05 May, 2009

Hujung Minggu itu

Tomok Jutawan Baru

Tahniah Tomok atau Shah Indrawan kerana memenangi One In A Million (OIAM) jumaat lepas. Musim ini amat jarang sekali dapat meluangkan masa mengikuti OIAM kerana lupa hari siaran dan sibuk yang menyebabkan pulang terus terlena. Teman yang mengikuti selalu menyampaikan ke telinga katanya nyanyian Tomok berbeza dengan sewaktu dalam New Boyz. Saya memang tidak minat Tomok ketika dalam kumpulan itu. Bukan kerana apa, mungkin kerana muzik yang dibawakan bukan untuk orang-orang macam saya walaupun saya suka semua jenis muzik-asli, pop, R&B, Rock, hiphop, atau indi muzik.

Hari itu saya memang bersedia untuk OIAM kerana ia pertandingan akhir. Saya menyaksikan persembahan Tomok memang outstanding berbanding dengan dua saingannya. Amat mengecewakan bila Tomok diisytiharkan terkeluar pada awalnya. Namun kerana undian peminat dia layak beraksi untuk pertandingan akhir. Melihatkan kedua-dua nyanyiannya itu saya berkata Tomok sudahpun menjadi juara bagi saya jika dia tidak menang kerana keputusan dalam siaran realiti selalunya meleset. Tetapi kali ini ia sudahpun menunjukkan kematangan peminat muzik memilih juara mereka. Tahniah Tomok Tahniah rakyat Malaysia.

Melihat Tomok saya sering teringat kenangan menyanyi di Kelab Conlay beberapa tahun yang lalu ada seorang pengunjung yang mati-mati menyangkakan saya adalah Tomok dan meminta saya terus menyanyi biarpun ketika itu bukan giliran saya! Puas saya menjelaskan saya bukan Tomok tetapi dia tidak mahu percaya.

Caj Semula Kursus ESQ

Setelah dua kali kursus ESQ berlalu dan saya tidak berkesempatan untuk Caj Semula minggu ini saya tidak mahu ketinggalan apa lagi ia jatuh pada hari cuti umum Hari Pekerja. Biasalah Senior di letakkan di bahagian belakang peserta baru. Ketika itu saya terlihat kelibat rakan setugas Sdr. Rohaizah sudahpun menjadi ATS (Alumni Training Support) sedang sibuk membantu perjalanan kursus. Tak sabar untuk mengucap tahniah selepas waktu rehat saya mengirimkan SMS lalu dia menyatakan kali ini dia membawa kedua orang tuanya turut serta. Alhamdulillah. Mudah-mudahan keduanya memperolehi apa yang dicari.

Saya juga melihat kelibat Azizan Mahzan bersama pelakon Fauziah Nawi. Nampaknya Azizan telah mengotakan katanya untuk mengajak rakan-rakan artis mengikuti kursus ESQ Angkatan ke 31. Makin bertambah ramailah Alumni sehingga sesi berikutnya Alumni terpaksa diasingkan ke bilik lain.

Sehingga hari itu berakhir saya bertemu dengan seorang lagi rakan setugas Sdr. Noraniza yang begitu gembira dapat bertemu saya di situ. Sayang sekali saya cuma dapat mengikuti sehari sahaja kerana hari berikutnya terpaksa menghadiri kenduri di tempat yang jauh ke selatan.

Tahniah Pengantin Baru

Mempelai saling bersuapan

Selamat menjadi pengantin baru kepada adik teman di Muar Linda Watie. Sampai juga ke majlis perkahwinannya. Kenduri di Kampung Jarok itu memang meriah dengan semangat orang-orang kampung saling bekerjasama. Semoga rumahtangga anda berdua kekal hingga ke akhir hayat.
Dalam sibuk berkenduri hujan pun datang. Kelam kabutlah mereka yang datang. Namun elok juga hujan itu kerana cuaca hangat sekarang ini memang terasa bahangnya jika tiada hujan. Seketika bila hujan reda suasana kembali seperti biasa.

Tak sangka juga ketika hendak melangkah pulang ibu pengantin sempat meminta saya menyanyikan lagu buat pengantin dan sebagai menghormatinya saya menyanyikan lagu Gambus Jodoh khusus untuk pengantin.



Malang Tidak Berbau

Sabarlah Dik semua tu dugaan

Memang malang tidak dapat dihidu begitulah dengan nasib bekas pekerja sambilan ITNM Muhammad Amran yang kemalangan apabila motorsikal yang dinaiki hilang kawalan apabila melihat kehadiran penunggang basikal secara tiba-tiba. Akibatnya tisu pada lututnya koyak dan terpaksa menerima pembedahan kecil.

Dia dimasukkan ke KPJ Seremban Specialist Hospital, Seremban. Katanya kemalangan itu berlaku setelah dia pulang dari mengunjungi PBAKL 2009 di PWTC. Apapun semuanya sudah selamat. Doa saya agar anda cepat sembuh dan berjaya dalam kursus kejururawatan yang diikutinya.

No comments: