata yang dapat diucapkan selain dari ucap syukur kepada Ilahi dengan lahirnya Siri Cerita Rakyat ditulis oleh Enche Abdullah Abdul Kadir ini. Buku ini terbitan ITBM dijual dengan harga RM10.00 setiap judul. Jom beli!

24 April, 2013

Pilihan Raya Umum Ke-13 dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013

Pilihan raya PRU13 dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (PBAKL2013) adalah dua perkara yang sangat berbeza. Pilihan raya Malaysia akan berlangsung empat atau lima tahun sekali dalam sistem demokrasi berperlembagaan manakala Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pula berlangsung setiap tahun di Kuala Lumpur khususnya di PWTC.

Pilihan raya dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan pemerhati-pemerhati luar negara kerana ia akan memberi kesan besar kepada corak pentadbiran negara dan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara lain.

Mengapa saya kalut dengan kedua-dua peristiwa ini ialah kerana kedua-dua peristiwa yang akan berlangsung ini berlaku dalam tempoh yang hampir sama. PRU13 akan berlangsung pada 5 Mei manakala PBAKL2013 akan berlangsung pada 26 April – 5 Mei. Hari terakhir PBAKL ialah hari mengundi bagi seluruh warga Malaysia.

Saya menjangkakan dengan berlangsungnya PBAKL2013 ketika musim pilihan raya akan memberi kesan kepada jualan-jualan buku yang berbentuk politik atau tokoh-tokoh politik tanah air atau mungkin juga jualan buku di PBAKL akan mengalami kemerosotan sedikit  dari segi jualan kerana ketika ini tumpuan warga Malaysia ialah terhadap pilihan raya. Setiap malam pasti ada kempen-kempen pilihan raya di adakan dan ini akan memberi kesan kepada jumlah pengunjung yang berminat dengan politik dan juga bahan-bahan bacaan. Keasyikan menghadiri ceramah-ceramah politik pada malam hari pasti akan mengambil masa individu untuk berehat di rumah pada keesokan harinya sedangkan jika PBAKL berlaku bukan pada musim pilihan raya pasti individu akan menggunakan waktu itu untuk ke PBAKL.

Bahang pilihan raya mula terasa apabila hari penamaan calon berlalu. Sana sini orang politik mula berkempen. Akhbar pula setiap hari bercerita pasal politik dan menjadikan isu-isu politik sebagai headline. Apa yang tidak dapat saya gambarkan ialah bagaimana keadaan di PWTC pada 5 Mei nanti. Suasana PBAKL pasti lengang di waktu siang hari dan menjelang petang ia pasti dipenuhi oleh manusia-manusia yang ingin menyaksikan keputusan pilihan raya dan perisytiharan penubuhan kerajaan baru. Mungkin saya dapat menyaksikannya di situ kerana saya akan bertugas di sana.

Selamat mengundi rakyat Malaysia. Undilah dengan bijak untuk masa hadapan anda dan jangan lupa berkunjungkanlah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 di PWTC untuk dapatkan buku-buku menarik khususnya di Gerai BUKU ITBM kerana pastinya terdapat diskaun-diskaun istimewa yang tidak akan anda perolehi di kedai buku atau di mana-mana tempatpun.

30 March, 2013

Perginya Tokoh Pemikir Islam - Ustaz Dr. Uthman El- Muhammady


Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Dr. Uthman El-Muhammady yang telah kembali ke rahmatullah pada 25 Mac 2013. Saya menyimpan beberapa lipatan kenangan bersama tokoh ilmuwan ini kerana Allahyarham pernah memberikan khidmatnya kepada tempat saya bekerja. Ketika itu beliau membuat terjemahan al-Quran ke bahasa Inggeris.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan di tempat yang terbaik sebagaimana sumbangannya terhadap dunia Islam di Malaysia dan rantau Asia umumnya. Amin

Saya petik gambar ini dari blog arusbaru
http://arusbaru.my/2013/03/25/takziah-atas-pemergian-ustaz-uthman-el-muhammady/

Panduan penulisan novel atau cerita.


Saya baca buku ini tahun lepas sewaktu menyiapkan novel ke-3 saya Sumpahan Jemalo. Buku ini terbitan ITBM. Saya amat susah untuk beli buku kecuali kalau ia memang benar-benar menarik. Hal yang kedua sewaktu dalam proses penulisan saya susah untuk baca buku kerana fikiran saya fokuskan untuk menulis bukan membaca. Saya anggap jika ada keinginan menghabiskan bacaan ia akan merosakkan tumpuan saya untuk menulis tetapi entah mengapa dengan buku ini ia berjaya memancing saya membaca sehingga membuatkan saya membacanya sampai habis sebelum saya habis menulis novel terbaharu saya!

