Menatap bunga hidup dan menatap bunga tiruan akan memberikan kesan yang berbeza walaupun kedua-duanya mendamaikan. Melihat bunga dapat melahirkan rasa gembira orang yang melihat. Apatah lagi jika bunga yang indah dengan pelbagai bunga itu mengeluarkan bau yang harum.
Dek kerana itu orang yang sakit wajar sekali diberi bunga kerana apalah gunanya epal dan oren yang dibawa oleh si penziarah kepada pesakit jika si pesakit tidak lagi boleh menelan apa-apa makanan yang sudahnya buah tangan itu diberi pula kepada sipenjaga pesakit atau saudara-maranya yang datang menziarahi.
Apa yang ingin dipaparkan kali ini ada kaitannya dengan cerita bunga. Oleh kerana sifat keindahan bunga yang dapat menimbulkan rasa gembira dan mengurangkan rasa dukacita maka setiap kali menjelang hari raya aku akan berkunjung ke gerai bunga untuk mendapatkan kuntuman agar pada hari raya yang selalunya sepi dapat aku menatap warna-warna bunga yang indah dan baunya yang harum itu.
Maka gerai nan satu itu telah menjadi kegemaranku kerana Nyonya bunga itu sangat gemar menasihati aku cara-cara memelihara bunga agar tahan lama. Dia juga menjadi penasihat bunga apa yang sesuai untuk perayaan (walaupun semuanya kelihatan sesuai).
Sedar tak sedar sudah sembilan tahun aku mengunjungi gerai itu sehingga Nyonya itu sudah mengenali aku dan tahu apa hajatku jika dia melihat aku lalu di lalu. Entah mengapa tahun lepas aku gagal ke gerai itu. Mungkin kerana aku mengubah selera menyambut raya di rumah adik di Bangi.
Dan pada tahun ini aku pergi lagi ke gerai itu. Nampaknya seperti sudah bertukar tuan gerainya. Ku intai beberapa kali namun tidak kelihatan Nyonya bung yang selalu itu, yang ada seorang nyonya yang miripnya tetapi muda sedikit bersama pembantunya. Lalu aku berani untuk melemparkan soalan kepada Nyonya muda itu di mana Nyonya yang biasa berniaga di gerai itu.
Dan aku terkedu bila nyonya muda itu berkata
"Oh Kakak saya sudah meninggal setahun yang lalu, Awak kenal dia?"
" Dia meninggal kerana sakit paru-paru" dia menyambung sebelum aku bertanya soalan selanjutnya.
" Oh begitu, Kakak awak memang seorang yang baik dan tidak lokek.." kataku
"Jika awak mahu bunga ini tahan lama masukkan dalam air sejuk dan masukkan sedikit gula dalam pasu. Jangan lupa potong pangkal batangnya setiap hari dan tukar air setiap hari." Itulah yang aku ingat pesan dari Nyonya bunga yang telah meninggal itu.