23 December, 2014

Sudah terbit novel baru Enchelah Rajadewa: Rambutan Kuala Lumpur

 
Rambutan Kuala Lumpur (Novel Remaja)
RM 25.00/RM30.00 (Sabah/ Sarawak)
ISBN: 9789674306564
Tahun Terbitan : 2015
Jumlah Muka Surat: 213
 
Sinopsis
Novel Remaja Rambutan Kuala Lumpur ini sudah beredar di pasaran. Kisah hidup seorang remaja lelaki bernama Yasin yang berhijrah ke Kuala Lumpur setelah kematian ibunya. Sebelum itu ia menjadi anak angkat kepada Pak Hussein yang mempunyai dusun rambutan. Namun ia tidak dapat bertahan lama kerana mendapat tekanan daripada abang angkatnya Abang Jali yang tidak senang dengan kehadirannya dalam keluarga itu hingga sanggup mengancam nyawanya.
 
Yang membina hidup baru di Kuala Lumpur dan berkahwin dengan Jijah yang juga berasal dari kampungnya. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata namun salah seorang daripadanya meninggal ketika kecil kerana tercekik rambutan.
 

Perjalanan hidupnya penuh ranjau yang berliku sehingga akhirnya Yasin terpaksa meninggalkan bandar raya Kuala Lumpur. Anaknya juga (Maisarah) juga terpaksa membuat pilihan sama ada untuk terus bertahan berada di Kuala Lumpur atau pulang untuk hidup bersama keluarganya.
 
 
Komen
Kalau novelis seperti Pak Sako, A.Samad Ismail, Keris Mas, A.Samad Said dan Anwar Ridhwan umpamanya bercerita tetantang penentangan terhadap penjajahan; pergelutan membangunkan kemerdekaan, dan pengalaman membangunkan kemerdekaan, dan pengalaman manusia merdeka, pengarang muda ini memerikan anjakan nilai-nilai, pergeseran sosial, serta masalah ketenteraman penduduk (terutama rakyat biasa yang miskin) akibat daripada perubahan persekitaran, dan tuntutan pembangunan kota.
 
Sasterawan Negara Dato' Baharuddin Zainal (Baha Zain)  
 
 

24 September, 2014

The Swimmers (Cereka Thai)


 
 


 
Cereka Asia  sebenarnya lebih dekat di hati kita. Semalam saya berkesempatan menonton sebuah cereka dari Thailand The swimmers arahan Sophon Sakdaphisit. Ia sebuah kisah seram yang menyeramkan dengan bantuan kesan bunyi yang kerap mengejutkan penonton.
 
Jika tidak disertakan kesan bunyi, filem ini sebenarnya telah berjaya memberikan kepuasan kepada khalayak. Kesan bunyi yang terlalu kerap itu telah membuatkan saya rasa sering tertipu untuk berasa takut.
 
Namun setelah beberapa kali ‘terkena’ dengan kesan bunyi saya akhirnya mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada jalan ceritanya.
 
Plot cerita amat menarik. Lokasi penggambaran pula sudah tentulah kolam renang. Kisah cinta tiga segi pelajar universiti yang berakhir dengan kematian. Ia menampilkan pelakon-pelakon seperti : Chutavuth Pattarakampol (Perth), Thanapob Leeratanakajorn (Tan), dan Supassra Thanachat –(Ice) dan berasal dari siri TV yang popular di Thailand.
 
Jika anda memberi tumpuan penuh pada permulaan cerita anda pasti akan dapat mengagak jawapan kepada babak-babak akhir filem ini. Saya beri 4 bintang untuk filem ini.

05 July, 2014

Datuk Sharifah Aini Meninggal Dunia.


