WABAK: HIKMAH DAN BAGAIMANA MENGHADAPINYA ?
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Pernah pada beberapa ketika dunia digemparkan dengan beberapa jenis WABAK penyakit yang sangat merbahaya dan menular sehingga membawa maut yang mana WABAK ini telah melanda kawasan di beberapa buah negara. Di antaranya WABAK SARS atau dikenali sebagai Sindrom Pernafasan Akut Teruk. Ia merupakan penyakit pernafasan berjangkit (atypical pneumonia) yang tidak diketahui sebabnya.
Demikian juga, WABAK selesema burung (Avian Influenza). Ia juga merupakan sejenis penyakit berjangkit di kalangan spesis burung-burung seperti ayam, itik dan burung liar, yang disebabkan oleh virus (Influenza type A). Penyakit ini pertama kali dilaporkan menjangkiti manusia pada tahun 1997 di Hongkong, kemudian pada tahun 2003 berlaku di negara-negara seperti Vietnam, Thailand, Kemboja dan Indonesia.
Kini dunia dikejutkan pula oleh satu lagi WABAK penyakit yang sangat dikhuatiri iaitu WABAK selesema babi atau WABAK influenza A (H1N1). Penyakit selesema babi adalah sejenis penyakit yang menjejaskan sistem pernafasan yang lazimnya menjangkiti haiwan khususnya babi disebabkan oleh virus Influenza jenis A. Pada kebiasaannya WABAK haiwan ini tidak menjangkiti manusia, tetapi satu jangkitan luar biasa melibatkan penyebaran penyakit ini daripada manusia kepada manusia telah disahkan oleh Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Selesema babi pada manusia boleh menjejaskan semua peringkat umur, mengenai tanda-tanda penyakit ini adalah serupa dengan demam selesema biasa seperti demam panas, sakit tekak, batuk selesema dan sakit pernafasan. Penyakit selesema terbaru ini dikatakan lebih mudarat berbanding selesema sebelumnya kerana ia menggabungkan virus burung, manusia dan babi dan setakat ini tidak terdapat vaksin bagi selesema ini.
Menurut laporan, setakat ini berpuluh buah negara yang terjejas dilanda WABAK selesema babi ini antaranya ialah Mexico, California, Texas, Ohio, Kansas, New York (Amerika Syarikat), Sepanyol, Kanada, New Zealand, United Kingdom dan Israel. Negara kita Malaysia sehingga kini telah ada beberapa kes dijangkiti oleh WABAK-WABAK tersebut, namun kerajaan kita sentiasa berusaha menangani WABAK ini daripada merebak. Langkah-langkah pencegahan dan menghindarinya giat dijalankan oleh pihak-pihak berkenaan. Bukan sahaja dari sudut penjagaan kesihatan dan alam sekitar, bahkan juga dengan mengadakan sembahyang hajat di masjid-masjid dan membaca doa khusus bagi memohon perlindungan Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya terhindar daripada dilanda WABAK-WABAK tersebut.
Persoalan yang ingin ditimbulkan dalam memperkatakan WABAK yang melanda dunia kini ialah apakah pandangan Islam mengenai WABAK? Dan bagaimanakah Islam mengajar umatnya cara menghadapi sesuatu WABAK?
Pengertian WABAK
WABAK berasal daripada perkataan Arab iaitu WABA’, yang bermaksud penyakit yang merebak (berjangkit).
Sebahagian ulamak mengatakan bahawa WABAK itu adalah penyakit taun. Penyakit taun menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah ialah kudis yang keluar daripada jasad sama ada di siku, ketiak, tangan, jari atau seluruh badan. Ia disertai dengan bengkak-bengkak dan kesakitan yang amat sangat. Ia keluar disertai dengan radang dan sekelilingnya menghitam atau menghijau atau memerah keungu-unguan dan menyebabkan jantung berdebar-debar dan muntah-muntah.
Menurut sebahagian ulamak lagi bahawa setiap penyakit taun itu adalah WABAK dan bukan setiap WABAK itu penyakit taun.
