12 May, 2009

Konsert Black Dog Bone-Terima Kasih Bud


Badrul bersama Bunting Konsert Black Dog Bone

Sudah acapkali ke Istana Budaya menonton konsert percuma. Ada juga yang berbayar tetapi yang percuma itu lebih dikenang kerana kita selalu diajar untuk mengenang budi. Budi yang tak terkira kerana ada kawan baik yang selalu memberi ruang di situ. Kawan baik yang dimaksudkan ialah Encik Badrulzaman yang aku panggil Bud sahaja. Dia kawan baik, kawan lama sekolej dahulu. Ke hulu ke hilir di kolej dengan dialah.

Sewaktu awal datang dari kampungku dahulu untuk bekerja di rumah sewanyalah aku menumpang dan rumah sewanya itu akhirnya menjadi rumah sewaku juga. Dia dan aku sama-sama memberi ruang. Di mana ada ruang di situ kami saling memberi.

Teringat waktu dahulu, aku lihat iklan jawatan kosong dalam akhbar dan beritahu dia supaya mohon sama-sama. Malah sama-sama pergi interview untuk jawatan di situ di Jalan Kampung Attap. Kami percaya rezeki Tuhan yang tentukan. Dan akhirnya rezeki itu rezeki dia.

Terbaharu aku menonton konsert Black Dog Bone (BDB) dengan penampilan istimewa Jay Jay dan Rahim Othman sedangkan belumpun seminggu bayangan persembahan teater Mahsuri yang ditonton masih lagi belum hilang dari ingatan. Konsert BDB itu amat mengesankan dan mengembalikan nolstagia ketika kecil dahulu. Persembahan dimulakan dengan nyanyian dari Jay Jay dengan lagu 'Dendangan laguku' dan 'Bayang Tarianmu' diiringi tarian disko sewaktu itu ah sungguh kacau fikiran melihatnya. Ia seperti memaksa-maksa diri kembali ke zaman itu.

Satu demi satu lagu ke udara sehinggalah kemunculan kumpulan BDB yang didatangkan khas dari Singapura mengambilalih pentas. Dengan itu berkumandanglah lagu-lagu popular kumpulan itu dan sebelum itu khalayak sempat menyaksikan Jay Jay berduet dengan Jatt dari BDB dengan lagu Untukmu Ibu nyanyian asal kumpulan Exsits. Intro lagu itu dimulai dengan tiupan flute dari Rahim Othman yang sangat menyentuh hati kerana ketika satu Malaya diingatkan dengan sambutan Hari Ibu pada hujung minggu itu.

Persembahan hari khamis itu sebenarnya khas untuk para media dan aku menjadi antara yang bernasib baik kerana ditakdirkan berada di situ. Terima kasih Bud kerana undangan itu. Sebuah pantun untuk Bud.



Persembahan teater Mahsuri

Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh dihujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra ingatan sepanjang zaman.

Kalau ada kayu dan papan,
Jangan dilarik di tepi perigi;
Kalau ada di masa hadapan,
Jangan serik menjemput lagi.