Karya ini adalah sebuah karya terjemahan. ditulis oleh Victoria Hanley. Vic menulis dengan memberikan banyak panduan untuk mereka yang mahu menjadi penulis kreatif. Saya rasa ia sesuai untuk mereka khususnya remaja yang baru berjinak-jinak untuk jadi penulis kreatif. Nasihat saya belilah buku ini. Ia hampir lengkap menyediakan diri anda untuk menjadi penulis. Ia memberikan panduan bagaimana anda sepatutnya mewarnai watak anda, mewujudkan konflik cerita, mencari latar masa dan tempat kepada cerita nada. Bacaan ini ditujukan kepada para remaja tetapi ia juga sesuai bagi bacaan umum. Jadi jika anda sebagai ibubapa yang mahukan anak-anak anda menjadi kreatif apabila menulis bawalah pulang buku ini untuk anak-anak anda. Mereka pasti terpegun.  Gaya bahasa terjemahan yang ditampilkan dalam buku ini sangat mesra dan tidak kelihatan seperti sebuah buku terjemahan.

Bahagian yang paling saya suka ialah di bahagian belakang buku ini kerana penulis menemuramah 16 orang penulis kreatif seperti T.A. Barron, Joan Bauer, Hilari Bell, Dia Calhoun, Chris Crutcher dan ramai lagi yang menyatakan pandangan, memberikan panduan mereka mengenai bidang penulisan kreatif yang mereka ceburi. Jadi cepat dapatkan buku ini, Yuhuuuu

Sinopsis
Kuasai Cerita Anda merupakan pilihan tepat bagi remaja yang suka menulis. Buku ini bukan sahaja sesuai digunakan dalam kelas penulisan kreatif dan kumpulan penulisan, malah boleh dijadikan panduan bagi remaja yang berbakat dan yang meminati penulisan fiksyen. Pengarang yang pernah memenangi pelbagai anugerah, Victoria Hanley, berkongsi rahsia tentang pebnulisan fiksyen, daripada mencipta watak yang menarik dan dialog yang benar-benar hidup hinggalah kepada jalan cerita yang penuh aksi.
Buku ini turut mengandungi temu bual pengarang yang berjaya, seperti Joan Bauer, Chris Crutcher, David Lubar, Lauren Myracle, dan ramai lagi. Mereka mengutarakan pelbagai idea dan nasihat berguna yang dapat menjadi panduan kepada remaja yang ingin menulis. Jika anda penulis yang kreatif, anda pasti akan menyukai buku ini!

Untuk dapatkan buku ini secara dalam talian dapatkan di sini.

09 February, 2013

Novel aku untuk siapa

"Kau buat novel cintake? Aku nak carilah." kata seorang teman lama. Saya kaget sebentar. "Eh tidak, tidak saya bukan novelis cinta macam Fauziah Ashari - Ombak Rindu itu atau Norhayati Berahim atau beberapa nama besar yang lain. Novel saya untuk remaja." kata saya. Kalau semua orang nak tulis novel cinta dan pasaran penuh dengan lambakan novel-novel kegemaran siapa pula yang akan menulis untuk anak-anak kita yang mula gemar membaca novel. Haruskah mereka terpaksa menerima novel-novel sebegitu yang begitu banyak di pasaran.

Biarlah orang lain menulis tetapi buat masa ini saya masih mahu menulis untuk mengisi kelompongan bahan bacaan begitu untuk golongan anak-anak yang mula minat membaca novel. Selama pengalaman menceburi bidang ini saya melihat ibu bapa amat berhati-hati apabila memilih bacan-bahan bacaan untuk anak-anak mereka. Sehingga novel pertama saya Lembayung Cinta yang tidak mempunyai kisah percintaan uda dan dara pun tidak mahu mereka beli kerana menyangkakan ianya novel cinta.

Padahal ia mengisahkan keperitan hidup seorang ibu untuk membesarkan dua anaknya lantaran kematian suami tercinta. Lembayung Cinta hanyalah nama sebuah katil pusaka yang ajaib.dihadiahkan oleh seorang nenek kepada arwah Cikgu Seli - suami Mariam watak utama dalam cerita ini. Begitu juga dengan Puteri 9 Sepuluh - sebuah novel tentang kehidupan Puteri-puteri kayangan - negeri asap sekepal yang ingin menjalani kehidupan seperti kehidupan manusia.

