Kutinggalkan buat beberapa ketika
Kerana kehidupanku
Penuh warna warni
Bebunga anika warna
Pernah tumbuh di sini
Dan haruman seribu aroma
Terdetik hati ketika melangkah pergi
Berkata apakah mungkin
Aku bisa ke mari lagi di sini
Dengan panorama yang sama
Dan keindahan yang serupa
Di taman yang sama tapi waktu yang berbeza
Kerana pepatah pernah bersabda
Sekali air bah pantainya turut berubah
Hari ini aku kembali lagi ke sini
dengan langkah yang sepi
Kerana di perjalanan tadi kulihat
Warna-warna ceria dari taman ini
Sudah berpindah wilayah
Kuntum-kuntum bunga indah sudah menyegar
Di taman lain bersama kupu-kupu cinta
Yang tidak pernah hadir di taman dulu
Kucari seri dan indah dahulu
Kuselongkar segala penjuru yang ada
Kalau-kalau masih berbaki
Haruman dan kuntum-kuntum yang tersisa
Namun yang kutemui kuntum-kuntum dan
Tangkai-tangkai bunga yang sudah kering
Dan tiada lagi harumannya
Taman menjadi sepi sepeninggalanku
Segalanya umpama padang jarak
Tanah kering, kerikil dan tunggul mati
Berteman rerumput layu dan lusuh
Berpagar belukar maut yang kusut
Bebunga kering satu warnanya
Sebuah lanskap monokrom
Pupuk bayu tidak lagi bertiup di sini
Aku mencari indah itu di dalam sendu
Kerana rindu pada kekelopakmu
Berbagai bilangan, bentuk dan rupa
Warna warni coraknya sejuta
Dan harumannya berbagai rahsia
Masihkah ada
semua yang dahulu
Kerana pasti
pengunjung itu hanya aku
yang setia memuji pada kerinduan
Bukankah sering aku bisikkan
Kata-kata keramat rinduku padamu
lalu iapun menjadi baja
buat kau bunga-bunga untuk terus segar dan mekar di sini
Dan bukankah kerap aku persoalkan
Akan terus suburkah kau akan segala khazanahnya
ketika aku kembali lagi ke sini
Aku termangu bagaikan kaku
Ketika perjalanan jauh ke taman ini
Di taman teman yang telah layu
Yang kubina jauh dari gangguan sesiapa
Rupanya sudah pudar bukan lagi malar
mencalarkan doa dan harapan masa silamku
Aku memandang dari kejauhan
Sempadan yang memisahkan taman ini
Sungguh rimbun pepohon yang tumbuh di sana
Memucuk dedaun yang segar melebar
Dan bunga mencorak dan warna menggila
Menjerat kaku seluruh badanku
Memukau mata yang terkesima
Sedang hati menjerit meronta
ketika tangan tidak lagi bisa menggapai
Keindahan yang berpindah
Dari sini ke taman seberang
Lalu pada segumpal hati
yang masih berdenyut
aku belaikan kata-kata
agar tidak menderhaka
pada Pencipta
Enchelah
Ukay Perdana
4 Disember 2010
4.35 am
No comments:
Post a Comment