Suatu malam ketika siaran berita perdana bonda mengajukan soalan kepadaku "A-wan n-wan itu apa?" Aku mengerut-ngerut dahi berfikir apa sebenarnya yang bonda maksudkan. Dan ketika itu berita mengenai selsema babi sedang diudara dan fahamlah aku bahawa a-wan n-wan itu sebenarnya H1N1.
Lalu aku teringat kepada orang besar-besar 'berbalah' tentang penggunaan istilah itu katanya kita sepatutnya menggunakan istilah yang telah diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Penggunaan itu wajar bagi mengelakkan kekeliruan. Maka bermula dari hari itu istilah H1N1 terus digunakan dan mereka tidak menoleh ke belakang lagi.
Apa yang nak dikelirukan itu adalah bahasa saintifik. Seperti nama penyakit-penyakit lain yang ada. Yang nyata orang-orang tua seperti bonda saya yang datang dari kampung tidak memahami setelah berbulan-bulan menonton TV apa itu H1N2! Bayangkan berapa ramai penduduk Malaysia yang berada di luar bandar dan pengetahuan mereka tentang a-wan n-wan itu?
Tidak ada guna anjing menyalak bukit. Bukit tak runtuh tekak pula yang sakit. Realitinya penyakit selsema babi semakin berleluasa sekarang. Kebimbangan wabak ini menjadi pendamik mula dirasakan dan saya pernah membayangkan keadaan ini akan terjadi. Malah...tak usahlah dinyatakan di sini nanti merisaukan banyak pihak pula.
Hari ini dilaporkan banyak institusi pengajian tinggi dan sekolah mulai ditutup dengan jangkamasa seminggu dan nampaknya ia seperti acara larian berganti-ganti pula. Hairannya apabila ditutup pelajar-pelajar ini akan balik ke kampung halaman masing-masing. Bukankah ini boleh mendatangkan risiko jangkitan di kampung mereka pula? Kenapa tidak di kuarantin dan tinggal di tempat mereka dijangkiti sahaja?
Setakat ini belum ada jabatan kerajaan atau swasta yang ditutup tetapi semuanya berkemungkinan jika masyarakat tidak mengamalkan langkah-langkah yang dicadangkan untuk membendungnya. Ingat sebelum kena Jimat sebelum habis!
Aku sekali lagi tersenyum apabila bonda kata "Kenapa tak cakap selsema babi barulah faham!". Kawan yang baru pulang dari Bandung pula bilang di sana orang panggil Flu babi.
No comments:
Post a Comment