Hari ini Ahad. 26 April adalah hari kesepuluh berlangsungnya PBAKL. Sejak 3 hari terakhir ini pengunjungnya semakin bertambah dan laluan di hadapan bilik Right Centre di Bilik Kelantan sangat sesak dan boleh menimbulkan rasa sakit dan pening kepala kepada mereka yang tidak selesa dengan keadaan sesak.
Mungkin faktor hari terakhir dan hujung bulan yang kebanyakan pekerja menerima gaji menyebabkan PBAKL 2009 menjadi tumpuan. Pelbagai peristiwa berlaku sepanjang berkampung di PBAKL dan semuanya akan saya paparkan pada post yang akan datang memandangkan saya tiada waktu untuk menulis dan memuat turun dan memuat naik gambar sebagai paparan yang menarik buat pengunjung blog.
Gerai ITNM terus menerima kunjungan yang menggalakkan dan peti peraduan saya perhatikan semakin sarat dan petugas-petugas terpaksa mengosongkannya setiap kali petang menjelma agar keesokkan hari ruang yang kosong itu akan terisi lagi oleh borang peraduan dari pembeli yang baru.
PABKL tahun ini jugan memberikan rasa luarbiasa kepada saya kerana dengan kuasa apa entah saya terdorong untuk membeli begitu banyak buku. Hampir setiap hari ada sahaja buku yang saya beli dan bilangannya mungkin mencapai 10 buah buku!
Kepada anda yang masih lagi belum berkesempatan silalah ke mari kerana hari ini semakin banyak yang memberikan potongan yang lebih dari biasa. Tak percaya? Tak mengapa. Datang dan carilah jawapannya sendiri.
No comments:
Post a Comment