Hari itu tersangat panjang. Sehari terasa seperti setahun. Matahari keluar seperti tidak mahu tenggelam-tenggelam lagi. Perjalanan ke sekolahku di waktu pagi sangat mendamaikan tetapi terasa begitu azab apabila waktu pulang. Tekakku terasa kering seperti hendak pecah. Tiada kata yang boleh digambarkan apabila aku kehausan ketika umurku baru menjangkau 6 tahun. Itulah tahun pertama aku menjejakkan kaki ke sekolah dan kali pertama disuruh berpuasa. Umi dan abah bilang aku sudah bersekolah dan wajib berpuasa. Kini abah tiada lagi.
Apabila sampai ke rumah aku meletakkan beg yang kugalas seolah-olah menggalas tunggul kayu jati. Bahuku terasa sakit dan seolah-olah tulang bahuku bengkok tidak boleh dibetulkan semula. Aku termenung di pintu rumah yang menghadap kawasan sekolah. Kelihatan rakan-rakan sebaya girang berlari di padang. Aku bingung memikirkan dari mana mereka memperolehi tenaga itu sedang aku seperti sudah hendak mati cuma malaikat maut sahaja yang belum tiba.
Lantai lepa simen di rumahku sangat dingin sekali aku yang sudah tidak bertenaga boleh mendengar degup jantung sendiri. Aku sudah tidak larat untuk bersuara lagi. Kerana itu aku diam sahaja dan meniarap di lantai yang dingin itu. Sungguh nyaman di tambah pula angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa ke wajahku. Perutku yang panas didinginkan dengan kedinginan lantai rumahku. Aku sekejap lena, sekejap jaga saling tak tumpah seperti seekor anak kucing yang sedang nazak akan kehilangan nyawa.
Terdengar suara jiran tetangga seperti berbisik perlahan supaya aku berbuka puasa. Namun aku mengumpulkan sekuat tenaga untuk tersenyum. Aku tabahkan hati juga untuk terus berpuasa. Itulah perjuangan aku yang aku rasakan bertarung dengan rasa letih, lemah, lapar dan dahaga untuk mengerjakan rukun Islam yang wajib ke atas diriku. Dan menjelang petang akhirnya aku berjaya melunaskan puasa yang aku pertahankan pada hari itu. Syabas untuk aku! Syabas untuk anak-anak yang belajar berpuasa dan mula merasakan ini satu tanggung jawabmu yang bergelar muslim.
No comments:
Post a Comment