30 May, 2010

Kanvas kehidupan - Sudah Seminggu Bajunya Yang Sama (Bahagian II)

http://wwwenche.blogspot.com/2010/04/kanvas-kehidupan-sudah-seminggu-bajunya.html

Setelah pulang ke kampung pemuda itu berhadapan dengan nasibnya yang malang. Bapanya yang sangat tegas dan garang telah menghalaunya dari rumah kerana tidak dapat menerima perbuatan pemuda itu yang lari dari rumah sebelum ini tanpa memberitahunya. Hasratnya untuk memohon kemaafan dan restu hancur berkubur begitu sahaja.

Memandangkan hari menjelang malam pemuda itu harus mencari tempat perlindungan untuk bermalam. Dia teringatkan rakan-rakan karibnya dan di rumah merekalah pemuda itu bermalam sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur.

Kembali di Kuala Lumpur hanya berbaki wang yang diberikan oleh temanku pemuda itu menelefon temanku menyatakan dia telah berada di Kuala Lumpur dan ingin menemuinya. Ketika itu masih dalam waktu bekerja. Habis waktu bekerja temanku bergegas dari tempat kerja dan menuju ke Stesen Hentian Putra untuk menemui pemuda malang itu.

Episod malang diceritakan kepada temanku dan perkara pertama yang dinasihati oleh temanku ialah agar memotong pendek rambutnya agar kelihatan kemas dan menarik. Dengan rupa diri kemas sudah tentu akan mendatangakn kepercayaan majikan untuk mengambilnya bekerja.

Ketika rambutnya sedang dipotong pendek itulah temanku itu menelefonku dan menceritakan apa yang sedang dialaminya. Aku begitu insaf mendengar nasib yang dilalui oleh pemuda malang itu. Betapa bersyukurnya aku diberi nikmat kerja oleh Allah. Betapa baiknya nasib diriku yang mempunyai segala-galanya dengan kerja yang aku ada.

Aku terkial-kial mencari sesuatu yang dapat aku berikan kepada pemuda itu untuk dia memulakan hidupnya yang baru. Akhirnya aku dapat membekalkannya sehelai kain pelikat, dua helai baju T, sebatang berus gigi, penyangkut baju, sebuah dompet dan sehelai tuala mandi dan sebuah beg pakaian.

Kami berjumpa di sebuah gerai makan selepas itu menuju ke Up Town Danau Kota untuk mencari lagi beberapa helai seluar buatnya. Setelah dapat apa yang dihajati kami menghantarkannya ke Stesen Bas atas permintaannya kerana di situ ada sebuah surau yang dapat dia menumpang buat beberapa ketika.

Tergambar riak wajahnya yang terharu dengan apa yang diberikan kepadanya. Bergenang air matanya ketika kami bersalaman kali terakhir. Jelasnya dia perlukan abang-abang seperti kami untuk membimbingnya dan bukan membiarkannya. Dia berjanji akan menghubungi temanku jika mendapat kerja. Sebelum dia beredar kami sempat menghulurkannya wang buatnya bekalannya untuk beberapa hari.

Hari berganti hari dan minggu berganti minggu panggilan yang kami harapkan tiada kunjung tiba. Sehingga dua minggu yang lepas aku mempunyai urusan kerana menghantar anak saudaraku di situ. Kesempatan yang ada aku gunakan untuk meninjau sekitar tempat itu. Manalah tahu kalau-kalau dapat berjumpa denganya. Sayang sekali aku tidak nampak kelibat pemuda itu lagi.

Aku berdoa agar Allah memudahkan jalan kepada pemuda itu agar menemukannya dengan kerja yang sesuai dengannya dan memberikan sinar hidup kepadanya.

