Tengah hari itu yang tidak mahu aku ingat lagi bila tarikhnya, aku bersama empat orang teman yang baru sahaja pulang dari menjamu mata di sebuah 'shopping mall' yang baru sahaja di buka di Wangsa Maju. Sayang sekali sebuah shopping mall yang gah seperti itu tidak menyediakan tempat makan yang menyajikan masakan tempatan seperti nasi campur. Padahal 'shopping mall' itu betul-betul tumbuh segar di celahan kediaman anak tempatan yang memang cita rasa lidahnya adalah masakan tempatan juga.
Dek kerana itu kami berempat merasa tidak berselera dengan sajian yang ada di situ. Lalu mengambil keputusan untuk singgah sahaja di Setiawangsa dalam perjalanan pulang untuk makan. Rindu aku untuk menjengah tempat lama aku menyewa sebelum aku mengambil keputusan membeli rumah di Ukay Perdana akhirnya tercapai.
Setiawangsa memang tempat kediaman yang sangat aku suka. Namun sekarang kedamaian yang ada kian dinodai oleh pembangunan yang pesat membangun di situ. Untungnya Setiawangsa sebuah kawasan yang agak kecil. Jadi tidak banyak tanah lagi yang berbaki untuk dibangunkan.
Aku bukan ingin bercerita mengenai Setiawangsa tetapi kejadian di medan selera di Setiawangsa. Setelah memakir kereta di pinggir medan selera berhadapan sekolah di situ kami berjalan masuk dan memilih sebuah gerai yang masakannya memang sut dengan lidah kami orang Melayu.
Beberapa ketika di situ ketika sedang menjamah makanan aku terpandang kelibat teman lama di sebuah gerai yang agak jauh dari gerai yang aku sedang menikmati makanan. Aku melihat dia sedang berdiri barangkali sedang menunggu pesanan makanannya. Hendak aku jerit mustahil dia akan mendengar jeritanku. Lagipun jeritan itu pasti mengganggu mereka yang sedang makan di situ. Hendak aku bangun mendapatkannya aku masih menikmati makanan itu. Serba salah aku dibuatnya.
Keghairahan untuk menegur rakan lama itu tidak terhenti di situ sahaja. Aku tidak mati akal. Telefon bimbit yang ada di depan mata aku gunakan. Nama dan nombornya memang ada dalam telefon bimbitku. Aku mendail nombornya ketika rakan-rakan semeja tidak mempedulikan apapun yang aku lakukan kerana mereka sememangnya sedang kelaparan!
Sejenak keghairahan aku menjadi tumpul. Aku tiba-tiba merasa begitu bodoh kerana sangat teruja untuk menyapa teman lama yang tidak sedikitpun ghairah apabila aku melihat dia mengambil telefon bimbit di dalam seluarnya kemudian dia melihat pada skrin telefon itu lalu telefon itu diletakkan kembali di dalam poket seluarnya. Dia masih terus berdiri menunggu dengan sabar makanan yang di pesan.
Seribu satu persoalan timbul di dalam kepalaku mengapa hal itu terjadi? Adakah aku salah masa untuk membuat panggilan telefon! Adakah aku salah tempat untuk menelefon atau aku tersalah kata sebelum ini yang menyebab dia tidak sudi menerima panggilan ketika itu. Tiba-tiba sahaja aku merasakan kerongkongku sudah tersekat dan seakan-akan tidak mahu lagi menerima makanan yang ada.
Begitu selama ini aku menganggapnya sangat berbudi pekerti, berhati mulia baik dan peramah. Rupa-rupanya bukanlah begitu sebenarnya. Dia rupanya hanya memilih waktu atau mungkin juga memilih teman dan keselesaannya atau juga mencari aku ketika dia memerlukan aku! Peduli apa dia dengan keperluan orang lain!
Sehingga teman itu berlalu dengan makanan yang baru diperolehinya lalu aku mengirimkan sebuah SMS kepadanya yang berbunyi. "Amboi..sampai hati tak angkat telefon. Aku nampak kau tadi!" Beberapa minit kemudian SMS itu berbalas "Sorry tangan aku penuh makanan tadi..kau kat mana?" ketika itu aku merasakan aku sudah tidak perlu untuk membalas SMS itu lagi...
No comments:
Post a Comment