Datuk Sharifah Aini meninggal dunia. Begitulah berita yang menggemparkan seluruh peminat hiburan tanah air. Dilahirkan 2 julai dan baru mencecah 61 tahun.
Sebenarnya saya mendapat berita itu seawal 4 pagi ketika bangun untuk bersahur. Seorang rakan mengirimkannya melalui aplikasi wassup. 
Saya termenung bagaikan tidak percaya tetapi telah menjangkakan hal itu kerana berita beliau sakit dan di masukkan ke wad masih kuat diingatan.
Sharifah yang saya suka Terbang Helangnya mengingatkan waktu kecil saya. Arwah ayah sangat suka dengan suaranya. Dan hal itu membuatkan ibu saya sangat cemburu!
Masakan Sharifah Aini akan menjadi ibu tiri saya. Pasti tidak mungkin. Begitulah penangan suaranya.
Arwah ayah suka dengan lagu Seri Dewi Malam. Gemar arwah ayah itu menyuburkan minat saya dengan lagu juga hingga sekarang.
Ramai yang hadir dikhabarkan untuk memberikan penghormatan terakhir kepadanya. Di masjid At-Taqwa TTDI sembahyang jenazah dilakukan sebanyak 3 kali.
Begitulah ketentuan untuk insan pemurah seperti Sharifah Aini yang dermawan.
Semoga Allah mengampuni Allahyarham Sharifah Aini dan menempatkannya bersama orang-orang yang beriman dan soleh. Amin.

14 June, 2014


 

Rindu pada warna, berus dan drawing block. Apabila dapat menganyam semula imaginasi pada kertas-kertas itu kepala otakku menjadi lapang seperti banduan yang terlepas dari penjara. Alangkah damainya melihat segala bayangan itu menjelma jadi nyata di atas kertas.
Setelah hampir 3 bulan berlalu pada 12 Jun 2014 berakhirlah perjuangan yang bersenjatakan pensil, berus, warna dan kertas. Puas menatap anak-anak ayam yang comel mencicip di atas kertas itu.
Sebuah cerita untuk projek buku elektronik telahpun selesai ditangani dan menanti proses seterusnya dari rakan bersekutu. Semoga ia siap dalam tempoh yang terdekat. Amin.

13 June, 2014

Promo Novel: Lembayung Cinta.


Novel pertama yang meninggalkan banyak kenangan manis. Penghargaan yang harus saya berikan ialah kepada Dato' Bahazain kerana beliaulah yang membuatkan saya mula menulis dalam blog. Sejak menulis saya tidak berhenti menulis lagi dan dunia saya menjadi sibuk. Saya tidak risau jika hujung minggu atau cuti umum tiba. Ada-ada sahaja di dalam kepala yang ingin saya tulis.

Kedua orang yang saya sangat terhutang budi ialah Kak Norzailina Nordin. Beliau orang yang memberi saya tunjuk ajar bagaimana mahu menulis novel. Betapa terharunya saya apabila Kak Norz sanggup datang ke pejabat tempat saya bekerja menghadiahkan cup cake, sebuah buku resepi beliau dan memberikan panduan bagaimana untuk menulis novel. Kak Norz seorang Chef Selebriti dan seorang novelis karangkraf. Sejak itulah detik hidup novelis saya bermula. Saya masih menghubunginya untuk bertanyakan pendapatnya mengenai masalah dalam penulisan yang saya hadapi. Orang lama dalam bidang ini banyak ilmunya.
 
Novel pertama saya ini memenangi Peraduan Mengarang Novel Remaja MBBY- Pelangi pada tahun 2010.

Kapsul Nurani.


Agak lama tak muncul dengan novel atau buku terbaharu. Berkongsi dengan rakan-rakan dalam Kapsul Nurani begini pun tidak mengapa. Jika anda berpeluang mendapat buku ini jangan lupa untuk buka pada muka surat 93 dan lihat catatan saya.

Saya bongkarkan mengapa saya suka dengan genre novel fantasi. Kerana novel fantasi tidak akan mendedahkan siapa saya sebenarnya. Ya lah untuk memahami penulis kita harus membaca tulisannya. Tapi anda pasti akan gagal mengenali saya melalui tulisan-tulisan dan pemikiran saya di dalam novel. Selamat membaca.

09 June, 2014

Comel sudah mati

"Cik, mulutnya dia pun dah berbau. kalau macam ni tandanya memang dia mempunyai masalah buah pinggang." kata doktor muda  Klinik Veterinar  pada 16 Mei 2014 beberapa hari sebelum Comel sakit teruk.