Maka berdasarkan pendapat-pendapat ini, dapatlah diambil pengertian bahawa WABAK itu ada bermacam-macam jenis penyakit yang merebak mengikut peredaran waktu dan zaman. Apa jua jenis penyakit merbahaya dan menular ia diikategorikan sebagai WABAK. Pendapat yang mengatakan bahawa WABAK itu adalah penyakit taun, berkemungkinan WABAK yang melanda mereka pada zaman atau ketika itu adalah penyakit taun.
HIKMAH Ditimpakan WABAK
WABAK yang ditimpakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya di muka bumi ini mempunyai HIKMAH dan tujuan di sebaliknya. HIKMAH WABAK taun yang melanda manusia adalah berupa azab dan hukuman dan pada saat yang sama ia juga merupakan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas mereka, tergantung ke atas siapa WABAK itu diturunkan.
1. WABAK Sebagai Azab Dan Hukuman Disebutkan di dalam beberapa hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bahawa WABAK taun yang telah diturunkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala adalah merupakan azab atau hukuman ke atas orang-orang kafir dan orang-orang Islam yang melakukan maksiat sebagaimana yang berlaku kepada umat-umat terdahulu.
2. WABAK Sebagai Rahmat Dan Shahadah Manakala bagi orang-orang yang beriman, WABAK adalah merupakan rahmat dan Shahadah (ganjaran mati syahid) daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada mereka.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam ketika Baginda ditanya oleh Sayyidatuna ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha mengenai penyakit taun:
Maksudnya: "Ia (penyakit taun) adalah azab yang diturunkan Allah ke atas sesiapa yang dikehendakiNya. Allah menjadikannya (penyakit taun) rahmat bagi orang-orang yang beriman. Tidak seorang pun daripada hamba yang berada di negeri sedang ada di dalamnya (penyakit taun) - dan dia tetap tinggal di negeri itu tanpa keluar daripadanya dalam keadaan sabar dan mengharap pahala daripada Allah dan dia tahu bahawa dia tidak akan menghidapinya (penyakit taun) kecuali apa yang Allah telah tulis baginya - melainkan baginya pahala seperti orang syahid” (HR.al-Bukhari).
Menurut kitab Fath al-Bari, maksud hadis "ke atas sesiapa yang dikehendakiNya” ialah orang kafir atau orang yang berbuat maksiat. Apabila WABAK taun itu melanda orang kafir, ia adalah azab dan hukuman yang disegerakan ke atas mereka di dunia sebelum di akhirat.
Adapun jika WABAK taun itu melanda orang Islam yang berbuat maksiat, maka ia adalah sebagai hukuman ke atas mereka disebabkan maksiat dan perbuatan dosa-dosa besar yang pernah mereka lakukan. Ini termasuklah juga mereka yang tidak melakukan maksiat itu, kerana mereka tidak mengingkari atau melarang orang yang berbuat maksiat. Inilah di antara rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam iaitu menyegerakan hukuman di dunia.
Bagaimana Menghadapi WABAK Menurut Ajaran Agama Islam?
Islam telah mengajar umatnya untuk melakukan beberapa perkara untuk diambil tindakan dan peringatan apabila mereka dilanda WABAK. Perkara-perkara yang diajarkan oleh Islam sebagai garis panduan untuk kita orang-orang Islam dalam menghadapi WABAK ialah:
1. Membaca QUNUT NAZILAH
Umat Islam disunatkan untuk membaca QUNUT NAZILAH di dalam sembahyang lima waktu apabila berlaku perkara yang ditakuti dan memudharatkan umat Islam seperti; kemarau, diserang belalang, hujan yang merosakkan bangunan atau tanaman, takut kepada musuh seperti orang alim atau pahlawan yang dipenjara oleh musuh, dizalimi oleh orang-orang kafir dan termasuklah juga membacanya supaya dihindarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada WABAK.
2. DILARANG MASUK Ke Negara Yang Dilanda
WABAK Umat Islam DILARANG daripada MEMASUKI atau mendatangi kawasan yang dilanda WABAK penyakit itu. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:
Maksudnya: "Maka sesiapa yang mengetahui berlakunya WABAK di suatu tempat janganlah sekali-kali dia datang ke sana...” (HR.Muslim).
