Semalam ke pejabat teman. Ada sesuatu yang merisaukan hati ini apabila panggilanku tidak berjawab. Dua kali aku dail tiada jawapan. Sehari sebelum itu aku telah menghantarkannya khidmat pesanan ringkas, juga tidak berbalas. Aku menelefon teman yang lain bertanyakan perihal dirinya. Teman yang lagi satu menasihati aku supaya pergi saja ke pejabatnya. Katanya teman itu memang selalu macam itu. Susah nak angkat telefon.
Lalu aku lapang-lapangkan masa untuk menjengahnya. Dia memang kelihatan sibuk. Waktu aku sampai dia kelihatan sedang melayan dua pelanggannya. Aku melayan diri duduk di sudut ruang bilik pejabatnya yang kecil itu. Nasib baik urusan mereka tidak begitu serius dan topiknya sama seperti urusan yang aku ingin bertanya juga.
Selesai urusan pelanggannya beredar. Itulah peluang aku nak Tanya mengapa dia tidak membalas SMS dan panggilan aku. Dan terbongkarlah cerita lucunya dan aku tidak dapat menahan perut untuk ketawa. Dia bilang telefon bimbitnya tertinggal di dalam peti ais. Bagaimana boleh tertinggalpun dia tidak pasti. Aduh! Dalam waktu itu katanya dia sangat pening kerana terdengar bunyi telefon di dapur. Bila ke dapur bunyi sayup-sayup seperti di dalam bilik. Apabila dia ke bilik terdengar pula seperti di dapur. Begitulah dia melakukan tawaf di dalam rumah!