Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kian hampir cuma tinggal 2 hari lagi ketika artikel ini ditulis. Kebanyakan penerbit menjadikan tempoh berlangsungnya PBAKL sebagai waktu yang paling sesuai untuk menghasil, memasar dan menjual produk mereka. Pelbagai strategi jualan telah diaturkan sebelum menjelangnya PBAKL.
ITNM tidak ketinggalan dalam hal ini dan tahun ini akan menyaksikan banyak buku-buku terbitan terbaru selain buku-buku yang dicetak ulang. Dalam tempoh berlangungnya PBAKL ini juga akan berlangsung dua majlis pelancaran buku terbaru ITNM iaitu Keberanian Menggapai Harapan - tulisan Presiden Amerika Syarikat terkini (oleh Raja Muda Perak- Tuanku Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah) dan Kisah Dongeng Rakyat Malaysia & Jerman (oleh Menteri Luar Negara, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim).
ITNM merupakan satu-satunya institusi yang bertuah kerana berjaya mendapat hakcipta untuk penerbitan terjemahan buku tersebut kerana setelah Barrack Obama menjadi Presiden Amerika beliau tidak lagi membenarkan mana-mana buku tulisannya diterbitkan lagi dalam bentuk yang seumpama ini.
Saya ingin menarik perhatian anda mengenai gerai ITNM di PBAKL. Tadi sewaktu ke PWTC untuk menghantar bahan saya dapat menyaksikan persiapan telahpun bermula. Mereka yang terlibat akan berkampung di sana jika dibenarkan. Saya juga dapat melihat kereta MyVi yang masih tidur di dalam selimut telahpun sampai ke gerai ITNM untuk di pamerkan. Agaknya milik siapalah MyVi itu nanti. Jika anda berminat seperti yang saya maklumkan sebelum ini belilah buku ITNM berharga RM25 ke atas dan anda layak menyertai peraduan Beli Buku ITNM dan Menang Hadiah bernilai RM100,000. yang akan berakhir pada 26 April 2009. Kawan tadi sempat berposing dengan kereta yang menjadi idaman anda!
Saya teringat kata-kata Pengarah Urusan Encik Mohd Khair Ngadiron di suatu majlis yang berlangusng di DBP baru-baru ini. Jika selama ini peraduan memancing mampu menawarkan hadiah kereta kepada pemenangnya mengapa tidak kepada mereka yang cintakan ilmu pengetahuan. Ini adalah sebagai suatu penghargaan kepada mereka yang berminat dengan ilmu.
Tahun ini juga menguji kemampuan ITNM mengendalikan Pusat Dagangan Hak cipta yang akan Berlangsung di Bilik Kelantan. Sebanyak 83 judul buku dari pelbagai penerbit dengan tema Malaysiana dan Sastera telah dimuatkan dalam katalog untuk ditawarkan hakciptanya petang akan berlangsung Sesi Dialog dengan Encik Peter Ripken Pengarah Pusat Antarabangsa, Pesta Buku Frankfurt yang akan dipengerusikan oleh Pengarah Urusan ITNM Encik Mohd Khair Ngadiron dan pengacaranya ialah...saya :)
No comments:
Post a Comment