29 May, 2009

Jun akan datang

Bulan Mei akan berlalu membawa seribu cerita dan Jun bulan yang tak sanggup aku lalui kerana bulan ini akan menuakan diriku. Tahun lalu dibulan Jun lah seluruh rakyat Malaysia menerima hadiah istimewa, kenaikkan harga minyak berkali-kali dan yang tertinggi dalam sejarah negara.

Gempar seluruh negara. Sana sini orang dah macam menyesal hidup bergantung dengan minyak. Maka dalam tv muncullah berita projek membangunkan kereta menggunakan separuh minyak dan separuh air. Lepas tu bila harga minyak mula menjunam dan turun dengan drastik dan bertukar pucuk pimpinan negara projek tu dah macam sejuk je.

Terkenang waktu itu juga bila ramai kawan-kawan sepejabat dah berubah angin naik motor. Jalan raya lengang dan hari minggu orang dah kurang nak menyibuk di jalan raya. Tuan kedai yang aku selalu lepak makan pun mengadu dah kurang pelanggan. Aku pun kehilangan jiran bila ada yang sanggup berpindah untuk menjimatkan belanja berkaitan dengan minyak.

Bulan Jun yang akan datang memberikan macam-macam peristiwa. Tapi kehadiran Jun tahun ini akan menggenapkan usia blog ini kepada setahun jagung. Ya apalah yang diharapkan kepada kematangan usia setahun jagung itu. Orang tua akan mencebik sahaja dengannya. Tapi bagiku kehadiran blog ini telah banyak mengubah jadual hidup dan fokus apabila menghadapi sesuatu situasi.

Aku akan sentiasa mencari sesuatu dan berfikir terhadap apa yang dilihat dan boleh dikongsi dengan pembaca. Hidup dah jadi seperti wartawan seronok ada pedihpun ada juga. Catatan dah jadi seperti diari yang dibaca semua orang. Sebenarnya banyak yang ingin ditulis tetapi waktu seperti cemburu (ah..klise). Ada ruangan yang mempunyai banyak peminat dan sentiasa diteropong tergantung begitu sahaja.

Dan ada sesuatu yang pasti aku tidak akan lupakan ialah blog memberikan aku lebih warna kepada kehidupan. Dan ada warna-warna yang masih belum kelihatan! Kita tunggulah sehingga warna-warna itu menjelma menjadi kenyataan.