28 September, 2012

Hari yang mencemaskan anak mak.- Bahagian 1

Semalam telah hampir dua bulan Umi datang bertamu di Kuala Lumpur. Puasa dan sambut raya di sini. Rutin yang suka dilakukannya sejak sepuluh tahun yang lalu. Sejak Umi datang sudah beberapa kali juga aku membawanya ke klinik kerana keuzurannya.
Awal Ogos akupun dah lupa apa sakit umi. Dia sangat suka mengunjungi Klinik Idzham. Aku tahu ada seorang doktor yang suka melayan pesakit dengan penuh sopan dan kewanitaannya, itulah yang menyenangkan  Umi. Apa-apa ajalah Umi – asalkan bahagia. Kunjungan  itu Doktor Rose telah berbisik kepadaku. Sebenarnya tidak perlu berbisik kerana pendengaran Umi telah berkurang.
“Ada ketulan dalam perut Umi. Bawalah dia ke pakar dan buat rawatan susulan – ultra sound  itu lebih baik.” Kata Doktor Rose kepadaku.
Hatiku berdebar. Pulang ke rumah aku Tanya Umi sama ada dia sakit pada bahagian itu atau tidak. Umi mengeleng. Aku telefon abang di rumah bertanyakan hal itu. Abang yang selalu bawa Umi untuk pemeriksaan berkala di hospital di kampungku di Kelantan. Abang cakap hal itu tidak pernah diperkatakan oleh doktor tempat Umi selalu diperiksa. Maknanya Umi memang bebas dari tanda-tanda kanser.
Hatiku lega. Dua tiga hari – dua tiga minggu, makan minggu aku mula lupa dengan ingatan Doktor Rose.
Sehingga semalam apabila mengunjungi klinik itu lagi sekali lagi Doktor Rose mendekati aku dan berkata “Ketulan dalam perut emak awak makin besar. Awak dah bawa dia jumpa pakar? Saya takut benda ni kanser aje.”
Berderau darahku. Aku termangu dan baru aku ingat semula tentang nasihat doktor.  ‘Argh mengapa bengap sangat aku ni sehingga hal yang begitu penting aku boleh lupa. Aduh.’ Aku mengeluh. ‘Kalau Umi benar-benar mengidap kanser– akulah yang salah kerana cuai mengubatinya di peringkat awal.
“Untuk sakit hari ini memang Umi awak okey. Cuma pasal ketulan itu awak bawalah cepat jumpa pakar. Saya takut dia menjadi semakin serius.”
“Okey-okey.” Kataku dalam blur. Kabur rasanya perasanku. Bagaimana aku nak ceritakan dengan saudara-saudaraku yang lain. Abang, kakak dan adik pasti terperanjat kalau aku beritahu hal ini kepada mereka. ‘Tak apa biar aku settlekan hal ini dulu. Biar aku tanggung sendiri semuanya. Kalau fikiranku kacau haruskah aku kacaukan juga fikiran mereka. Lagipun hal ini belum pasti.’ Aku memujuk diriku sendiri.
“Doktor boleh tolong buatkan surat refer kepada Doktor pakar?” pintaku. Doktor Rose mengangguk. Sejurus di ruang menunggu untuk mengambil ubat pembantu klinikpun menghulurkan surat itu kepadaku.
Umi merenungku yang seperti kebinggungan. “Kenapa?’ Dia bertanya.
Aku harus memberitahu ibu. Sebab dia patut tahu apa yang bermain di fikiranku. “Umi…kita pergi ke doktor pakar ya. Doktor Rose tadi cakap ada benda dalam perut Umi. Kita periksa ya!” aku bisik ke telinga Umi, dia kelihatan bingung tapi mengangguk.
Aku meninggalkan Klinik Idzham pagi itu dengan memimpin tangan Umi dan jalannya yang terketar-ketar. Walaupun tidak melihat kepada pembantu klinik, tapi aku tahu mereka sedang memerhatikan kami yang sedang berjalan keluar.

23 September, 2012

Shila Amzah Juara Asian Wave 2012

Belum terlambat untuk saya ucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan Shila Amzah dalam pertandingan Asian Wave yang berlangsung di Shanghai China pada 20 September 2012 lalu, sekaligus mengharumkan nama Malaysia di luar negara. Sepanjang pertandingan itu Shila telah bersaing dengan sembilan orang peserta. Maaf saya tidak tahu sangat dengan format pertandingan ini.

