05 July, 2009

Kanvas Kehidupan - Ajal Yang Diketahui

Cik Mat dah lama sakit. Yang paling teruk Cik Mat ada sakit jantung. Cik Mah isteri Cik Mud memang sabar melayan sakit suaminya. Dulu Cik Mah cikgu tapi nasib baik dia dah pencen. Cik Mat pun dah pencen. Anak-anak dah besar. Dah kahwinpun dan mereka tinggal di Kuala Lumpur. Ada anak mereka tinggalkan dengan Cik Mah di kampung yang jauh di Pantai Timur.

Kali ini sakit Cik Mat makin serius sehingga Cik Mat di masukkan ke hospital dan akhirnya kerana komplikasi penyakit yang dihadapinya Cik Mat terpaksa bergantung nyawa kepada mesin pernafasan. Untung juga doktor yang merawat di situ adalah saudara Cik Mat. Dialah yang banyak membantu memudahkan urusan di hospital kerajaan itu. Kalau tidak payah juga Cik Mat dan isteri terpaksa melalui berbagai prosedur di situ.

Berbulan Cik Mat di hospital, Cik Mah lah yang paling sibuk berulang alik ke hospital. Sekali sekala anak menantu balik menggantikan tempat Cik Mah dan dapatlah Cik Mah berehat. Tapi hati Cik Mah tetap resah di rumah mengingatkan Cik Mat yang entah apa sudahnya bernyawa pakai mesin.

Kasihan Cik Mat lihat isteri tercinta tidak lekang di sisinya berkorban waktu senang menjaganya. Harapan untuk sembuh jauh sekali. Akhirnya suatu hari Cik Mat memanggil saudaranya yang bekerja doktor itu untuk satu permintaan. Permintaannya yang terakhir dan tidak akan ada permintaan lagi selepas itu.

Doktor itu tergamam selepas Cik Mat membisikkan sesuatu ke telinganya. Dia tidak menyangka Cik Mat akan membuat permintaan seperti itu. Lalu dipanggilnya Cik Mah dan menyatakan permintaan suaminya itu. Cik Mah tunduk dan memegang tangan suaminya sambil berderai air matanya. Itulah tangan insan yang paling disayanginya berpuluh-puluh tahun dia menyerahkan hidupnya dan kini insan itu mohon untuk meninggalkannya. Cik Mat minta untuk berpisah sahaja dengan mesin yang sekian bulan membantu pernafasannya.

Maka doktorpun menurut sahajalah permintaan Cik Mat dan persiapan pun dilakukan untuk membawa Cik Mat pulang ke rumahnya. Cik Mat minta untuk mati di rumah. Khabar Cik Mat akan dibawa pulang ke rumah sudah heboh di kampungnya dan berduyun-duyunlah orang kampung datang untuk berjumpa dan meminta maaf dengan Cik Mat.

Tepat jam 2.00 petang ambulan pun tiba di rumah Cik Mat. Waktu itu orang sudah penuh dalam rumah Cik Mat. Cik Mat di usung masuk dalam rumah dengan mesin pernafasan. Sekejap lagi mesin itu akan ditanggalkan dari mulut dan hidung Cik Mat. Seorang doktor yang memang Cik Mat kenal mengiringinya.

Semua orang bersalaman dengannya dan saudara mara pula mencium tangan dan pipi Cik Mat memohon maaf. Setelah semuanya Cik Mat rasa sudah puas Cik Mat pun memberi isyarat pada doktor itu untuk menamatkan segala-galanya dan dengan berat hati doktor itupun menanggalkan alat pernafasannya dari Cik Mat. Cik Mah menggenggam erat tangan suami tercinta dan perlahan-lahan Cik Mat kelihatan lemah dan akhirnya Cik Mat pergi buat selama-lamanya. Begitulah Cik Mat yang mengetahui ajalnya sendiri. Semoga Allah mengampunkan Cik Mat dan menempatkannya bersama orang-orang yang soleh. Amin.

No comments: