Sudah tentu aku gembira. Kalau tiga bulan dahulu aku menjadi begitu sugul dan kecewa dengan tahap kesihatanku yang tiba-tiba kusedari begitu buruk maka dua hari yang lepas ialah hari untuk aku menghapuskan kesugulan itu dengan suatu perkembangan positif.
Tidak sangka keputusanku untuk membuat ujian darah dengan kos promosi yang sangat murah itu oleh sebuah kedai farmasi di Sri Rampai membuahkan hasil yang sangat menggembirakan aku. Dan harap-harap ia bukan suatu kesilapan.
Jika dahulu jumlah kolestrol aku ialah 6.1 melebihi tahap 5.2 tetapi kini bacaannya sudah menurun kepada 3.5. Bacaan Kolestrol baik HDL juga meningkat ke 1.3 dari 1.19. Sementara paras kolestrol tidak baik LDL telah menurun dari 4.3 ke 1.8. Ini mungkin kerana ketekunan aku menelan Lipitor setiap malam.
Paras glukos dalam darah juga menurun dengan cemerlang dari 6.3 ke 4.7 dan sudahpun berada pada bacaan yang dicadangkan iaitu di antara 3.5-5-4. Walau bagaimanapun aku masih perlu menunggu 10 hari lagi sebelum ujian sebenar dibuat di klinik yang mengesan kemerosotan kesihatanku tempoh hari.
Jika aku kekal dengan diet yang mendorong bacaan itu maka beginilah pola pemakanan yang harus aku kekalkan sehingga akhir hayatku! Terima kasih doktor, terima kasih teman-teman yang menasihati dan membantu.
Jika anda menjadi salah seorang yang dikesan mempunyai paras kolestrol dan glukos tinggi dalam darah jangan kecewa. Patuhilah nasihat doktor dan berusahalah. Kita belum terlambat sebelum kita diakui tidak lagi boleh diubati. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.