31 May, 2009

Menjejak Soliloquy I

Aku pertama kali mendengar namanya pada 19 Mei 2009. Seorang Dato' (Dato' Kemala)membisikkan ke telingaku nama itu bersama satu lagi nama lain. Tetapi nama yang satu lagi itu tidak begitu melekat di hatiku. Sejak hari itu tidur bangun aku asyik teringatkan Soliloquy.

Maka bermulalah pencarianku menjejak Soliloquy. Aku menjeling ke sekelilingku di ruang koleksi yang ada. Aku tanyakan pada Maria kalau-kalau pernah terdengar atau melihat Soliloquy dan satu nama lagi. Jelas, Maria cuma kenal yang bukan Soliloquy.

Aku mengeledah setiap ruang yang ada di kamar pejabat jelas Soliloquy tidak menampakkan batang hidungnya. Sudah pasti Soliloquy tidak pernah ke mari. Jadi tidak mungkin ia ada di situ. Aku harus melupakan igauan menemui Soliloquy di pejabat.

Pasti aku terpaksa menganjak pencarian itu ke satu ruang yang lebih besar dari itu. Dan aku telah menamakan satu tempat yang menghimpunkan lebih banyak nama di situ. PNM. Suatu nama keramat (tetapi bukan Keramat Supermarket). Bantuan Puan Sywana aku perlukan kerana Soliloquy pasti di bawah kawalannya. Aku memberikan tempoh dua hari kepadanya mendapatkan di mana Soliloquy berada dan aku kecewa bila Puan Syawana menyatakan Soliloquy sudah tiada lagi di situ. Dia sudah ditamatkan riwayatnya. Siapa yang mahu kepada orang lama seperti Soliloquy!

Kecewa dengan keputusan itu lalu kesempatan berjumpa dengan seorang lagi Dato' (Dato Baha) aku menanyakan kalau-kalau Soliloquy pernah datang kepadanya. Dia juga mengeleng tetapi menyarankan aku menjejaknya melalui orang yang melahirkan Soliloquy! Seorang lelaki Suhaimi Haji Muhammad.

Malang sekali Encik Suhaimi berada di Ipoh Perak. Haruskan aku ke sana untuk mendapatkan Soliloquy! Lalu melalui telefon Suhaimi membisikkan pergilah ke DBP, mungkin Soliloquy pernah bermain di situ. Jika tiada, baru datang kepadanya. Aku mengangguk walaupun Pak Suhaimi tidak melihatnya.
Malam itu aku terpaksa tidur seperti hari-hari yang sebelumnya. Tanpa kehadiran Soliloquy.