29 October, 2009

Hang Tuah lebih gagah daripada Superman!


"Pada pandangan saya, Hang Tuah lebih gagah daripada Superman.
Hang Tuah bukan sahaja berkelebihan dari sudut kekuatan fizikal dan nilai intelektual, tetapi beliau juga boleh menguasai 12 bahasa.
Penonjolan wira Barat hanyalah pada kekuatan fizikal, sebaliknya penonjolan wira kita merangkumi kekuatan fizikal, spritual dan Intelektual."


Dewan Bahasa, Ogos 2009 baca di sini.
Gambar Bersilat 3 cuma hiasan. Amron adalah pelukis kegemaran saya. Beliau merupakan (senior saya) graduan ITM dalam bidang seni halus kini dikenali sebagai UiTM.

Jom Baca Buku - Dari Jendela Zaman Ini/From The Window of This Epoch


Dari Jendela Zaman Ini
Antologi Puisi Malaysia & Singapura
From The Window of This Epoch
An Anthology of Malaysian & Singaporean Poems

Dari Jendela Zaman Ini merupakan sebuah antologi puisi dwibahasa yang menghimpunkan 100 buah puisi daripada 73 orang penyair Malaysia dan Singapura. Antologi ini bertemakan ‘persahabatan dan kemanusiaan’ dan memperlihatkan suara penyair dalam mengungkapkan rasa resah gelisah, suara amaran dan protes terhadap kemelut kehidupan masyarakat yang diasak arus gelombang kemodenan global.

Antologi ini turut mengungkapkan fikiran dan pandangan para penyair kedua-dua negara terhadap peristiwa yang sedang berlaku dalam tanggapan peribadi yang puitis.
Antologi puisi Malaysia-Singapura ini diharap akan dapat lebih mengakrabkan ukhwah dan perhubungan antara seniman kedua-dua negara.

Dari Jendela Zaman Ini is a bilingual anthology of 100 poems by 73 Malaysian and Singaporean poets. The theme of this anthology is 'friendship and humanity', with an underlying theme of anxiety, with warnings, of a societal crisis in the wake of globalisation, and a commentary on current events in both countries.

This Malaysian-Singaporean anthology sets out to foster closer ties between the poets of the two countries.

Dari Jendela Zaman Ini
Antologi Puisi Malaysia & Singapura
From The Window of This Epoch
An Anthology of Malaysian & Singaporean Poems

Penerbit:
Institut Terjemahan Negara Malaysia & National Arts Council Singapore
Penulis: Penyair-penyair dari Malaysia & Singapura
Tahun Perbitan: 2009
ISBN: 978 963 068 480-2
Jumlah muka surat : 470 halaman
Harga: RM40.00 @ $16.00

Buku ini telah dilancarkan pada 26 Oktober 2009 di The Arts House, Singapura oleh Dato' Dr Puad Zarkashi Mewakili Timbalan Perdana Menteri. Seperti biasa anda boleh mendapatkan buku ini di MPH atau hadir ke ITNM atau menelefon di nombor 03-41497210.

25 October, 2009

Indahnya Pantun-Pantun Majlis Bertunang

Lama sungguh tidak mengisi ruangan ini dengan apa-apa post walhal apabila saya melihat kepada data pengunjung dan carian inilah topik yang paling hangat dibuat oleh pengunjung atau carian google. Bukan kerana tidak mempunyai bahan tetapi saya dihambat oleh waktu dan tugas-tugas yang wajib.

Alangkah baiknya jika 24 jam sehari itu ditambah menjadi 28 jam atau 32 jam sehari. Tetapi kita harus ingat bahawa kejadian Allah itu memang sudah sempurna semuanya. Cuma kita yang harus bersyukur dan tahu bagaimana hendak mengguna atau mengisinya.

Minggu lepas peti mel saya didatangi oleh sebuah emel dari pengunjung blog yang meminta bantuan saya menyediakan pantun untuk majlis hari pertunangannya. Saya pasti dia telah membuat carian di internet dan tidak menemui pantun yang sesuai untuknya. Lalu terbayang di kepala saya alangkah baiknya jika saya dapat menyediakan satu blog yang dapat menyediakan pantun-pantun yang sesuai untuk semua majlis dan dijadikan rujukan.

