Aku menghampiri seorang rakan yang kelihatan murung dan wajahnya yang sangat seposen lagi kelat.
"Kenapa ni? Teruk benar muka kau Man." Man cuma mengangkat kening seperti malas nak menjawab.
"Ye ke teruk? " dia bertanya ingin tahu.
Nadanya memang kurang ceria. Aku mengangguk dan dia mula memberikan perhatian kepadaku. Nampaknya aku dah mula berjaya menarik perhatiannya.
"Kalau ada masalah - ceritalah, boleh kongsi. Mana tau aku boleh tolong."
"Aku rasa sunyilah. Best friend aku dah lupakan aku." Man mula bercerita.
Itulah yang aku mahukan. Aku sudah dapat membuka pilinya. Air sudah mulai mengalir. Man mula meluahkan perasaannya yang kesunyian tidak dipedulikan sahabat karibnya lagi. Dahulu katanya ketika mula-mula rapat dengan kawannya itu M sangat mudah dihubungi. Jika dia bosan atau kesunyian M amat mudah menemaninya - tiada masalah.
Tetapi sejak mengetahui M mula berkenalan dengan seorang wanita dan wanita itu akan belajar di Kuala Lumpur, Man sudah dapat menduga bahawa sudah pasti kawannya itu akan melupakan keakraban persahabatan mereka. Tapi kata M semua itu tidak perlu risau keadaan akan berjalan sebagaimana biasa. Tak akan asyik nak jumpa teman wanita setiap minggu bosan juga. Akan ada masa untuk mereka berjumpa dan lepak bersama - kata M kepada Man.
Kini dah masuk hampir setengah tahun berlalu Man sudah amat jarang berjumpa dengan M lagi. M sudah banyak berubah walaupun dia sering berkata bahawa dia masih seperti dahulu. Man sudah hampir bosan menunggu untuk berjumpa dengan M kerana alasan M dia sibuk. Tapi bagaimana sibuk M sekalipun dia tetap ada masa untuk berjumpa dengan teman wanitanya.
Aku tersenyum dan menepuk-nepuk bahu Man."Orang bercinta memang macam itu. Dia sudah ada dunia lain."
"Habis macam mana dengan aku? Kawan-kawan lain memang ramai aku selalu ada masa untuk mereka dan aku juga peruntukan masa untuk M…Cuma M yang tak ada masa untuk aku."
"Masa dah berubah. Kau harus berubah mengikut keadaan. Jangan ikut perasaan. Biarkan yang pergi itu berlalu. Kawan tetap kawan tetapi M tidak akan jadi seperti dahulu. Mustahil - percayalah cakap aku walau bagaimana janjinya dia kepada kau."
Man diam memandang ke lantai.
" Tiba suatu masa M itu akan berkahwin…jika keadaannya sudah begini ketika dia bercinta sudah pasti apabila berkahwin dia akan lupakan semua kawan-kawan baik dia yang macam kau!" aku menambah.
"Tapi Che..M tu kawan aku yang sangat baik yang paling ngam dengan aku. Aku suka kawan dengan dia." Man menambah.
"Habis kau nak keadaan macam dulu itu terus wujud dalam hidup kau? Pergilah kau bunuh teman wanita dia. Itupun belum tentu kau akan rasa persahabatan macam dulu kerana M dengan rasa kehilangan tentu akan berduka sepanjang hidupnya…"
"…yang pergi tu kau kena biarkan berlalu. Dia bukan lagi best friend kau. Dia dah bertukar jadi kawan biasa kau. Statusnya pun dah bertukar dari status single dan dia sekarang digelar sebagai pasangan kekasih!" Man terkulat-kulat melihat aku.
Begitulah kehidupan yang sering berubah-ubah. Kadang kala kita tidak suka dengan perubahan. Dan kita kadang kala begitu kejam kerana tidak mahu orang lain berubah sedangkan diri kita sebenarnya sudah berubah!
No comments:
Post a Comment