Ya Allah, ampunilah daku (rabbighfirlii).
Rahmatilah daku (warhamnii),
kayakan daku (wajburnii),
angkatlah darjatku (warfa'nii),
rezekikan daku (warzuqni),
berilah aku hidayah (wahdini),
sihatkanlah daku dan (wa'aafinii)
maafkanlah akan daku (wa'fu 'annii).
Setiap hari kita berdoa namun sering kali kita tidak menyedari(memahami) kerana sekadar melafazkan. Teringat sewaktu dibangku sekolah Cikgu Aishah guru kimia berpesan kepada murid-muridnya bahawa jika kita berdoa sesungguh hati Allah pasti akan memakbulkan doa kita.
Di waktu kecil juga kejadian aneh ini berlaku. Aku bukanlah dari keluarga yang mewah, malah sederhana yang sekadar mampu hidup dan tidak terlalu miskin sehingga terpaksa mengemis. Untuk bermewah-mewah membeli itu ini jauh sekali kerana arwah ayah berpendapatan kecil sahaja dan adik beradikku sebelas orang. Ibu pula tidak bekerja.
Wang yang diberikan oleh arwah ayah tidak banyak boleh dibelanjakan untuk membeli sepotong kuih sahaja tanpa minuman. Aku kira umurku ketika itu barangkali 7-8 tahun. Di tepi sebuah longkang besar ada tumbuhan renek. Suatu petang aku dalam keadaan malas dan entah kenapa boleh berada di situ berasa lapar dan sangat memerlukan wang. Tapi menyedari ayah tak mungkin akan berikan aku wang untuk berbelanja membeli makanan ringan di waktu petang, kerana ketika itu rakan-rakan sebaya akan keluar untuk membeli aiskerim atau apa-apa sahaja makanan ringan.
Sambil mencabut rumput dan tumbuhan renek ketika duduk di situ dan berkata di dalam hati. "Ya Allah aku perlukan duit tapi aku tak mahu menyusahkan abah..." kata-kata hatiku ketika itu di dengari Allah. Maka ketika aku sedang mencabut rerumput dan pohon renek di tepi longkang itu aku melihat ada duit 10 sen kemudian ku jumpa lagi 10 sen dan lagi 10 sen menjadikan semuanya 30 sen di dalam pohon renek itu. Duit itu sangat baru. Berkilat-kilat. Dan tidak mungkin ada orang tercicir duitnya di situ. Aku jadi bingung tetapi sangat gembira! Terima kasih Allah.
No comments:
Post a Comment