20 May, 2010

Puisi- Sehingga Saat Ini (Buat Arwah Jefbuj)



Gelisah dan murung itu
sudah beberapa hari hadir
bermain dalam ruang yang sangat hampir kepadaku
membingungkan aku dengan rasa yang terlalu aneh ini
sehingga aku tersendu dalam tawa
ketika emosi rundung hitam
melebarkan sayap kelamnya
di dada kehidupan senjaku

Sesekali aku berpaut pada rendang kasih teman
berbicara pada rasa yang tidak ketentuan
yang condongnya berduka-duka

Sesekali terasa dosa membebankan mereka
pada rasa yang melanda
akulah mangsanya
mereka tempias nestapa

ketika hening petang kian berlabuh
aku disambar khabar duka
dari sebuah panggilan telefon
teman setia yang peka membaca
dan tahu mentafsirkan erti kekariban
aku dan dia dalam lembaran kehidupan
memahatkan kata berlagu melankolik
memanaskan benak fikiranku
lalu memuntahkan rasa sesal kerana
begitu leka dengan kehidupan dan duniawi
sehingga alpa menghubunginya
di saat dia akan pergi
sehingga dia tiada lagi
hari ini

namun kita manusia
yang dirahsiakan perjalanannya
dilangit itu olehNya
akan kehidupan mahupun kematian
pada seluruh kejadian naunganNya
Dialah Pencipta Agung

teman
kita berpisah jua akhirnya
di dunia ini meninggalkan
ingatan kasih sayang yang telah kita sulam
pada setiap cerita yang berlalu

teman
dalam waktu yang masih berbaki
aku kumpulkan segala kekuatan
untuk menerima pemergianmu
mengadap Arrahman
aku dan mereka bakal menyusul

teman
aku memohon kekuatan
supaya sentiasa cekal dan tabah
dengan dugaan yang mendatang
dan pada setiap nafasku
masih ada kau
ada aku
untuk diabdikan untuk Dia

enchelah
20 Mei 2010

Kanvas kehidupan - Hati Yang Terluka

Tengah hari itu yang tidak mahu aku ingat lagi bila tarikhnya, aku bersama empat orang teman yang baru sahaja pulang dari menjamu mata di sebuah 'shopping mall' yang baru sahaja di buka di Wangsa Maju. Sayang sekali sebuah shopping mall yang gah seperti itu tidak menyediakan tempat makan yang menyajikan masakan tempatan seperti nasi campur. Padahal 'shopping mall' itu betul-betul tumbuh segar di celahan kediaman anak tempatan yang memang cita rasa lidahnya adalah masakan tempatan juga.

Dek kerana itu kami berempat merasa tidak berselera dengan sajian yang ada di situ. Lalu mengambil keputusan untuk singgah sahaja di Setiawangsa dalam perjalanan pulang untuk makan. Rindu aku untuk menjengah tempat lama aku menyewa sebelum aku mengambil keputusan membeli rumah di Ukay Perdana akhirnya tercapai.

Setiawangsa memang tempat kediaman yang sangat aku suka. Namun sekarang kedamaian yang ada kian dinodai oleh pembangunan yang pesat membangun di situ. Untungnya Setiawangsa sebuah kawasan yang agak kecil. Jadi tidak banyak tanah lagi yang berbaki untuk dibangunkan.

Aku bukan ingin bercerita mengenai Setiawangsa tetapi kejadian di medan selera di Setiawangsa. Setelah memakir kereta di pinggir medan selera berhadapan sekolah di situ kami berjalan masuk dan memilih sebuah gerai yang masakannya memang sut dengan lidah kami orang Melayu.

Beberapa ketika di situ ketika sedang menjamah makanan aku terpandang kelibat teman lama di sebuah gerai yang agak jauh dari gerai yang aku sedang menikmati makanan. Aku melihat dia sedang berdiri barangkali sedang menunggu pesanan makanannya. Hendak aku jerit mustahil dia akan mendengar jeritanku. Lagipun jeritan itu pasti mengganggu mereka yang sedang makan di situ. Hendak aku bangun mendapatkannya aku masih menikmati makanan itu. Serba salah aku dibuatnya.

Keghairahan untuk menegur rakan lama itu tidak terhenti di situ sahaja. Aku tidak mati akal. Telefon bimbit yang ada di depan mata aku gunakan. Nama dan nombornya memang ada dalam telefon bimbitku. Aku mendail nombornya ketika rakan-rakan semeja tidak mempedulikan apapun yang aku lakukan kerana mereka sememangnya sedang kelaparan!

Sejenak keghairahan aku menjadi tumpul. Aku tiba-tiba merasa begitu bodoh kerana sangat teruja untuk menyapa teman lama yang tidak sedikitpun ghairah apabila aku melihat dia mengambil telefon bimbit di dalam seluarnya kemudian dia melihat pada skrin telefon itu lalu telefon itu diletakkan kembali di dalam poket seluarnya. Dia masih terus berdiri menunggu dengan sabar makanan yang di pesan.