Sebenarnya dalam hal penceritaan penulis boleh mengelakkan tema percintaan walaupun ia sesuatu yang tidak dapat lari dalam kehidupan manusia. Banyak isu-isu yang boleh di ketengahkan untuk dijadikan santapan anak-anak kita disamping menyelitkan pengajaran kepada mereka.
Saya berharap lebih ramai penulis yang dapat menyedari hakikat bahawa penulisan juga adalah suatu tanggungjawab penulis kepada bangsanya bukan sekadar suka-suka atau menyapa kesukaan bangsa. Kita mengimpikan untuk menjadi negara maju setaraf dengan negara-negara maju yang sedia ada tetapi sikap dan kegemaran kita masih ditahap yang lama dan sama. Suka berhibur dengan cerita-cerita cinta dan lara.

Begitu juga dalam dunia hiburan terutamanya penerbitan filem atau drama. Produser dan penerbit drama/filem yang cenderung menerbitkan filem/drama yang bertemakan cinta dengan alasan genre sedemikian yang paling mendapat sambutan berbanding yang lain. Sedangkan mereka mempunyai banyak pilihan mengetengahkan isu-isu yang lebih membina pemikiran masyarakat. Yang mana sebenarnya betul - melahirkan filem/karya berdasarkan sambutan atau melahirkan filem/karya untuk melahirkan kegemaran masyarakat? Jika perkara ini dapat dikenal pasti barulah persoalan seperti ini dapat diselesaikan.

Karya terbaharu saya berjudul Sumpahan Jemalo (yang akan terbit April nanti) juga satu kisah misteri untuk remaja. Kisah mengenai kemunculan makhluk Jemalo di Kampung Aruma Kesturi. Kematian Jemalo secara tidak sengaja dipercayai telah mendatangkan mala petaka kepada penduduk kampung itu.

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina!

Lakaran visual Sumpahan Jemalo yang akan diterbitkan

20 January, 2013

Tahun Baru 2013

Salam. Tahun 2013 sudah lebih dua minggu. Cepat betul waktu berlalu. Begitulah kalau sentiasa mengisi waktu. Tetapi kalau dibiarkan berlalu begitu sahaja rasanya bumi seperti tidak berputar. Tahun 2012 meninggalkan banyak kenangan manis dan pahit. Yang ingin dikenang dan yang ingin dilupakan. Di antaranya novel Puteri 9 Sepuluh diterbitkan. Novel itu sempat menemui khalayak di Pesta Buku Kuala Lumpur 2012. Itulah novel yang paling lama untuk aku tulis bermula Januari 2011 hingga Disember 2011.

Pemergian sahabat ke rahmatullah Kak Kamsiah Mahmood yang sama bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Aku sempat berbual di telefon sahaja sebulan sebelum arwah meninggal. Memori ketika bekerja bersama sangat banyak. Arwah seorang yang happy go lucky. Seorang pelukis ilustrasi kanak-kanak yang baik. Dan ketika di DBP kami sempat bekerjasama menyudahkan grafik buku Tarian Malaysia karya Mohd Ghouse Nasuruddin terbitan tahun 1994. Aku menghasilkan layout dan kulit manakala arwah menghasilkan ilustrasi tarian. Aku sengaja memilih beliau untuk membuat ilustrasi buku itu kerana selain pandai melukis, berpantun beliau juga bekas seorang penari. Dan apabila menyebut soal pantun – dengan beliaulah aku berjaya membawa kumpulan kami Bahagian Reka Bentuk sebagai pemenang pantun sempena Bulan Bahasa DBP tahun 1993 dan aku dinobatkan sebagai pemantun terbaik. Semoga roh allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Amat mengembirakan juga apabila bondaku bertandang kembali ke rumahku dan tinggal dengan ku selama hampir lima bulan. Tak terkira kudrat melayannya tetapi apalah sangat kudrat itu jika dibandingkan dengan kudrat dia memeliharaku sehingga aku besar dan menjadi manusia. Aku masih ingat ketika seorang berceramah di televisyen, katanya beza itu ialah ibu bapa memelihara kita supaya kita membesar dan terus hidup tetapi kita memelihara ibubapa sementara mereka masih hidup hinggalah pejam matanya.

Sesuatu yang tidak pernah aku lakukan juga ketika 2012 semakin menginjak ke penghujungnya. Aku diminta oleh saudara untuk menjadi pengacara suatu majlis perkahwinan – hah demi sebuah pengalaman aku menerimanya. Bukan tak biasa jadi pengacara. Sudah berpuluh kali jadi pengacara untuk majlis-majlis santai di pejabat tapi kali ini ia sesuatu yang berbeda dan menyeronokkan. Terima kasih kerana memberikan pengalaman itu.
Selamat tahun baru 2013.

Yang pastinya sebuah lagi novel remaja baru akan muncul. Nantikan kemunculannya sebelum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013