Tetapi Shila Amzah kebelakngan ini sangat mencuri perhatian saya bermula dengan pertandingan One in A Million (OIAM) yang disertainya. Walaupun kalah dalam pertandingan itu saya melihat bakatnya yang begitu besar dan sejak itu sering mengunjunginya di Youtube dengan cover version lagu-lagu nyanyiannya. Di situ saya melihat lagi kehebatannya 'memunyakan' lagu-lagu orang lain dengan gaya persembahan diiringi gitar (terus rasa nak belajar main gitar..@#$%).

Shila selepas itu bersama Ning dan Jacklyn Victor mencipta kelainan dalam industri hiburan dengan bergabung suara bersama penyanyi hebat wanita Malaysia dalam lagu Beribu Sesalan dengan menamakan paduan itu sebagai 3 Suara.

Selepas itu Shila menyertai Fenomania di Astro walaupun tidak menang saya percaya dia mengumpulkan pengalamannya yang berharga dalam setiap pertandingan yang disertainya.

Sebelum itu Shila mengejutkan saya sekali lagi dengan penampilannya yang baru (bertudung) ketika saya membaca di akhbar dan keputusan itu dibuat ketika bulan Ramadan (kalau tak silap saya). Nah sekarang lihatlah betapa imej atau penampilan itu bukanlah faktor utama untuk popular atau berjaya. Tak perlu nak dedah sana-sini. Tak perlu nak seksi-seksi atau goyang sana atau goyang sini untuk dikenali ramai atau boleh juga saya katakan mengapa takut untuk bertudung dengan 'istilah' yang sebenar-benarnya. Apakah takut hilang popular! Eh ke situ pulak saya....Sekali lagi saya nak ucap Tahniah kepada Shila Amzah anak kepada pelakon lelaki popular 80an - N.D. Lala



Tontonlah detik-detik perjalanan kejayaan Shila dalam Asian Wave 2012. Semoga ia dapat memberi inspirasi kepada penyanyi baru yang lain.

14 September, 2012

Indahnya Pantun

Baru-baru ini saya telah menciptakan pantun untuk teman, katanya untuk kegunaan kad hari raya. Walau ia tidak digunakan sebagaimana yang diminta saya tidak berkecil hati malah berterima kasih kerana menggerakkan minda saya untuk terus mencipta pantun yang telah lama saya tinggalkan ini.

Indah terserlah songket bercorak,
Titip akal  menjadi warisan:
Berlalu sudah Ramadan al-Mubarak,
Muncul Syawal kita bermaafan.

Indah pakaian tradisonal Melayu,
Tenunan asli menjadi warisan;
Bila Ramadan sudah berlalu,
Menyusul aidifitri untuk diraikan.

Mencipta pantun untuk sesuatu suasana harus menampilkan perkataan-perkataan yang lazim muncul dalam suasana itu. Jadi untuk hari raya aidilfitri - pakaian dan hidangan adalah dua subjek yang saling berkaitan.
Pada awal pantun ini disiapkan rima tengahnya tidak terbina dengan sempurna. Saya mengambil masa beberapa hari untuk memperbaiki rima tengahnya sehingga bentuk terakhir ini tercipta. Mungkin ada baiknya saya perturunkan bentuk awal pantun itu agar dapat dilihat kekurangan pantun ini pada awalnya dan dapat penggemar pantun mengesannya. Mungkin dalam post yang akan datang saya siarkan.

Buat anda jangan jemu untuk berpantun. Jumpa lagi. Selamat Hari Raya maaf zahir dan batin dari saya. :)

12 September 2012

Hari tu (4 September) sibuk menjadi emcee. Semuanya kerana nak menyelamatkan keadaan. Dalam waktu yang sama menjadi penyambut tetamu juga untuk majlis aidilfitri tempat aku kerja - layan sana layan sini. Dah tak habis dengan dua tanggung jawab itu aku juga jadi LO bukan Local Order tapi Liaison Officer untuk seorang pemenang Anugerah SEA Write - Azmah Nordin. Kelam kabut aku jadinya.

Tetapi alhamdulillah majlis tidaklah jadi kelam kabut. Dalam pada itu aku didatangi pula oleh seorang wartawan dari Berita Harian Sdr. Latifah Arifin untuk menemuramah dan bertanyakan tentang isu perlunya penubuhan koperasi untuk penulis-penulis di Malaysia...