Selamat Hari Bapa kepada semua bapa di dunia. Beruntunglah kepada mereka yang masih punya bapa. Macam aku sudah lama menerima hakikat bahawa ayahandaku telah pergi buat selama-lamanya. Ketika aku di tingkat lima kira-kira 29 tahun yang lalu. Ayahandaku pergi ketika dalam perjalanan hendak ke pejabatnya di suatu pagi.
Pagi itu aku mengajuk-ngajuk batuk ayahanda di dalam bilik mandi. Adindaku tersenyum melihat kenakalanku waktu itu. Memang aku rapat sekali dengan adinda Sal. Tak sangkalah pula pagi itu adalah pagi yang terakhir aku mendengar suara ayahandaku. Aku sangat kesal dengan perbuatan itu walaupun ajukan itu menjadi rahsia aku dan adindaku sahaja.
Di sekolah sebaik sahaja habis waktu pertama pelajaran Bahasa Melayu aku melihat kelibat kekanda sulungku yang datang ke kelas dan menemui Cikgu Noriah guru Bahasa Melayu. Riak wajah guruku berubah setelah berbicara dengan kekanda sulungku. Hatiku berdetik cemas ketika kali pertama melihat kelibat kekandaku itu. Pasti ada sesuatu luarbiasa yang berlaku. Kekanda tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolahku. Sesekali memang tidak pernah.
Aku dipanggil keluar kelas dan kekanda meminta aku pulang segera katanya ayahandaku sakit! Aku tidak dapat menerima alasan itu. Ayahanda memang kerap sakit. Pernah dimasukkan ke hospital beberapa kali. Pernah tau-tau balik ke rumah dari sekolah, bonda memberitahuku ayahanda telah dimasukkan ke hospital.
Aku cuba membuka mulutku untuk bertanya lebih lanjut lagi dan belum sempat aku bertanyakan sesuatu kekanda menyambung lagi…”Abah sudah tiada!” Terasa seakan-akan terhenti denyut jantungku. Tetapi aku kuatkan semangat untuk menerima kenyataan itu. Aku tidak berkata apa-apa lagi dan terus ke tempat dudukku mengemas beg sekolah untuk pulang. Dan sebelum sempat aku melangkah masuk ke kelas kekanda sempat berpesan kepadaku supaya pergi ke sekolah adinda-adindaku yang berhampiran untuk menjemput mereka pulang. Kekanda mahu menyampaikan berita pilu itu kepada semua sanak saudara.
Jarak sekolahku kira-kira dua kilometer dari rumahku adinda Sal bersekolah di sebelah sekolahku sementara adinda-adinda lain bersekolah di hadapan rumah kami. Seorang demi seorang adinda yang sedang bersekolah kami kunjungi di kelas dan menyampai berita yang tidak mahu diterima oleh semua orang, namun begitulah hakikat kehidupan setiap yang bernyawa pasti akan pergi. Hatiku sangat sayu melihat wajah-wajah adindaku yang kehilangan kata-kata ketika aku dan adinda menyampaikan berita sedih itu kepada mereka.
Kami berjalan pulang dalam keadaan bisu tanpa kata. Ku pandang wajah kelima-lima adinda-adindaku yang telah menjadi piatu itu dengan seribu tanda tanda - bagaimanakah kami akan meneruskan kehidupan kerana ayahanda tempat kami bergantung hidup telah pergi buat selama-lamanya? Aku tidak mahu memikirkan hal itu ketika itu tetapi itulah yang seharusnya kami hadapi nanti. Aku terus memimpin tangan adindaku yang bongsu ketika itu baru menjejakkan kakinya ke kelas satu. Dialah yang kelihatan paling bingung waktu itu.
No comments:
Post a Comment