Sudah tiga tahun usia bonsai ini di rumahku. Santalia namanya kata kawanku. Apabila berbunga wangi sekali. Bunganya kecil sahaja berwarna putih. Banyak ditanam di kampung-kampung Melayu. Tapi aku dapat bonsai ini dari seorang Taukeh Kasut di Jalan Tunku Abdul Rahman.
Selalu aku ke sana saban tahun menemani bonda membeli kasut di situ kalau dia ke mari. Memang bonda tak pernah lupa mengajak aku ke sana kalau hendak membeli kasut dan setiap kali itulah aku melihat bonsai ini menghiasi sudut dan ruang kedainya. Dan ketika itu meleleh-lelehlah air liurku merenung bonsai ajaib itu. Memang aku suka pokok dan menanam pokok. Namun bonsai ini tidak begitu menjadi bila aku menanamnya.
Pernah selepas keluar dari kedai itu aku singgah di kedai menjual pokok bunga dan mencari pokok seperti itu tapi ia tiada di mana-mana. Sehinggalah tiga tahun lalu apabila bonda ke kedai itu aku tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan pembantu kedai itu apa nama pokok itu kerana aku ingin menempahnya di kedai menjual pokok bunga.
Pembantu kedai yang sudah biasa melihat aku membawa bonda ke situ tanpa segan lagi menyuruh aku menunggu kerana dia ingin memanggil bosnya kerana katanya mungkin bos itu akan menghadiahkannya kepadaku jika aku berminat. Alangkah seronoknya hatiku. Tapi segan pun ada, seperti meminta-minta pula. Itulah rezeki namanya. Ia datang dengan cara aku bertanya.
Seorang apek keluar dari pejabatnya dan terus berjanji akan memberikan aku pokok itu yang diambil dari rumahnya esok. Bererti aku akan datang lagi ke kedainya esok untuk mengambil pokok bonsai yang bernama Santalia itu.
Hari demi hari Santalia menyerikan balkoniku di atas meja taman yang memuatkan dua kerusi besi tempat aku bersantai setiap masa ketika bosan berada di dalam rumah. Di ruang itu kalau awal pagi tempat aku menyedut udara pagi yang segar dan jika petang tempat aku melepaskan pandangan melihat kanak-kanak bermain di padang permainan.
Santalia semakin lama seperti sudah tidak terasa kehadiran dan keberadaannya di ruang itu. Namun aku tidak pernah lupa untuk menyiramnya. Kini cuaca panas yang agak keterlaluan telah menyebabkan Santalia menangis setiap hari tetapi tidakku dengari. Begitulah Santalia menderita sehingga kebelakangan ini aku pula dibelenggu kerisauan apabila melihat Santalia daunnya semakin menguning dan aku tahu mungkin dia akan pergi seperti bonsaiku yang lain sebelum ini...
Santalia jangan pergi dahulu sekarang aku sedang memberikanmu pernafasan CPR. Dalam fikiranku dalam hatiku setiap saat kau selalu hadir-apatah lagi ketika ini aku melihat daunmu banyak yang berguguran di lantai apartmentku.
Suatu petang Santalia ku usungnya seperti mendukung bayi dan kubawa ke ruang yang lebih redup agar dia bisa tenang di situ. Santalia maafkanlah aku. Ambillah waktumu agar kau dapat mengembalikan kekuatan pada dirimu untuk terus hidup di dunia yang penuh pancaroba ini. Huhuhuhu...
No comments:
Post a Comment