Dia lari dari rumah sudah lebih dari lima tahun. Dia bukan setakat lari tetapi mengembara ke Semenanjung Malaysia dari Malaysia Timur. Dari wajahnya walaupun masih muda saya dapat lihat kegetiran yang dilaluinya. Tetapi mengapa memilih untuk lari hati saya tertanya. Katanya kalau dia tidak lari dia mungkin mati dikerjakan oleh bapanya.
Bapanya bekas seorang pemain baseball yang cekap, telah membaling ke mukanya sebiji batu sebesar bola lisut. Dia sempat mengelak dan terkena pintu bilik air. Pecah pintu itu. Katanya kalau dia tidak mengelak mungkin mukanya yang pecah.
Saya bertanya kenapa bapanya bertindak demikian. Lalu diapun bercerita bapanya memang seorang panas baran. Di kampungnya memang tengah menular budaya anak-anak muda yang menagih dadah. Di antaranya adalah kenalannya juga tetapi dia tidak terlibat dengan gejala itu.
Hari itu kawan saya tidak sihat dia baru sahaja keluar dari bilik air. Tiba-tiba sahaja bapanya sudah tercegat di hadapan pintu dengan batu di tangan dan membaling ke arahnya. Dia tidak pasti kenapa tetapi dia pasti bapanya mendengar cerita-cerita tidak baik mengenainya dari tetangganya.
Sejak dari itu dia lari dari rumah dan tidak pulang-pulang lagi sehingga empat tahun selepas itu. Itupun selepas mendengar berita bapanya sakit. Katanya dia mendapat tahu cerita dari PakCiknya bapanya menangis selepas itu selepas mencarinya di mana-mana. Bapa mana yang tidak sayangkan anak tetapi jika sedang marah bawalah bertenang banyak-banyak. Jangan sampai tindakan hendak mengajar itu seperti hendak membunuh pula! Dan sebagai anak haruslah sentiasa memaafkan ibu bapa. Mereka juga manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan dalam tugasnya mendidik dan membesarkan anak-anak.
Kawan muda saya itu memberitahu baru-baru ini dia mengirimkan wang RM11,000 untuk menjelaskan bil hospital bapanya. Dia juga telah pulang menjengah ibunya yang kurang sihat kebelakangan ini. Baguslah kalau seperti itu kata saya. Semoga hubungan anak beranak ini bertambah baik. Air dicincang tak akan putus.
No comments:
Post a Comment