Aku cuma diam. Aku tahu mulut comel sebenar dah lama berbau. Tetapi aku tidak tahu itu symptom dia menderita sakit buah pinggang. Padanlah dia sudah tak mahu minum air selepas makan. Terburu-buru mahu lekas keluar rumah. Selepas memboloskan diri dari jeriji besi yang dipanjatnya Comel akan menoleh sekali apabila aku memanggilnya sebelum dia turun turun setiap kali selepas makan.
 
"Dia sekarang terlalu lemah. Saya akan beri dia antibiotic dan multivitamin. Tapi itu tak menjamin dia akan sembuh. Nanti balik rumah beri dia mimun air rebusan ikan atau ayam sahaja." kata doktor itu lagi.
 
Dalam hatiku sudah terdetik dia akan pergi tidak lama lagi. Berapa lama Comel hendak minum air rebusan itu?
 
Pagi 19 Mei Comel seperti biasa menunggu di pintu rumahku menunggu makanannya. Ketika aku sibuk bersiap hendak ke pejabat ketika itu jugalah dia akan sibuk menagih simpatinya dariku. Itu rutin biasanya selama empat tahun sejak dari tahun 2010. Ketika itu dia bersama dengan si Hitam yang telah menghilangkan diri.
 
Aku menghidangkan makanan keringnya di pinggannya. dia memandang dari jauh sahaja. dengan terkocoh-kocoh aku buka makanan basah pula untuknya. Dia hanya menjauhkan dirinya.. Sikap aneh yang ditunjukkan itu berbekas di hati ini. Comel sudah buang tabiat.
 
Petang itu aku pulang awal daripada biasa. Aku ingin lihat keadaan Comel yang sudah berubah dari segi fizikalnya kebelakangan ini. Dia sudah terlalu kurus. Hanya tinggal kulit dan tulang. Jam 6.00 lebih aku tiba di tangga apartment aku lihat Comel sudah berada di tangga dalam keadaan tidak berdaya untuk berjalan. Badannya menggigil dia mengiow tapi suaranya tidak kelihatan. Sudah lama aku tidak dengar suaranya kerana Comel mempunyai masalah dalam mulut. Kata doktor mulutnya juga kena ulser.
 
Aku mengangkat Comel masuk ke dalam sangkarnya dan membawanya masuk ke dalam rumah. Aku alas ia dengan kain dan letakkan di dapur dan mula menyuapkannya air. Dia menepis tapi aku gagahkan juga walau dia mencakar-cakar tanganku. Air rebusan ayam juga aku beri. Amat tenat keadaannya. Setelah air itu masuk ke dalam tubuhnya aku lihat Comel diam dan mula tidur keletihan.
 
Setelah selesai solat Maghrib aku mendekati Comel dan berkata kepadanya. "Acik nak keluar makan. Comel duduk baik-baik. Sekejap sahaja nanti Acik balik semula." Memang tak lama aku pergi, setengah jam sahaja aku kembali semula.
 
Tapi aku sangat terperanjat tatkala melangkah masuk ke rumah kerana kulihat Comel telah berada di luar sangkarnya dengan air kencingnya di lantai dan dia terbaring kesakitan. Aku pasti dia dengan bersusah payah keluar dari sangkarnya untuk kencing di Tanah seperti biasa tetapi kudratnya sudah tiada lagi.
 
Aku bersihkan lantai dan sedikit badanya dan meletakkan kembali Comel di dalam sangkarnya. Malam itu sementara menonton TV dan sambil membaca mataku tidak lepas dari menjeling ke arah Comel. Dia seperti sudah nazak. Aku melambai-lambai tangan ke arahnya tetapi tiada respon. Matanya seperti sudah buka. Dia bernafas perlahan-lahan dan sekali-sekala tercungap-cungap kesakitan.
 
Jam 12.00 aku tersedar dari tidur. Entah bila aku terlena. Aku melihat mulut Comel sudah ternganga.
Dan aku berkata dalam hati. " Ya Allah jika kau mahu mengambil nyawa malam ini aku reda Ya Allah tapi berilah aku kesempatan untuk melihat dia pergi Ya Allah." Aku mengusap-usap badannya yang kering. Dia tidak memberi respon lagi ketika itu. Tetapi dia masih terus bernafas. Aku tenang kerana Comel masih bernyawa.
 
