10 July, 2009

Kanvas Kehidupan - Pelanduk Dua Serupa




Aku mengimbas masa lampau kerana dua sebab. Pertama kerana aku mencari gambar-gambar lama. Kalau dah gambar mestilah lama sebab generasi sekarang kebanyakannya aku lihat apabila mengambil gambar mereka dah tak pandai nak mencetaknya di kedai. Tidak seperti dahulu (tahun 1980an). Habis sahaja satu rol filem 24 atau 36 keping empunya diri akan bergegas ke kedai gambar untuk mencetaknya. Selepas itu terpaksa menunggu 2-3 hari untuk gambar siap diproses. Kalau satu rol salah setting dan under expose maka ala-ala malam yang kelamlah gambar itu.


Segalanya manual dari membuat setting bukaan cahaya (apature) pada lensa mencetak gambarnya juga adalah manual pada awalnya. Sebab kedua yang mendorong kepada pencarian gambar lama kerana aku baru sahaja membeli mesin pengimbas imej. Jadi aku perlu membuat ujian supaya pasti mesin yang baru dibeli itu tidak rosak fungsi pengimbasnya. Alhamdulillah semuanya okey dan teknologi sekarang semakin memudahkan kita dan hasilnya adalah seperti di atas. Menakjubkan kerana gambar imbasan itu kualitinya lebih baik dari gambar asal yang sudah kelihatan pudar! Bukanlah nak memuji empunya diri yang ada dalam gambar itew!


Dahulu sewaktu belajar di ITM atau UiTM sekarang ada kenangan yang aku tak dapat lupakan kerana di situ banyak kenangan pahit manis tentang kehidupan. Di antaranya aku menemui kembar seirasku dan dia pula tinggal satu hostel denganku. Nasib baik tidak sebilik kalau tidak lagi kecoh H0stel Perindu itu.


Aku adalah seniornya satu semester berlainan kursus. Beberapa hari kembar aku masuk, biarlah aku panggil Adik E sahaja satu tingkat di mana aku tinggal telah bising kerana melihat makhluk yang berwajah sama keluar masuk di situ. Aku masih tidak berkesempatan menemui kembar aku setelah beberapa minggu semester baru bermula. Semakin hari semakin teman-teman sebilik yang berkesempatan terserempak bercakap mengenainya dan ia membuatkan aku benar-benar ingin menemui kembar ku itu.

Dan akhirnya saat yang aku tunggu pun tiba apabila suatu petang aku ketika ramai siswa keluar untuk bersenam termasuk aku. Aku bagaikan melihat cermin dan bayangan dalam cerminan itu mampu kepadaku! Sejak dari itu banyak kejadian lucu telah terjadi dan akhirnya menjadikan kami benar-benar akrab.

Di suatu masa aku masih ingat kejadian di asrama biasalah bilik air berkongsi dan kami terpaksa berjalan agak jauh untuk ke bilik air. Suatu hari ada seorang temannya yang melihat aku dua kali ke bilik air untuk mandi lalu menjadi hairan dan menegur aku yang kedua yang hendak mandi sekali lagi tetapi setelah kami dua-dua muncul di hadapannya dia seperti tak keruan dan bingung.
Suatu hari juga pernah Adik E mencari aku kerana di fakultinya telah heboh di kalangan kawan-kawannya mengatakan karakter Adik E di luar selepas kelas berubah menjadi sombong dan tidak mahu menegur kawan walaupun di sapa. Adik E bertanya adakah aku pernah disapa oleh orang-orang yang tidak dikenali sewaktu berjalan di kampus. Oleh kerana tidak kenal maka aku tidaklah membalas sapaan mereka dan itulah yang menjadi punca kepada salah faham itu. Akhirnya aku terpaksa membiasakan diri dengan membalas setiap sapaan walaupun aku tidak kenal.

Satu peristiwa yang tidak boleh dilupakan lagi ialah ketika aku mengunjungi bilik Adik E dan beliau tiada di bilik. Aku berselisih dengan teman yang tidak sebulu dengannya lalu teman itu ingin meludah aku sambil mengutuk-ngutuk pewangi yang aku pakai. Teman itu menyangka aku adalah Adik E. Tetapi setelah beberapa waktu dia terserempak lagi dengan Adik E yang baru balik dari kuliah lalu termangu-mangulah teman itu datang kepadaku meminta maaf.

Suatu petang teman sebilikku pernah menyarankan kepadaku supaya bertanyakan kepada ibuku adakah dia pernah melahirkan anak dan memberikan kepada sesapa untuk dibela. Manalah tahu kemungkinan itu ada dan aku termakan dengan pandangannya itu. Lalu akupun bertanyakan ibu akan perkara itu sambil aku menunjukkan beberapa keping foto yang aku ambil termasuk foto ini. Ibu hanya tersenyum leihat foto itu dan mengeleng-ngeleng. Kata ibu "Orang tua bilang dalam dunia ini ada tujuh orang manusia yang wajahnya sama!". Benarkah itu?






Bersama Adik E atau Mohd Nadzri Mahadzir yang kini sudah entah di mana! Persamaannya ketika itu ialah kami sama-sama sudah tiada ayah!

3 comments:

Lady Aznie said...

fuh, ciklah di masa remaja... wow!!

Anonymous said...

stail rambut je lain..!

MARSLI N.O said...

Salam Sdr Che: Saya juga tiada. Tetapi kan kita terus berjuang untuk menjadi seseorang. Betulkan?

Marsli N.O