01 July, 2009

Kanvas Kehidupan-Bersabarlah Kerana Air DiCincang Tak Akan Putus

"Sabarlah, budak-budak memang macam tu."kataku kepada Jajal. Jajal mengadu adiknya yang sedang belajar menumpang pula di rumahnya. Jajal yang telah beberapa tahun bekerja kini terpaksa pula memayungi adiknya yang sedang menuntut ilmu di ibu kota.

"Mana saya tak angin Bang ada ke patut sarung bantal pun dia conteng-conteng. Tak boleh tengok benda tu bersih dan cantik ke?" rungut Jajal kepadaku lagi. Aku hanya tersenyum mendengar ceritanya. Dilema orang bujang yang tinggal di Kuala Lumpur bersama adiknya.

"Jajal, kau cuba bayangkan hidup kau di masa hadapan dan kenangkan kembali waktu-waktu yang akan kau tinggalkan ini. Ia tidak akan bererti apa-apa dan kau akan menyesal ketika itu kerana melakukan sesuatu yang sangat kecil dan dikenang sampai bila-bila oleh adik kau."kataku menenangkannya.

"Walau bagaimana buruk sekalipun ia tetap adik kau. Cakaplah baik-baik dengan dia. Dia akan jadi saudara dan sahabat kepada kau di masa hadapan. Jangan dilukai hatinya. Dia masih budak-budak." Jajal hanya diam bila aku mengatakan itu kepadanya. "Percayalah suatu hari kamu akan saling perlu memerlukan."

Selepas itu aku tak jumpa Jajal lagi untuk beberapa tahun. Aku dengar merata dia kerja dan aku juga tahu adiknya sudah tamatkan pengajian dan bekerja di Kuala Lumpur. Macam-macam yang telah berlaku dalam hidup Jajal sepanjang di Kuala Lumpur. Dia balik kampung bekerja di sana dan berhenti dan bekerja semula di sini.

Kini beberapa bulan yang lalu Jajal menghantar SMS kepadaku. Minta tolong buatkan pantun untuk hari lahir adiknya yang sangat berjasa kepadanya. Katanya lagi sewaktu dia kehilangan kerja adiknya itulah yang banyak membantunya dan memberikannya kehidupan. Hendak diharapkan kawan ada yang setia dan ada yang buat tak endah sahaja!

Aku termenung dengan SMS itu dan teringat kembali nasihatku kepadanya suatu waktu dahulu.

No comments: