Jangan terlalu ghairah kalau hendak bergurau. Lain orang lain belalang. Semua orang melalui hidup yang tidak sama. Kadang-kala kita berfikir orang akan terhibur dengan apa yang kita lakukan tetapi ia adalah sebaliknya.
Aku akan ceritakan satu pengalaman yang seronok untuk dikongsi tetapi sangat tidak seronok untuk dilalui. Suatu tengah hari aku telah terserempak dengan teman lama di sebuah kawasan kedai. Aku menyangka teman itu perasan dengan kelibat aku berjalan di jalan yang bertentangan dengannya. Puas aku melambai dia buat dek saja. Dia sibuk melayan telefon bimbitnya.
Lantas terlintas di fikiranku untuk menyakatnya. Aku menyeberangi jalan dan mengekorinya. Aku betul-betul berada di belakangnya dan melihat tangannya yang sebelah lagi menyeluk saku hendak menyimpan kunci keretanya. Dia betul-betul leka dan tidak menyedari aku berada di belakang dan sedang mengekorinya. Cepat-cepat aku cuba mencuit tangannya tetapi dia betul-betul terperanjat dengan keadaan itu terus menamatkan perbualan telefonnya.
Saat itu di sudah memandang tepat kepadaku. Aku sangka dia akan sedar apa yang sebenarnya berlaku. Sekilas aku memberikannya senyuman tetapi semuanya berlaku dengan pantas aku menerima pukulan dan tamparan darinya. Percuma kesakitan di tengah hari itu. Rupanya teman itu dah ada fobia kena ragut! Tapi dia masih leka dan masih membiarkan keadaan itu berpotensi untuk berulang lagi.
Setelah menyedari aku adalah temannya, teman terus meminta maaf dan memeluk aku. Nasib baik dia tidak menjerit dan meminta tolong dari orang-orang sekeliling, kalau tidak sudah tentu aku lunyai tengah hari itu kerana dipukul beramai-ramai. Ketika mukaku masih terasa sakit dan berdenyut-denyut itu aku mengingatkannya supaya berhati-hati jangan berbual dengan telefon bimbit sambil berjalan di laluan yang segalannya memungkinkan. Itulah yang ingin aku sampaikan kepadanya secara tidak sengaja dan kesakitan itu memang enak untuk aku renungkan kerana tersalah teknik!
Kepada anda hati-hatilah cubalah berfikir di luar kotak supaya apa yang saya alami tidak pula menimpa anda.