HIKMAH Larangan
Hadis di atas melarang daripada masuk ke kawasan yang dilanda WABAK taun, ini kerana jika seseorang itu masuk ke kawasan tersebut nescaya dia mencampakkan atau mendedahkan dirinya ke dalam kebinasaan, sedangkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang yang sedemikian itu.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan” (Surah al-Baqarah:195).
HIKMAH larangan ini juga ialah supaya umat Islam mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi WABAK daripada berlaku ke atas mereka terhadap perkara yang tidak diingini itu, sebagaimana yang diperintahkan dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: "Wahai orang-orang yang beriman, berwaspadalah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh)...” (Surah an-Nisa’:71).
3. DILARANG KELUAR
Dari Negara Yang Dilanda WABAK Orang yang berada di kawasan atau di tempat yang menularnya WABAK demikian hendaklah tidak meninggalkan tempat itu semata-mata untuk melarikan diri. LARANGAN ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam, Baginda bersabda: Maksudnya: "Dan sesiapa yang berada di tempat berlakunya WABAK taun itu, maka janganlah dia KELUAR untuk lari daripada WABAK itu” (HR.al-Bukhari).
Al-Imam Ibn Hajar Rahimahullah di dalam kitabnya az-Zawajir menyatakan bahawa tindakan KELUAR dari negeri yang dilanda WABAK taun semata-mata untuk melarikan diri daripada WABAK taun tersebut agar tidak dijangkiti adalah merupakan satu dosa besar.
Allah telah mengazab kaum Bani Israel kerana mereka melarikan diri supaya selamat dari kematian akibat dijangkiti WABAK taun. Imam al-Qurthubi Rahimahullah menceritakan dalam kitab tafsirnya bahawa satu kaum daripada Bani Israel dilanda WABAK taun di sebuah kampung yang dikatakan daripada penduduk Dawardan. Mereka yang dikatakan seramai 4000 orang melarikan diri daripada kampung itu lalu mereka berkata: "Kita datang ke tempat yang tidak ada kematian padanya”. Sehinggalah mereka sampai ke sebuah lembah, lalu Allah mematikan mereka sebelum sampai ajal mereka sebagai hukuman ke atas mereka.
Apabila seorang Nabi (dikatakan namanya Syam‘un) melintas di kawasan itu, lalu Baginda berdoa agar mereka dihidupkan semula, maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghidupkan mereka untuk menjadi tauladan dan pengajaran kepada mereka dan orang-orang sesudah mereka bahawa kematian itu di tangan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bukannya di tangan sesiapa selainNya. Dikatakan mereka mati selama lapan hari dan dikatakan juga tujuh hari.
Kaum Bani Israel inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: "Tidakkah engkau mengetahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang KELUAR (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu”. Kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur” (Surah al-Baqarah:243).
Kematian yang Allah Subahanahu wa Ta‘ala timpakan kepada mereka itu adalah kematian dalam bentuk uqubah (hukuman) dan kematian dalam bentuk hukuman ini disusuli dengan kehidupan selepasnya. Ia berbeza dengan kematian disebabkan datangnya ajal, ia tidak disusuli dengan kehidupan selepasnya.
Kematian tersebut adalah untuk meperlihatkan dan memberi pengajaran kepada mereka dan umat selepas mereka bahawa kuasa mematikan itu adalah kuasa mutlak Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan bukan pada kuasa selainnya.
HIKMAH Larangan
HIKMAH larangan ini adalah kerana jika seseorang itu melarikan diri daripada WABAK taun itu nescaya dia melarikan diri daripada Qadha dan Qadar Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ia juga serupa dengan orang yang melarikan diri daripada peperangan, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam:
Maksudnya: "Orang yang lari daripada (WABAK) taun seperti orang yang lari daripada peperangan dan orang yang sabar padanya (taun) seperti orang yang sabar dalam peperangan” (HR.Ahmad).