Sayang sekali waktu yang dihubungi oleh Sufian (pengunjung blos saya) adalah terlalu singkat dan saya tidak ada banyak waktu untuk menggubah pantun untuknya. Beliau sanggup memberikan nombor telefon untuk dihubungi. Tetapi saya cuma membalas emelnya sahaja dan mengirimkan pantun yang dikehendaki sekadar yang termampu oleh saya.

Namun walaupun ia kelihatan ringkas tetapi telah membutuhkan waktu, kosentrasi dan komitmen saya sewaktu membuat carian, mengarang serta mengubahsuai pantun tersebut. Alhamdulillah semuanya telah berlalu dan saya mengucapkan selamat bertunang dan saya doakan anda berdua berjaya hingga ke jinjang pelamin. Jagalah adab bertunang supaya bertambah kasih dan sayang dan tiada halangan yang menimpa serta cepat menjadi nyata.

Di bawah ini saya perturunkan pantun yang mungkin boleh digunakan oleh peminat pantun. Pohon dimaklumkan kepada saya pinjaman pantun dari ruangan ini.

Perahu kolek ke hilir tanjung,
Sarat bermuat tali temali.
Salam tersusun sirih junjung,
Apa hajat sampai ke mari?
KP

Sudah lama langsatnya condong ,
Barulah kini batangnya rebah.
Sudah lama niat dikandung,
Baru sekarang diizinkan Allah.
KP

Malam-malam pasang pelita,
Pelita dipasang atas peti.
Kalau sudah bagai dikata,
Sila terangkan hajat di hati.
KP

Singgah berenang di persiraman,
Mayang terendam di dalam tasik.
Kumbang merindu bunga di taman,
Bintang merindu Cenderawasih
. KP

Ikan sepat di dalam sampan,
Orang membawa ke pinggir kota.
Besar hajat tuan menyimpan,
Baiklah nyata di dalam kata.
EAAB

Panjat- panjat si pohon ara,
Nampak cantik di tepi laman.
Besarnya hajat tidak terkira,
Hendak memetik bunga di taman.
EAAB +KP

Senyum menguntum memakai kebaya,
Gadis sunti menjual kalungan.
Bunga nan sekuntum belum berpunya,
Menjadi penyeri di taman larangan.
EAAB

Dari sumbu terbit apinya,
menjadi asap dan juga jelaga.
Jika begitu akan adanya,
Izinkan kita memetik menjaga.
EAAB

Baik-baik kalau berhuma,
Jangan sampai lalang sepekan,
Hajat yang baik kami terima,
Dalam adat kami serahkan.
EAAB

Kalau gugur buah setandan,
Sampai ke tanah baru tergolek,
Kami bersyukur kepada tuhan,
Datang kami disambut baik.
KP

Selamat bertunang Salwa & Sufian dari saya. Terima Kasih kerana sudi menjemput saya ke majlis tetapi pohon maaf tidak dapat menghadiri kerana sudah ada program. Catatan: KP= Koleksi Pantun PTS, EAAB=Koleksi Pantun Enche Abdullah

24 October, 2009

Mengapa The Epic of Hang Tuah dilancarkan di Frankfurt?

Mohd Khair Ngadiron Pengarah Urusan ITNM

"Salam, News about launching Hang Tuah di Frankfurt (Siri 1) akan keluar di Buletin Utama TV3 Malam ini- Shida ITNM".

Begitulah pesanan SMS yang diterima sebelum menjelang senja dari teman sepejabat Shidah mengingatkan tentang berita Pelancaran The Epic of Hang Tuah di Pesta Buku Frankfurt yang berlangsung dari 14 - 18 Oktober 2009.

Misi ITNM telahpun tercapai dengan pemergian rombongan ITNM ke sana dua minggu lepas. The Epic of Hang Tuah merupakan sebuah usaha penerbitan terjemahan karya agung ITNM dari Hikayat Hang Tuah. Terjemahannya telah dihasilkan oleh SN Prof. Muhammad Haji Salleh selama empat tahun. Bukan mudah melakukan terjemahan karya ini kerana bahasanya adalah bahasa Melayu lama di mana banyak perkataan-perkataan dan penggunaan ayatnya sudah menjadi asing dengan masyarakat sekarang kerana tidak lagi digunakan kini.

Buletin Utama malam ini dimulakan dengan soalan mengapakah The Epic of Hang Tuah dilancarkan di Jerman dan tidak di tanah tumpah negaranya sendiri dan mengapa The Epic of Hang Tuah? Persoalan itu kemudiannya terungkai dengan kenyataan dari Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd Khair Ngadiron .