Seketika aku terlena lagi. Jam 4.15 pagi aku tersedar lagi apabila aku dengar nafasnya yang kuat. Mulutnya sudah ternganga. Aku mendekati Comel dan memanggil-manggil namanya. Aku lihat ada sedikit gerakan badannya walaupun keadaannya sudah begitu teruk.
 
Aku terus memanggil namanya beberapa kali dan selepas itu ketika jam menunjukkan pukul 4.30 pagi perut Comel sudah tidak bergerak lagi. Aku tahu ia sudah pergi buat selama-lamanya.
 
Terima kasih Allah meminjamkan Comel buatku untuk sementara waktu. Aku harap dapat berjumpa lagi dengan Comel si manja hatiku walaupun cuma hanya di dalam mimpi!
 

13 February, 2014

Cerita Semalam Di Seri Pacific


Lama sungguh tidak kemas kini. Dah bersawang blog ni.. syioh, syioh. Labah-labah pun banyak. Takpa lah.. bukan jadi bangkaipun yang penting dia masih ada dan dapat menyampaikan suara hatiku. Selamat tahun baru semua.
Semalam ada Seminar dan Buku Perdana 2014 di Hotel Seri Pacific. Majlis berkenaan dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang tersohor suatu masa dahulu iaitu Tun Mahathir Mohamad. Berasa teruja menunggu kemunculan Tun yang akan merasmikan majlis berkenaan pada jam 3.00 petang. Tun tiba agak lewat sedikit kerana saya sendiripun tidak tahu sebabnya. Tapi kegelisahan itu reda apabila kemunculannya menamatkan penantian ramai orang terutamanya pihak penganjur.
Daripada pemerhatian saya agak Presiden Yayasan Pembangunan Buku Negara ini Tuan Hasan Hamzah baik benar dengan Tun berdasarkan ucapan-ucapan dan gurau-gurauannya yang meminta Tun dapat menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam industri buku Negara.
Saya bukan hendak melaporkan secara terperinci apa yang berlaku dalam majlis itu kerana itu kerja wartawan. Heh. Anda boleh baca mengenainya dalam banyak surat khabar dan berita internet.
Apa yang menarik perhatian saya mengenai ucapan Tun ialah beliau menganjak kita untuk menulis. Kerana apa yang kita tulis hari ini pada masa akan datang ia menjadi sangat berguna untuk generasi akan datang. Apa yang kita tulis hari ini walaupun mengenai apa yang terjadi hari ini adalah penting sebagai rujukan kepada generasi akan datang.
“Manusia ini lemah. Mereka tidak dapat mengingati dengan banyak. Oleh itu penting untuk kita menulis (agar apa yang ingin kita sampaikan tidak hilang.)” kata Tun Mahathir.
Sesuatu yang lucu apabila Tun berkata orang Melayu suka percaya kepada hantu dan jembalang. Bila buat cerita hantu jembalang dapat sambutan. Heh. Betul juga cakap Tun kita kena tulis cerita hantu jembalang secara ilmiah dan beri manafaat bukan yang beri ketakutan semata-mata.
Boleh dikatakan kebanyakan ucapan para pembentang semalam adalah mengenai kerisauan jumlah buku yang diterbitkan dalam negara. Untuk menjadi negara maju menjelang 2020 jumlah buku harus 1% daripada jumlah penduduk. Bermakna untuk 28 juta orang penduduk kita mestilah mempunyai 28 ribu judul buku baru. Tetapi untuk tahun 2011 kita hanya mempunyai sekitar 17,923 judul buku sahaja.
Masalah dalam dunia perbukuan tidak hanya dari segi kekurangan jumlah buku tetapi meliputi masalah kurangnya minat membaca dan membeli buku itu sendiri. Industri perbukuan negara harus dibantu oleh pemerintah dengan membuat pembelian buku apabila ia dicetak.