Larangan ini juga bertujuan adalah untuk mengukuhkan sifat tawakkal dan penyerahan diri kepada kekuasaan Allah dalam mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada manusia kerana suatu penyakit itu tidak akan berjangkit kecuali dengan izin Allah sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam:
Maksudnya: "Tiada penyakit yang berjangkit (dengan sendirinya melainkan dengan izin Allah), tidak ada ramalan hal-hal buruk...” (HR.al-Bukhari).
Tersebut dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi mengenai WABAK taun bahawa HARAM MASUK ke kawasan yang dilanda WABAK taun dan HARAM KELUAR melarikan diri daripadanya tanpa sebarang hajat.
Oleh itu, adalah wajar dikuarantin orang-orang yang menghidap WABAK tersebut apabila mereka memasuki ke sesebuah negara yang tidak dilanda WABAK itu. Ini menggelakkan daripada mereka menjangkiti orang lain, sebagaimana langkah-langkah yang telah diusahakan oleh mana-mana Kementerian Kesihatan.
4. Boleh Keluar Untuk Sesuatu Urusan
Adapun keluar bukan disebabkan melarikan diri ataupun keluar disebabkan hajat keperluan maka tidaklah dilarang.
5. SABAR Dan TAWAKKAL
Apabila seseorang itu diserang WABAK penyakit, hendaklah dia BERSABAR iaitu tidak merasa cemas dan gelisah bahkan hendaklah dia berserah kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta redha dengan QadhaNya.
Ganjaran bagi orang yang terkena WABAK kemudian dia redha dan SABAR dengan apa yang timpakan kepadanya lalu meninggal dunia dia akan mendapat ganjaran syahid. Dalam hadis ada menyatakan bahawa orang yang mati disebabkan penyakit taun adalah mati syahid, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: "Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda: “Ketika seorang lelaki berjalan di sebatang jalan lalu dia mendapati di jalan itu dahan kayu yang berduri maka dijauhkannya (dahan itu daripada jalan). Lalu Allah bersyukur kepadanya dan mengampunkan lelaki itu dan Baginda bersabda: “Syahid itu ada lima: “Orang yang mati kerana menghidap penyakit taun, dan orang yang mati kerana menghidap penyakit perut, dan orang yang mati lemas, dan orang yang mati keruntuhan dan syahid di jalan Allah ‘azza Wajalla” (HR.Muslim).
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: "Taun itu adalah shahadah (syahid) bagi setiap Muslim” (HR.al-Bukhari) Hadis ini menjelaskan bahawa setiap orang Islam yang mati disebabkan taun adalah mati syahid. Ini termasuklah juga orang Islam yang melakukan maksiat akan tetapi tahap syahidnya tidaklah sempurna atau tidak sama dengan tahap syahid orang yang beriman.
6. Tutup Segala Bejana Dan Tempat Minum Sunat menutup bejana atau tempat menyimpan air, sebagaimana Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam menyuruh supaya menutup bejana atau tempat menyimpan air supaya tidak dicemari oleh WABAK. Diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: "Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda: “Kamu tutuplah bejana dan kamu ikatlah tempat air minum, kerana sesungguhnya dalam setahun ada suatu malam turunnya WABAK. Tidak melewati (WABAK itu) bejana yang tidak ada penutup atau tempat air yang tidak ada pengikat melainkan hinggap padanya WABAK itu” (HR.Muslim).
Penutup
Apa yang diajarkan Islam dalam menghadapi WABAK taun hendaklah dijadikan iktibar dan pedoman kepada umat Islam hari ini. Kita hendaklah menghadapi apa jua jenis WABAK penyakit yang melanda kita, seperti WABAK influenza babi yang berlaku mutakhir ini, dengan mengambil kira aspek akidah yang lurus sebagai garis sempadan kita bertindak. Apa jua tindakan yang kita ambil, janganlah lari daripada keyakinan kepada Qadha dan Qadar Allah yang menuntut kita bertawakkal di samping berusaha menghindarkan diri daripada dijangkiti oleh WABAK itu.
Terima kasih Zoel
Terima kasih Zoel
No comments:
Post a Comment