"Pertama Inilah tempat di mana semua penerbit berkumpul dan kedua The Epic of Hang Tuah adalah sebuah karya yang kuat di mana (dunia harus tahu) orang Melayu ada heronya sendiri."

The Epic of Hang Tuah adalah sebuah karya yang terkandung dari puluhan karya terjemahan yang dibawa ke Frankfurt dalam katalog yang disiapkan oleh ITNM mengandungi 4 buah buku siri kanak-kanak,13 buku undang-undang, 28 buku umum dan 55 buku Sastera.

Pada tahun lepas buku Lat The Kampung Boy telah diperkenalkan di tempat yang sama dengan mendapat perhatian yang sangat meluas. Banyak penerbit luar berminat untuk menterjemahkan Lat the Kampung Boy ke bahasa mereka. Terkini ia sedang diterjemahkan ke bahasa Arab pula!

Masih banyak karya agung dalam edisi bahasa Melayu terus tersimpan tidak di terokai oleh bangsanya sendiri seperti Syair Ken Tambuhan, Hikayat Raja Pasai, Tajul ul Sulatin dan lain-lain lagi. Bangsa Melayu harus menyanjung apa yang mereka telah punya, mengkaji serta menyebarkan tamadun yang dicapai suatu waktu dahulu yang terkandung dalam catatan sastera agar masyarakat dunia lebih menghormati bangsa ini sebagai bangsa yang bertamadun dan mempunyai akar sejarahnya sendiri.

ITNM mempunyai perancangan di masa hadapan dengan harapan banyak lagi karya-karya besar itu akan diterjemahkan ke bahasa dunia. Semoga ini menjadi kenyataan dari masa ke masa.

Selamat pulang bos-bos ke tanah air! Ada ole-ole ke?

22 October, 2009

Kongsi Emel-Indahnya Berbaik Sangka


"Hubungan baik antara satu sama lain khususnya antara muslim dengan muslim merupakan sesuatu yang harus dijalin dengan sebaik-baiknya. Ini kerana Allah telah menggariskan bahawa mukmin itu bersaudara. Itulah sebabnya, segala bentuk sikap dan sifat yang akan memperkukuh dan memantapkan persaudaraan harus ditumbuhkan dan dipelihara, sedangkan segala bentuk sikap dan sifat yang dapat merosak ukhuwah harus dihilangkan. Agar hubungan ukhuwah islamiyah itu tetap terjalin dengan baik, salah satu sifat positif yang harus dipenuhi adalah husnuzh zhan (berbaik sangka).

Oleh kerana itu, apabila kita mendapatkan informasi negatif tentang sesuatu yang terkait dengan peribadi seseorang apalagi seorang muslim, maka kita harus melakukan tabayyun (penyelidikan) terlebih dahulu sebelum mempercayainya apalagi meresponnya secara negatif, Allah berfirman yang ertinya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." Q.S Al-Hujuraat : 6

Manfaat Berbaik Sangka

Ada banyak nilai dan manfaat yang diperolehi seseorang muslim bila dia memiliki sifat husnuzh zhan kepada orang lain.

Pertama
, hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik, perkara ini kerana berbaik sangka dalam hubungan sesama muslim akan menghindari terjadinya keretakan hubungan. Bahkan keharmonian hubungan akan semakin terasa kerana tidak ada halangan psikologis yang menghambat hubungan itu.

Kedua
, terhindar dari penyesalan dalam hubungan dengan sesama kerana buruk sangka akan membuat seseorang menimpakan keburukan kepada orang lain tanpa bukti yang benar, Allah berfirman sebagaimana yang disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 6 di atas.

Ketiga, selalu berbahagia atas segala kemajuan yang dicapai orang lain, meskipun kita sendiri belum dapat mencapainya, perkara ini memiliki erti yang sangat penting, kerana dengan demikian jiwa kita menjadi tenang dan terhindar dari iri hati yang boleh berkembang pada dosa-dosa baru sebagai kelanjutannya. Ini bererti kebaikan dan kejujuran akan membawa kita pada kebaikan yang banyak dan dosa serta keburukan akan membawa kita pada dosa-dosa berikutnya yang lebih besar lagi dengan dampak negatif yang semakin banyak.

Ruginya Berburuk Sangka
Manakala kita melakukan atau memiliki sifat berburuk sangka, ada sejumlah kerugian yang akan kita perolehi, baik dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat.

