14 October, 2012

Hari yang mencemaskan anak mak - Bahagian 2

Beberapa minit kemudian aku dan ibu tiba di perkarangan hospital yang mempunyai perkhidmatan pakar - terletak di Taman Melawati. Perutku sudah berkeroncong kelaparan tak sangka ingatkan sekejap sahaja ibu menerima rawatan tak sangka pula aku terpaksa teruskan rawatan kedua pula kepada ibu pagi itu.

Aku memimpin ibu masuk dalam hospital. Ibu sempat mentertawakan aku kerana tak jumpa pintu masuk hospital swasta itu tanpa mengetahui debaran yang maha kuat dalam dadaku. Aku harap Doktor Rose silap. Itu doaku.

Seorang petugas (aku agak jururawat berdasarkan pakaiannya) yang mukanya mencuka cuma mengangkat matanya dengan wajahnya yang tunduk sedang bekerja di meja kaunter. Aku cuak melihat sambutan begitu. reaksi itu seperti tidak suka aku datang seawal pagi begitu kerana waktu rawatan ialah bermula jam 9.00 pagi tetapi waktu itu baru pukul 8.45 pagi.

Apa tak kena kalau aku datang awalpun. Kalau doktor masih tak ada aku boleh bersarapan pagi dahulu. Atau aku boleh tunggu kalau aku mahu.

"Nak jumpa doktor?" petugas itu bersuara dan 'tak ada gula' di wajahnya kelat saja sama kelat dengan perasaan aku ketika itu.

"Ya" jawab aku kelat.
"Ada bawa surat?" dia membalas.
"Nanti kejap" balasku sambil menghulurkan surat dari doktor.

Dia mengambil surat itu sambil berkata "Doktor sampai pukul 9.00 pagi, semua tempat buka jam 9.00 pagi."

Aku faham maksudnya. Sangat-sangat faham. Tapi aku tak faham dalam keadaan aku yang tidak bercakap lebih-lebih kenapa dia sanggup bereaksi kurang ajar begitu. Macam aku ni pelanggan yang kurang ajar. Rasa mahu jumpa pengurus bertugas waktu itu dan menyuruhnya buang sahaja pekerja biadap itu. Dia tak sepatutnya melanggan pelanggan yang membayar sendiri perkhidmatannya di hospital itu. Tak ubah seperti mendapat rawatan di hospital kerajaan. Malah aku rasa layanan di hospital kerjaanpun tidak begitu sekarang.

Aku rasa macam mahu capai microphone dan buat anouncement " Kawan-kawan jangan datang sini..perasaan kamu akan bertambah tersiksa!"

Aku duduk menunggu jam 9.00 dengan debaran dan bercampur perasaan berbulu dengan gelagat pekerja tadi. Tak beberapa minit kemudian nama ibu disebut dan aku bergegas membawa ibu masuk ke dalam bilik rawatan pakar.

"Dia berapa lama dia sakit?" tanya doktor pakar itu.
"Err..dia tak sakit pada bengkak itu tapi saya bawa atas nasihat doktor tentang bengkak itu." balas aku.

Doktor mengarahkan ibu untuk baring di atas katil lalu ujian ultrasound pun dilakukan. Beberapa minit mereka 'membelek-belek ibu' dengan benda alah mereka lalu berkata kepadaku.

"Tak ada apa-apapun."
Aku seperti gembira dan merapati doktor itu lalu menunjukkan kawasan ketulan yang dikatakan oleh Doktor Rose.
"Oh yang ini tulang emak awak! Bukan apa-apa." kata doktor.
"Oh, tulang ya." kataku lagi. Doktor itu tidak nampak aku tersengih dengan selebar-lebarnya ketika itu.

"Semua RM87.00" Kata petugas yang mencuka beberapa minit selepas aku keluar dan menunggu di luar bilik rawatan.

Nama ibu dipanggil sebentar tadi untuk aku menjelaskan bil rawatan pagi itu.
'Berapa-berapa ajelah' aku bercakap dalam hati.

Sekarang aku dah tak kisah berapa jumlahnya kerana yang jelas sekarang ibu memang bebas dari kanser! Alhamdulillah. (untuk baca Bahagian 1 sila tekan di sini)