30 April, 2009

Pelbagai Cerita PBAKL 2009




Blogger ITNM Shaharwati bersama Pak Samad dan AGI

Sepuluh hari berlangsungnya PBAKL 2009 adalah tempoh yang singkat tetapi merakamkan pelbagai peristiwa yang tidak mudah dilupakan begitu sahaja khususnya bagi saya pekerja ITNM dan saya percaya ia memahatkan kenangan yang sama pada rakan-rakan saya yang lain terutamanya mereka yang bertugas ketika itu.

Kenangan pertama ialah kerana ITNM telah dan secara bersungguh-sungguh menarik minat pembaca dan pembeli buku dengan menawarkan hadiah istimewa berupa sebuah kereta Perodua MyVi dan hadiah wang tunai. Terima kasih kepada Perodua dan Ambank yang sudi menjadi penaja. Sehingga kini pemenang masih lagi belum diketahui.

Kedua ITNM telah diberi kepercayaan untuk mengemudi 'Bilik Pusat Dagangan Hak Cipta' yang berlokasi di bilik Kelantan. Terima Kasih teman-teman yang memberikan kerjasama sepanjang tempoh itu tanpa kenal erti jemu.

Berbalik kisah di gerai ITNM kali ini banyak item baru yang wujud di gerai selain peragaan hadiah yang gah itu gerai ITNM juga ada kaunter DJ dan teman saya Nizan sampai hilang suara berlagu di situ menarik pengunjung-pengunjung. Saya pun sempatlah juga menumpang semangkuk menyibuk di situ. Kalau tak kerana tugas di tempat lain mungkin saya juga akan hilang suara membebel di situ.


Nizan bersama kanak-kanak malang

Jejak kasih kanak-kanak malang menemui semula ibunya

Kenangan yang tak mungkin dilupakan juga ialah pada hari kesembilan seorang kanak-kanak yang kehilangan ibubapanya telah dihantar ke gerai ITNM oleh pengunjung yang menjumpainya. Kesian kanak-kanak itu dah kering airmatanya dan hanya mampu tersedu sedu mengangguk dan menggeleng sahaja apabila ditanya soalan.

Pengumuman dibuat beberapa ketika mengenai penemuan kanak-kanak itu tetapi gagal menemukan ibubapanya lantas khalil (teman sepejabat) dan saya membawanya ke kaunter informasi di tingkat 2 untuk dihebahkan. Hampir 15 minit muncullah ibunya menuntut kanak-kanak tersebut. Macam jejak kasih kami memerhatikannya di situ.

Prof. Dr. Muhammad sempat bergurau meminta bayaran untuk bergambar dengannya.


Bersama Azizi Haji Abdullah- Beliau sempat bertanyakan Bolkiah (teman lama)kepada saya.

Sepanjang tempoh itu juga beberapa kali saya ditugaskan untuk menemankan penulis-penulis yang hadir pada sesi autograf bersama penulis. Di antaranya Azizi Haji Abdullah, Abdul Ghafar Ibrahim dan Pak Samad. Secara peribadinya itulah kali pertama saya dapat bercakap dengan Pak Samad dalam keadaan sempurna dan saya memerhatikan beliau sangat sempurna penuturannya bila berbicara. Hampir tiada bahasa pasar yang digunakan dan tiada bahasa rojak. Itulah bahasa pejuang bahasa.


Atie AF hari terakhir di pentas utama PBAKL2009


Sewaktu itu di River Side Cafe saya nampak kelibat seorang lagi teman sepejabat di dalam cafe itu- Saiful Anuar. Rupanya dia menemankan isterinya Atie Af yang mempunyai segmen di pentas utama petang hari terakhir PBAKL. Teringat artikel dia pasal steamboat!



Seorang anggota polis trafik sedang menyaman kenderaan yang meletakkan kenderaan di tempat yang terlarang!

PBAKL juga membuatkan saya merasa tidak selesa apabila melihat kereta-kereta pengunjung yang hadir di sekitar PWTC di saman oleh pegawai polis trafik. Apakah kerana mereka malas hendak mencari tempat letak kereta atau tempat letak kereta yang tidak mencukupi! Saya pun tidak pasti.



Bersama penulis Air Mata Ibu Soo Cham

Sebelum PBAKL 2009 melabuhkan tirainya saya terserempak pula dengan penulis buku A Mother Tears Sdr. Soo Cham. Itulah adalah pertemuan saya kali kedua dengannya bila mana pertemuan pertama saya ialah di kediaman beliau kerana ingin mendapatkan biodatanya dan juga gambarnya.

Apakah mungkin saya menemui lagi PBAKL 2010?

Yang menjadi milik saya bila PBAKL2009 berlalu

1.Yakjuk & Makjuk Bencana Di Sebalik Gunung
2.Benarkah Iskandar Bukan ZulQarnain
3.Koleksi Pantun- untuk Majlis Perkahwinan dan Persandingan Melayu
4.Buat Duit dengan Blog
5.Serangan Jantung-Punca, Pencegahan & Kaedah Meredakannya
6.Kawal Berat Badan
7.Keluarkan Singa Daripada Diri Anda
8. AuraPersonaliti Warna
9.Bidadari Dari Timur
10.Pengucapan Awam Yang Berkesan
11.Kamus Dewan-edisi keempat
12.Ekslusif Mawi & Ekin.

13.Aura Penyembuhan Reiki


Banyaknya..bila nak habis baca ni?

1 comment:

Unknown said...

Laaa...Encelah dah beli semua buku PTS itu. Saya akan beli di stor PTS. Lagilah tinggi diskaun!haha