Pertama, mendapat dosa. Berburuk sangka merupakan sesuatu yang jelas bernilai dosa, kerana disamping kita sudah menganggap orang lain tidak baik tanpa dasar yang jelas, berusaha menyelidiki atau mencari-cari keburukan orang lain, juga akan membuat kita melakukan dan mengungkapkan segala sesuatu yang buruk tentang orang lain yang kita berburuk sangka kepadanya, Allah berfirman yang ertinya : "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." Q.S Al-Hujuraat : 12

Kedua, dusta yang besar. Berburuk sangka akan membuat kita menjadi rugi, kerana apa yang kita kemukakan merupakan suatu dusta yang sebesar-besarnya, perkara ini disabdakan oleh Rasulullah : "Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta" HR. Muttafaqun alaihi

Ketiga, menimbulkan sifat buruk. Berburuk sangka kepada orang lain tidak hanya berakibat pada penilaian dosa dan dusta yang besar, tetapi juga akan mengakibatkan munculnya sifat-sifat buruk lainnya yang sangat berbahaya, baik dalam perkembangan peribadi mahupun hubungannya dengan orang lain, sifat-sifat itu antara lain ghibah, kebencian, hasad, menjauhi hubungan dengan orang lain dll. Dalam satu hadith, Rasulullah bersabda : "Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih kebenaran dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta. HR. Bukhari

Larangan Berburuk Sangka
Kerana berburuk sangka merupakan sesuatu yang sangat tercela dan mengakibatkan kerugian, maka perbuatan ini sangat dilarang di dalam Islam sebagaimana yang sudah disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 12 di atas. Untuk menjauhi perasaan berburuk sangka, maka masing-masing kita harus menyedari betapa hal ini sangat tidak baik dan tidak benar dalam hubungan persaudaraan, apalagi dengan sesama muslim dan aktivis dakwah. Disamping itu, bila ada benih- benih di dalam hati perasaan berburuk sangka, maka perkara itu harus segera dicegah dan dijauhi kerana ia berasal dari godaan syaitan yang bermaksud buruk kepada kita. Dan yang lebih penting lagi adalah memperkukuh terus jalinan persaudaraan antara sesama muslim dan aktivis dakwah agar yang selalu kita kembangkan adalah berbaik sangka, bukan malah berburuk sangka.

Oleh kerana itu, Khalifah Umar bin Khattab menyatakan: Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandungi kebaikan. Demikian perkara-perkara dasar yang harus mendapat perhatian kita dalam kaitan dengan sikap husnuzhzhan (berbaik sangka).

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku


"Seandainya engkau menyampaikan keburukan saudaramu, Jika itu benar, maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu, dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah "

Terima Kasih Azmi KJ

21 October, 2009

Sekadar berkongsi gambar raya






Dipaparkan gambar sekitar jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Terjemahan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) pada 9 Oktober 2009. Kini bulan raya telahpun berlalu. Semoga raya tahun depan dapat jumpa lagi dan makan-makan.

Jom Baca Buku - Cerita Rakyat Korea

Cerita Rakyat Korea

Cerita Rakyat Korea ini menampilkan beberapa kategori cerita rakyat Korea yang mungkin mempunyai persamaan dengan cerita rakyat Malaysia atau Negara lain di timur dan juga di barat. Cerita Koleksi cerita rakyat ini diharap dapat menambah dan memperkaya lagi khazanah bahan bacaan kanak-kanak di Malaysia.

Cerita Rakyat Korea
Penyusun & Penyunting: Zubaidah Ibrahim-Bell
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Tahun Terbitan: 2009
No ISBN: 978-983-068-396-6
Jumlah Halaman: 65 Muka Surat
Harga:RM25.00/30.00

Buku ini merupakan sebuah buku agi yang dilancarkan sewaktu Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-12. Anda boleh mendapatkannya di MPH MidValley dan Alamanda serta cawangannya atau menelefon nombor ini +603-41497210.

17 October, 2009

Adinda Saba Datang ke Kuala Lumpur



Gambar adinda Saba yang datang ke Kuala Lumpur bersama Suami dan ibu mertuanya. Post ini disimpan dalam list untuk siaran tanpa apa-apa teks. Tiba-tiba hari ini aku lihat ia sudah keluar. Maka tiada apa-apa cerita yang dapat aku tambahkan kecuali ini.

