Entah kenapa sejak dari kecil saya sangat suka kepada ikan dan akuarium. Kerana minat saya pernah membeli dan membela ikan. Tapi cuma ikan hiasan air tawar. Minat bukan setakat membela tetapi menghias akuarium dengan pelbagai hiasan yang tak masuk dek akal. Bukan setakat hiasan yang dijual di pasaran tetapi menciptanya sendiri seperti pokok-pokok hiasan dan sculpture yang aneh-aneh. Saya pernah meletakkan jam kalis air di dalam akuarium untuk mengelakkan saya terlalu lama dan leka melihat ikan-ikan itu berenang. Tetapi ia bukanlah penghalang untuk saya terus leka melihat ikan-ikan itu menari-nari.
Memelihara ikan sebenarnya memerlukan kesabaran yanga amat tinggi kerana ikan sejenis hidupan yang kita perlu tahu. Kehidupannya tidak sama seperti manusia. Namun jika sudah biasa dengannya ia akan menjadi mudah. Anda boleh bermula membela ikan hanya dengan bertukar-tukar pendapat dengan mereka yang telah biasa membela ikan. Semakin ramai anda dapat berjumpa dengan peminat akuarium semakin banyak ilmu yang akan anda perolehi.
Gambar di atas bukanlah gambar di dasar laut tetapi ia merupakan pemandangan di dalam akuarium ikan air masin yang terdapat di sebuah kedai peliharaan binatang Lower ground Great Eastern Mall. Memandangnya sahaja dapat menenangkan jiwa anda yang sedang kusut. Ia suatu terapi minda yang baik. Saya sempat merakamkannya ketika bersiar-siar hujung minggu di situ tak lama dahulu.
Malang sekali sekarang ini kerana ruang rumah tidak mencukupi untuk menempatkan sebuah akuarium comel. Tetapi hasrat untuk menghidupkan kembali akuarium yang telah lama sepi itu tidak pernah padam dalam jiwa ini. Semoga ia terkabul suatu hari nanti.