21 May, 2009

Sekitar Pelancaran Buku Siri Sastera Malaysia di Putrajaya Shangrila


Sebahagian dari buku-buku yang dilancarkan


Sebanyak 28 judul Sastera telah dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada 19 Mei 2009. Di antaranya 23 dalam bahasa Inggeris, 4 dalam bahasa Perancis dan satu dalam bahasa Sepanyol.

Pengarah Urusan ITNM En. Mohd Khair Ngadiron dalam ucapannya berkata berdasarkan perkembangan bahasa yang penuh kemurnian, Majlis Pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Sasterawan Malaysia sangat signifikan dalam pembinaan negara bangsa selain merungkaikan segala spekulasi yang menyatakan bahawa golongan pejuang bahasa dan sastera dipinggirkan dan disisihkan daripada arus perdana pembangunan negara.

Selaras dengan aspirasi kerajaan “Satu Malaysia”, majlis ini bertujuan untuk memartabatkan golongan sasterawan di kedudukan istimewa dalam merealisasikan wawasan kerajaan melalui penulisan yang mampu membangunkan intelektual dan kecendekiaan masyarakat.

Beliau menambah ITNM mempunyai perancangan yang sangat banyak tetapi memerlukan sokongan dari banyak pihak.

Pada tahun 2008 ITNM telah bekerjasama dengan Matrade ke Frankfurt Book Fair mempromosikan buku-buku karya tempatan dan usaha itu sangat berjaya membuka mata pihak di sana terhadap karya-karya tempatan. Kampung Boy karya Dato’ Lat berjaya menarik minat Australia, New Zealand dan Arab Saudi untuk diterjemahkan ke bahasa mereka.

Sememangnya majlis berlangsung dengan jayanya dan apa yang membanggakan majlis ini berjaya diadakan dalam tempoh kurang dari 6 hari setelah mendapat persetujuan TPM.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya pula memulakan ucapannya dengan mengucapkan terima kasih kepada ITNM kerana mengaturkan pertemuan dengan sasterawan dan beliau dengan besar hati menyokong usaha itu untuk hasil yang positif. Katanya lagi penggiat sastera memainkan peranan yang sangat besar untuk membangunkan minda masyarakat bagi menghasilkan masyarakat yang bermaruah.

Ini dapat kita lihat bagaimana peranan mereka meniupkan semangat perjuangan dalam tulisan mereka sehingga negara mencapai kemerdekaan. Besarnya peranan dunia kesusasteraan Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah Rancangan Malaysia ke-9 telah memperuntukkan RM18 juta untuk projek terjemahan sastera ke pelbagai bahasa. Walaupun projek ini akan berakhir pada tahun hadapan (2010) kerajaan berhasrat menyambung projek penterjemahan karya sastera kerana menyedari ia merupakan saluran terbaik mempromosi Malaysia.

TPM yakin hasil sastera Malaysia akan menjadi besar memandangkan sebelum ini hasil karya tempatan seperti Shahnon Ahmad, Usman Awang dan A. Samad Said sudah lama diterjemahkan ke bahasa dunia yang lain dan hasil karya nama-nama besar yang lain juga dapat disiarkan di peringkat antarabangsa.

Dalam majlis itu juga Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan khabar gembira kepada penggiat sastera iaitu usaha kerajaan mewujudkan pusat berkelompok bagi menguruskan kegiatan berkaitan buku yang dinamakan ‘Kota Buku’. Kewujudannya bertujuan supaya kegiatan berkaitan buku dapat beroperasi di bawah satu bumbung. Tempat yang dicadangkan menjadi "Kota Buku" ini ialah di Kuala Lumpur dan kewujudannya diharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat. "Kota Buku" akan menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Lumpur.

Semoga 'Kota Buku' yang dicadangkan itu akan memberi nafas baru kepada industri perbukuan negara dan membuka minat masyarakat mendekati buku. Saya melihat masa hadapan industri buku semakin cerah di samping ia membuka ruang yang lebih luas kepada penulis dan penggiat sastera jika 'Kota Buku' bakal menjadi kenyataan.



Aku cuba untuk menjadi model hari itu kerana tiada siapa yang sudi dengan suara hatiku. Boleh apa!

Anda juga boleh membaca mengenai berita pelancaran ini di blog teman seperjuangan saya- AnuarManshor.