Jarang sekali Saba datang ke sini kerana kesibukan hidupnya sebagai isteri, ibu, menantu dan juga pembantu di sebuah klinik di Kota Bharu. Tetapi kedatangannya kali ini dapat kurasakan ada kaitannya kerana rindu pada bonda yang tinggal bersama ku. Sudah hampir 5 bulan bonda di sini belum menunjukkan rasa jemunya - setiap hari dengan siaran astro 121 dan 106. Hari Minggu yang selaku membawanya keluar mencuci mata di Kuala Lumpur.
Gambar di atas Saba mengunjungi adinda Akram di bangi. Saba adalah kekanda kepada Akram.

14 October, 2009

Jom Baca Buku- Menakhoda Zaman (Helming the Times)

Inilah buku terbaharu yang mencatatkan sejarah kerana ia merupakan buku pertama karya Yang Berhormat Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak. Tempoh terjemahan dan penerbitan yang paling singkat kerana Pejabat Perdana Menteri memberikan kelulusan seminggu menjelang Hari Raya Aidil fitri 2009 siap dan dilancarkan pada 11 Oktober 2009.

Menakhoda Zaman /Helming the Times

Menakhoda Zaman (Helming the Times) oleh Datuk Seri Najib Razak diterbitkan dalam dwibahasa (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) dengan bahasa mudah difahami bagi membolehkan Perdana Menteri berkongsi idea dengan semua lapisan masyarakat. Judul itu mengambil tajuk ucapan Najib ketika merasmikan Persidangan Serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pada 29 Mac 2009.

Mengandungi 11 bab dengan 76 halaman masing-masing dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang mengumpulkan siri ucapan beliau, ditulis semula oleh Najib berdasarkan lima ucapannya ketika menjadi Timbalan Presiden Umno dari 2004 hingga 2009.

Secara keseluruhannya, buku ini banyak membicarakan mengenai kedudukan, kelemahan dan masa depan orang Melayu serta bagaimana mereka boleh bangkit menjadi bangsa yang disegani dan dihormati.

Menakhoda Zaman /Helming the Times
Penulis: Najib Tun Razak
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia dan MPH Publishing
Tahun Terbit: 2009
ISBN: 978-983-068-479-6
Jumlah halaman: 76 halaman bahasa Melayu & 76 halaman bahasa Inggeris)
Harga: RM42.00

Anda boleh mendapatkannya di seluruh MPH dan cawangannya termasuk Alamanda Putrajaya dan MidValley atau menelefon ke ITNM 03- 41497210 Unit Jualan. Sinopsis ini dipetik dan disaring dari Berita Harian dan gambar di ambil dari laman blog Sdr. Anuar Manshor.

09 October, 2009

Memperkenalkan Buku Menakhoda Zaman-Najib Tun Razak



ITNM akan mengadakan satu lagi acara yang akan mencatatkan sejarahnya sendiri pada 11 Oktober 2009 ini di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur. Disiarkan butiran untuk anda.

Salam,

Institut Terjemahan Negara Malaysia berbesar hati menjemput Dato/Datin/Tuan/Puan ke Majlis Memperkenalkan “Menakhoda Zaman”, Sebuah Buku Oleh YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang bakal berlangsung di East Court Concourse Mid Valley Megamall, pada jam 10.30 pagi, 11 Oktober 2009 ini. Semoga kehadiran Dato/Datin/Tuan/Puan akan melengkap dan menyerikan lagi majlis ini.

Nota: 100 pembeli pertama* buku ini berpeluang mendapat tandatangan eksklusif YAB Dato Sri Najib Tun Razak.
* terhad kepada pembelian di kaunter MPH Mid Valley Megamall

Sekian, terima kasih.

INSTITUT TERJEMAHAN NEGARA MALAYSIA

Jumpa anda di sana dan jadilah 100 pembeli pertama untuk mendapat tandatangan Perdana Menteri Malaysia.

Kongsi Emel - Malaikatmu

Malaikatmu...
Suatu hari seorang bayi siap untuk dilahirkan ke dunia...Dia bertanya kepada Tuhan :

" Para malaikat disini mengatakan bahawa besok Engkau akan mengirimkan saya kedunia, tetapi bagaimana cara saya hidup disana; saya begitu kecil dan lemah ?"

Dan Tuhan menjawab: "Aku telah memilih satu malaikat untukmu. Ia akan menjaga dan mengasihimu .

