27 April, 2009

Kanvas Kehidupan- Mereka Semakin Kurang Ajar?

Hari itu hari ketujuh aku bertugas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Semalam Abang membuat panggilan dari Kampung mengatakan anaknya dimasukkan ke wad di Hospital Kuala Lumpur kerana mengidap demam denggi. Siti Nadiah sedang mengikuti kursus kejururawatan di kolej di Kuala Lumpur sudah masuk tahun ketiga.

Walaupun dia mengambil kursus jururawat nyamuk Aedes tidak memilih sesiapa untuk mencari mangsanya. Sudah berhari-hari Siti pening, demam dan tidak stabil akhirnya dia dihantar ke hospital bila disahkan mengidap demam denggi.

Siti ditemani Nadiah (nama yang sama) ke HKL tetapi dia tidak boleh lama kerana ini musim peperiksaan. Tiada orang lain yang boleh diharapkan untuk menjengah Siti kecuali aku. Jadi tengah hari itu kerana tidak mahu memeningkan kepala untuk mencari tempat meletak kenderaan aku memilih untuk menaiki teksi sahaja. Apalah susah nak naik teksi di Kuala Lumpur ini, pergi sahaja ke hentian teksi dan naiklah teksi di situ.

Tetapi tidak semudah itu kerana teksi di Kuala Lumpur sekarang ini sudah pandai memilih-milih. Hentian teksi di hadapan hotel itu penuh dengan tujuh buah teksi yang sedia menunggu pelanggan. Ku lihat teksi paling hadapan tiada pemandu kecuali teksi yang kedua sahaja ada pemandu yag sedang membaca surat khabar.

Aku fikir teksi pertama yang harus aku dapatkan dahulu lalu aku berdiri di hadapan teksi itu tiada respon dari pemandu-pemandu yang sedang bersembang di tempat menunggu teksi itu lalu aku berjalan ke arah mereka dan menyatakan aku perlukan teksi mereka. Malang sekali jawapan yang tidak boleh diterima akal aku perolehi. Mereka bilang mereka sedang rehat. Kalau berehat kenapa di tempat menunggu teksi?
Lalu aku mendapatkan teksi kedua yang pemandunya sedang membaca surat khabar. Aku merayu dengan ayat yang sama. Aku perlu ke HKL waktu itu. Pemandu itu menjawab dengan jawapan yang sangat kurang ajar. Mereka sedang berehat. Kalau nak tahan sahaja teksi yang lalu lalang di situ!


Dengan hati yang terbakar aku melangkah ke belakang dan mengeluarkan telefon bimbit lalu aku merakamkan teksi yang sedang berbaris di situ lengkap dengan no pendaftarannya dan aku beredar ke seberang jalan mendapatkan teksi yang lain pula. Menyedari aku merakamkan gambar teksi mereka pemandu-pemandu yang sedang melepak itu bergegas masuk ke dalam teksi masing-masing dan hilang selepas itu.


Aku masih panas terus berbual-bual dengan pemandu teksi berbangsa India. Aku memang tidak puas hati dengan layanan pemandu-pemandu teksi yang berlagak samseng itu. Mendengar rungutan aku itu pemandu itu senyum dan mencabar aku supaya melaporkan saja kejadian itu agar ia tidak berulang lagi. Dia menunjukkan aku nombor telefon yang tertera pada belakang kenderaan dan juga nombor SMSnya untuk aku buat aduan.


Aku mendail terus nombor itu. Malang memang malang dan hanya menambahkan sakit hati sahaja apabila nombor yang aku dail itu tidak ada siapapun yang mempedulikan untuk mengangkatnya! Pemandu itu lagi sekali tersenyum kepadaku sambil berkata kerana itulah masalah kurang ajar pemandu-pemandu teksi itu tidak pernah selesai kerana nombor aduanpun sekadar ada sahaja!


(Atas sebab keselamatan biarlah nombor pendaftaran itu menjadi rahsiaku sahaja!)

3 comments:

rokiah said...

baca pun rasa 'panas' apalagi dalam keadaan yang che lah kena, mesti bengang..

umi_e said...

sakam enche... kiranya enche boleh tahan sabar... kalau kak e... kat situ juga kak e keluarkan kata-kata yang 'pedas dan panas' biar sama-sama terasa hehehehehehe

Unknown said...

Kak e...sebenarnya selepas itu semasa saya ke jalan sebelah pemandu teksi yang saya ambil gambarnya telah mengekori saya dan mengambil gambar saya pula. Begitu kurang ajarnya mereka nak mengenakan kita. Tapi ambil gambar sayapun nak buat apa? Saya tak salah. Saya cuma nak membetulkan keadaan. Itu adalah hak saya sebagai pengguna.
Mereka tidak merasa bersalah dengan perbuatan itu sebaliknya nak mengajar kita pula.
Saya ada rasa sedikit gerun nak bahasakan mereka kerana mereka ramai dan seperti sepakat walaupuan melakukan kesalahan di tempat awam..itulah masalahnya.