“Saya nak pergi Ukay Perdana” Kataku sebaik sahaja duduk di tempat duduk belakang.
Apek itu pun mengiyakan sahaja dan terus memandu teksinya. Sampai di suatu simpang tiga di atas bukit dia bertanya.
“Ikut jalan mana ya encik? Terus boleh ke?”
“Mana-manalah. Boleh-boleh” Kataku sambil terus memikirkan sesuatu di dalam kepalaku.
“Saya bukan apa ada costumer yang banyak cerewet dia salahkan saya bila tiba lewat ke tempat dia mau pergi. Dia cakap mengapa lalu ikut sini. Jauh la. Saya mana tau jalan KL ada banyak, betul tak encik”
“Ya betul-betul.” Balas aku sambil mendengar luahan isi hatinya.
“Costumer ada banyak perangai ho..saya kena tanya sebab kamu punya wang, kamu yang bayar betul tak encik?” kata dia lagi.
“Ya..ya” kataku ringkas. Sebenarnya aku mahu beri peluang dia bercerita lebih daripada aku yang bercerita. Lagipun susah nak dapatkan pemandu teksi yang suka bercerita macam ni. Dalam minggu ini sudah lima pemandu teksi semuanya berbangsa Melayu yang berbual soal-soal yang biasa.
“ Saya pernah kena marah dan costumer potong saya punya tambang sebab lalu jalan yang dia tidak suka. Tetapi dia tak ada cakap mahu lalu jalan mana. Saya bukan mahu tipu punya. Saya cari jalan yang paling dekat untuk dia. Betul tak?” Apek itu bertanya aku lagi.
“Macam itu ka…ya ya” aku membalas.
“Ya lah. Ada itu satu kali seorang perampuan Melayu la naik. Bila sampai tempat dia mahu pergi dia cakap kenapa saya lalu jalan jauh. Saya biasa datang sini murah sahaja. Nah ini Lima Ringgit saya kasi. Awak mahu ke tak mahu angkat ka awak punya suka. Saya ambil sahaja la walaupun itu meter tunjuk sembilan ringgit. Aiyo..saya ingat dia ada wang banyak itu saja tapi mahu naik teksi juga.”
Aku cuma tersenyum mendengar cerita ragam manusia yang menaiki teksi. Apek itu memang ghairah mahu bercerita dengan aku dan aku biarkan sahaja.
“ Ada satu kali saya bawa itu seorang budak cina dalam dua puluh lima tahun umur dia itu macam. Dekat jalan Raja Chulan. Dia mahu pergi suatu tempat dia suruh saya masuk itu jalan no entry untuk teksi. Itu jalan bas saja boleh lalu. Saya tahu jalan itu. Dia suruh saya masuk jalan itu. Saya cakap tak boleh. Ini jalan tak boleh masuk. Tapi dia cakap apa pasal tak boleh masuk? Saya hari hari lalu sini. Dia bilang sama saya.”
Aku masih diam supaya dia terus bercerita.
“Ini jalan salah punya nanti kalau ada polis dia saman sapa mahu bayar? Budak itu bilang dia mahu bayar itu saman. Dia suruh saya jalan juga. Sayapun jalan ikut cakap dia sebab dia sudah cakap mahu bayar saman itu. Tiba-tiba memang ada polis yang sudah tahan teksi saya. Polis itu tanya saya mengapa saya lalu situ dan mahu saman saya. Saya toleh belakang Tanya sama itu budak yang kata mahu bayar saman saya. Tapi budak itu diam tarak cakap apa. Saya sudah marah sangat-sangat saya ludah dia punya muka depan itu polis.”
“Aiyo…awak betul-betul ludah atas muka dia? Ada kena ke?” aku bertanya.
“Yalah..saya sudah marah sangat. Itu polis pun tengok saya ludah.” Balas Apek itu.
“Habis polis itu saman awak?” Tanya aku inginkan kepastian.
“Polis itu kasi chance sama saya. Dia lepas.. sebab dia tahu saya betul tapi dia bilang sama saya. Lain kali jangan ikut cakap costumer. Teksi ini awak yang pandu yang kena bayar saman awak bukan costumer. Bila sampai tempat mahu pergi budak itu kasi tambang dua kali ganda pada saya dan terus cabut sebab malu.”
Aku tersenyum dan Apek itu mengangguk-angguk.
“Apek. Saya ingat mahu singgah itu Giant sekejaplah. Mahu ambil wang. Nanti saya bayar Apek dulu tapi Apek tunggu sama saya sebab saya mahu balik terus lepas itu. Saya takut susah dapat teksi dekat situ.” Kataku.
“Boleh. Boleh. Awak pergi sekejap nanti itu jam saya pun mahu pergi tandas dulu la.. sudah lama lah.” Kata Apek tersenyum.
Sebelum sampai ke Giant apek itu bercerita lagi
“ Ada satu kali itu ha. Seorang perempuan Indonesia naik saya punya teksi dia cakap itu macam jugalah. Dia suruh saya pergi suatu tempat dan bila sampai tempat itu dia suruh saya tunggu sekejap. Dia mahu ambil barang. Tapi dalam teksi dia ada tinggal beg dia. Saya tengok beg dia saya kata tak apalah sebab nantgi mesti dia mahu datang ambil beg dia semula. Lama saya tunggu dia tak datang. Saya buka dia punya beg awak tahu apa dalam dia? Tanya Apek itu kepadaku.
“Ha apa dia?” aku Tanya dia balik.
“ Itu baju-baju pecah (koyak) punya.Aiyo saya sudah kena la itu hari.” Dia membalas.
Aku tersenyum mengenangkan baju koyak yang apek itu kata baju pecah!
“ Ada seorang lagi perempuan Melayu pun itu macam juga tapi dia tak ada beg. Dia suruh saya tunggu sekejap juga. Tapi saya cakap awak bayar dulu. Nanti kira lagi. Dia marah sama saya dia kata saya Cikgu lah saya tak ada tipu punya.” Apek itu menyambung ceritanya.
“Saya peduli apa awak Cikgu ke Laywer ke tapi mesti mahu bayar dulu saya cakap sama dia. Lepas itu dia bayar dan marah sama saya. Awak boleh jalan tak payah tunggu saya. Saya ingat dia betul-betul mahu tipu saya lah sebab itu dia marah. Betul tak encik?” Tanya Apek itu kepadaku.
“Ya ya ..” balas aku.
Asyik bercerita aku pun tiba di Giant dan setelah selesai urusan itu aku lihat apek itu setia menunggu dalam teksinya.
“Hai Apek tadi bilang mahu pergi tandas. Sudah pergi ka?” tanyaku.
“Semua penuh la..tak apa awak naik saja. Saya hantar awak punya rumah lepas itu saya mahu singgah mamak lah tumpang dia punya tandas.” Katanya dengan muka berkerut-kerut.
Selepas itu apek itu bawa teksinya punya laju macam F1 punya kereta. Aduhai. Kecut perut aku. Sampai di simpang jalan berhanpiran rumah aku meminta Apek itu berhentikan aku di situ sahaja kerana aku mahu singgah di gerai makan. Selepas menurunkan aku lihat apek itu memecutkan teksinya dengan laju sekali menuju ke kedai mamak berhampiran.
No comments:
Post a Comment