"Bayi bertanya lagi: "Tetapi disini; didalam syurga ini, apa yang saya lakukan hanyalah bernyanyi, bermain dan tertawa...Inikan sudah cukup bagi saya untuk berbahagia ."

"Malaikatmu akan bernyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari. Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya dan menjadi lebih berbahagia"

"Dan bagaimana bisa saya mengerti disaat orang-orang berbicara kepada saya jika saya tidak mengerti bahasa mereka ?"

"Malaikatmu akan berbicara kepadamu dengan bahasa yang paling indah yang pernah kamu dengar; dan dengan penuh kesabaran dan perhatian. Dia akan mengajar kepadamu cara berbicara."

"Dan apa yang akan saya lakukan saat saya ingin berbicara kepadaMu ?""Malaikatmu akan mengajarkan bagaimana cara kamu berdoa"

"Saya mendengar bahawa di Bumi banyak orang jahat. Siapa yang akan melindungi saya ?" "Malaikatmu akan melindungimu; walaupun hal tersebut mungkin akan mengancam jiwanya" "Tapi, saya pasti akan merasa sedih kerana tidak melihatMu lagi"
"Malaikatmu akan menceritakan kepadamu tentang Aku, dan akan mengajarkan bagaimana agar kamu bisa kembali kepadaKu; walaupun sesungguhnya Aku akan sentiasa disisimu

"Disaat itu, Syurga begitu tenang dan heningnya sehingga suara dari Bumi dapat terdengar, dan sang bayi bertanya perlahan :
"Tuhan, jika saya harus pergi sekarang, bisakah Kamu memberitahuku nama malaikat tersebut ?"
"Kamu akan memanggil malaikatmu itu: " IBU "

Ingatlah sentiasa kasih sayang dan pengorbanan ibu. Berbakti, berdoa dan cintailah dia sepanjang masa... Dialah sesatunya harta yang tiada galang gantinya dunia akhirat...Dan untuk para ibu, ingatlah kisah ini di kala kamu hilang sabar dengan karenah anak-anak yang sedang membesar......sesungguhnya Syurga itu di bawah telapak kakimu...

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
1) Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
2) Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
3) Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan dosa-dosa yang silam
4) Di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

"Sampaikanlah walau satu ayat"

Terima Kasih Rahimah. Tart raya yang bagi tempoh hari sedap sekali. Semoga murah rezekimu!

06 October, 2009

Raya, kita dan makan

Makanan yang ditapau lebihan jamuan raya di pejabat!


Makan di bulan raya
Sebulan kita berpuasa dan selepas dari itu apakah kita juga harus makan sebulan lebih dari kebiasaannya? Bunyinya seperti melampaukan? Namun itulah hakikatnya. Puasa sebulan dan selepas sebulan berpuasa kita tidak akan mendapat sesuatu yang baik hasil dari latihan itu. Berhari raya sehingga sebulan membenarkan pelbagai makanan masuk ke dalam perut kita. Aduh. Dan adakalanya kita terpaksa melupakan pantang bagi mengurangkan gula atau kolestrol masuk ke dalam jadual pemakanan seharian!

Susahnya nak dapatkan Sate Haji Sahmuri
Ibu kempunan nak makan sate tengah hari itu (Ahad lepas). Dalam fikiranku mudah sahaja pergi ke Sate Haji Sahmuri di Taman Melati di tepi lebuh raya MRR2. Tetapi rupa-rupa memang azab nak beli sate di bulan Syawal ni di situ, kerana apa? Kerana kedai itu dibuka cuma untuk pembelian bawa balik sahaja. Dan yang menempahnya berpuluh-puluh orang sehingga setiap tempahan baru mengambil masa sehingga sejam untuk menyiapkannya!

Jamuan Raya di Pejabat

Semalam jamuan raya di pejabat. Yang jadi Katerer nya nampak macam Kak Kiah 'Enterframe'. Makanannya enak tetapi seperti biasa aku enggak boleh makan banyak-banyak. Jamuan ini tertutup untuk staf sahaja. Tidak sebagaimana biasa tahun-tahun yang sebelumnya jamuan raya menjadi hari untuk bertemu dengan penterjemah, jurubahasa, pelanggan dan pihak-pihak yang banyak berurusan dengan ITNM. Dalam makan-makan itu aku boleh melompong teringat Majlis Hari Raya Pertama yang diadakan di Hotel Pan Pacific...