Seribu satu persoalan timbul di dalam kepalaku mengapa hal itu terjadi? Adakah aku salah masa untuk membuat panggilan telefon! Adakah aku salah tempat untuk menelefon atau aku tersalah kata sebelum ini yang menyebab dia tidak sudi menerima panggilan ketika itu. Tiba-tiba sahaja aku merasakan kerongkongku sudah tersekat dan seakan-akan tidak mahu lagi menerima makanan yang ada.

Begitu selama ini aku menganggapnya sangat berbudi pekerti, berhati mulia baik dan peramah. Rupa-rupanya bukanlah begitu sebenarnya. Dia rupanya hanya memilih waktu atau mungkin juga memilih teman dan keselesaannya atau juga mencari aku ketika dia memerlukan aku! Peduli apa dia dengan keperluan orang lain!

Sehingga teman itu berlalu dengan makanan yang baru diperolehinya lalu aku mengirimkan sebuah SMS kepadanya yang berbunyi. "Amboi..sampai hati tak angkat telefon. Aku nampak kau tadi!" Beberapa minit kemudian SMS itu berbalas "Sorry tangan aku penuh makanan tadi..kau kat mana?" ketika itu aku merasakan aku sudah tidak perlu untuk membalas SMS itu lagi...

10 May, 2010

Seronoknya Pertemuan Itu AD84-88






Kehadiran Prof Mohainie amat bermakna pada hari itu.
(Tengah berbaju serba putih)


Setelah terpisah selama 22 tahun buat kali pertamanya aku dan rakan-rakan bertemu semula dalam pertemuan reunion AD84-88 di Kafeteria Istana Budaya pada 8 Mei 2010 tepat jam 3 petang. Memang teruja sangat dengan hari-hari menjelang pertemuan itu yang menyaksikan kawan-kawan lama yang muda remaja satu waktu dahulu kini berubah wajah menjadi orang-orang veteren.

Amat seronok bagiku yang tiba awal menyaksikan seorang demi seorang kawan-kawan datang dan masuk menjejakkan kaki ke dalam kafeteria. Sesetengahnya amat jauh bezanya penampilan mereka sehingga sakit kepala otak kami memikirkan mereka itu sebenarnya siapa.


Setelah mangsa dapat dikenalpasti maka berderailah gelak tawa kami di dalam Kafetria itu tanpa menghiraukan minoriti pengunjung kafeteria yang kami anggap sesat di waktu itu. Dan entah apalah pula yang difikirkan oleh adik-adik yang bekerja di kafeteria itu pada hari itu kerana kami seolah-olah tidak merasakan wujudnya orang lain ketika itu kerana seronok.

Mengimbau cerita masa lalu yang telah pergi, bercerita pula apa yang telah terjadi selepas berpisah dan mengimbau rakan-rakan yang telah pergi adalah satu saat yang menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan oleh semua yang hadir pada hari itu. Terima kasih Bad dan Lin serta yang lain-lain yang telah menjadikan pertemuan itu suatu realiti.

Kami menantikan Disember 2010 yang akan datang untuk pertemuan yang lebih besar kerana pertemuan pada hari sabtu lepas merupakan pertemuan bagi mereka yang kebanyakaannya tinggal di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan kawasan yang berhampiran sahaja. Semoga Allah memanjangkan usia kita untuk berjumpa dengan pertemuan yang aka datang. Amin

Hari Terakhir Pelajar Amali USIM di ITNM

Pelajar bergambar bersama penyelia Ustaz Syed Ali dan Ustaz Razali

Setelah enam bulan menjalani latihan praktikal di ITNM pada 7 Mei 2010 lalu merupakan hari terakhir bagi lima orang pelajar iaitu Mohd Nor Ikbal Anuar, Khadijah Sjahrony, Nasyita Ahmad Nawawi, Siti Zubaidah Othman dan C W Aima Ismail. Mereka adalah pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang belajar dalam bidang Bahasa Arab dan Komunikasi.


Mereka diraikan dalam majlis ringkas tamat latihan amali di tingkat 4 oleh kakitangan ITNM dari Jabatan Terjemahan dan Penerbitan dengan penyampaian cenderahati oleh Ketua Jabatan Puan Siti Rafiah